Friday 5 June 2015

Subuh dan Dhuha

Bismillah.

Assalamu'alaikum wbt.

Pada hari ini ada sedikit ilmu dan perkongsian yang telah saya peroleh daripada "whatsapp group." Ketika membaca perkara yang dikongsikan itu, hati ini terasa bagai dirobek, diri ini bagai ditembak menggunakan LMG, kepala ini bagai dihempap batu yang besar. Tusukan ayatnya benar-benar mendalam. Ikuti perkongsian yang saya terima sebentar tadi:

Tidur selepas subuh bagi pandangan orang Soleh.

Sebelum ini, aku sempat berjumpa dengan seorang soleh. Hatinya itu terlekat ilmu basyirah yang tinggi iaitu ilmu firasat yang sangat kuat. Jadi, sesiapa yang dekat dengannya, berhati-hati. Apa yang terlintas di hati dan fikiran, pastikan niatkan perkara yang baik. 

Aku perbetulkan niat, adab aku, tingkah laku bila tiap kali berdepan dengan beliau. Apabila diberikan peluang, aku terus bertanya:

"Ustaz, macam mana nak buat supaya tak tidur lepas subuh?"

"Tidak pernah wujud istilah tidur selepas tidur." Jawabnya.

"Ohhh, ustaz, jadi apa hukum tidur selepas subuh?"

"Kau nak aku jawab dalam mazhab kau atau mazhab aku?" Dia bertanya padaku.

'Ada banyak mazhab ke?' aku sekadar berbisik dalam hati. 

"Jangan kau nak menyatakan perkara yang kau tak boleh nak sorokkan dengan aku."

Astaghfirullah. Dia membaca lintasan hati aku. 

"Maafkan saya ustaz. Dua-dua mazhablah ustaz."

"Kalau dengan cara hidup kau, cara amalan kau, mazhab kau, kau teruskanlah tidur lepas subuh dan jadilah kau seperti anjing mati."

Aku terasa seperti hendak menangis.

"Tapi kalau mazhab aku, cara aku, amalan yang aku tahu, orang yang macam ini dia jatuh kufur!"

Aku senyap,

"Kenapa ustaz?"

"Orang yang macam ini sombong dengan Allah. Dia berlagak depan Allah. Dia menolak pemberian Allah. Bagaimana dia boleh tidur sedangkan Allah menurunkan rezeki-Nya, Rahmat-Nya, setiap pagi selepas terbit fajar tetapi dia boleh tidur. Umpama macam kau seorang jutawan, bawa duit yang berjuta-juta berjumpa dengan seorang miskin papa kedana setiap hari. Tetapi apa yang dilakukan oleh fakir tadi kepada kau, dia tidur dan tidak mempedulikan langsung duit kau sedangkan dia miskin. Jadi apa yang ada dalam fikiran kau? Mesti kau akan kata, dia ni dahlah miskin nak mampus, sombong pula tu."

Aku tersentak lagi. 

"Orang yang tidur lepas subuh dan selepas itu bangun ada hati lagi nak Dhuha, Allahuakhbar. Orang macam ini lagi tak malu depan Allah. Tadi dia tolak pemberian Allah, sekarang mahu tarik semula rezeki dan rahmat Allah. Sesungguhnya manusia itu jahil. Sepatutnya orang ini perlu bertaubat dahulu sebelum nak solat Dhuha. 

Ya Allah, apabila duduk dengan orang yang setiap masa takutkan Allah, baru sedar macam mana amalan kita selama ini. Betapa hinanya fikiran aku selama ini. Jauh beza nak dibandingkan dengan amalan kita yang kita tak tahu Allah terima ke tak. Tapi kita hidup setiap hari macam tak rasa banyak dosa. Allah. Kita ni banyak dosa. Bukan setakat banyak dosa, bahkan bermandikan dosa. 

"Orang yang riak, kalau bertaubat Allah ampunkan. Kalau orang yang sombong, apa kau rasa Allah nak ampunkan sedangkan itu sifat iblis?" 

Allahuakhbar. Aku tanya tentang tidur lepas subuh je dah rasa macam nak ke neraka. Belum tanya hal lain lagi. 

"Ramai orang muda kata perlu tidur lepas subuh sebab tak cukup tidur malam tadi sebab main futsallah, jalan-jalan dan apa kau fikir siang dan malam itu adalah sunnatullah? Allah dah kata dalam al-Quran, siang aku jadikan untuk kau bekerja dan malam untuk kau berehat. Kalau sunnatullah kau ubah, ikut kepala otak kau sendiri, sebab itulah hidup kau tunggang langgang. Kau siapa nak ubah sunnatullah?"

Allah, jauhnya beza pemikiran kita dengan orang yang takutkan Allah. Orang yang dekat dengan Allah. Hidup memang kena berpandukan al-Quran dan hadis. Carilah orang yang boleh memperjelaskan lagi apa yang ada dalam al-Quran dan hadis itu. Janganlah asyik meminta dalil dari orang itu dan orang ini dan memproses dengan kepala sendiri. Ada orang bawa al-Quran ke hulu ke hilir. Tak salah, tapi carilah panduannya dengan baik supaya tak tersalah tafsir hukum ikut nafsu. 

Huuuu. Memang menusuk ke hati perkongsian ini. Ya Allah, kalau selama ini aku tergolong dalam golongan ini, ampunkan aku ya Allah. Sungguh, tidak pernah terlintas di hati ini untuk tergolong dalam golongan hamba-Mu yang sombong dengan-Mu setelah pelbagai nikmat yang telah Kau berikan. Sungguh, aku ini hamba yang jahil.  Ampunkanlah aku ya Allah.





Hamba-Mu,
Qusyaimah Rosman.

Tuesday 2 June 2015

Jamuan Khidmat Komuniti PALAPES USM

Bismillah.

Assalamu'alaikum wbt. dan selamat pagi semua.

Semalam iaitu pada 1 Jun 2015 telah diadakan satu jamuan akhir khidmat komuniti yang bertujuan untuk meraikan AJK yang telah bertungkus lumus menjayakan program ini. Jamuan ini melibatkan keseluruhan tenaga kerja khidmat komuniti yang terdiri daripada senior, inter dan junior darat dan laut. Jurulatih juga turut diundang bagi memeriahkan majlis. 

Tahniah diucapkan kepada pengarah projek khidmat komuniti iaitu saudara Firdaus kerana telah berusaha keras untuk melaksanakan program tersebut. Walaupun banyak halangan dan cabaran, akhirnya program tersebut telah berjaya dilaksanakan. Terima kasih juga diucapkan kepada AJK yang lain kerana tanpa kalian pasti program ini tidak akan berjalan lancar. 

Tidak lupa juga tahniah dan jutaan terima kasih diucapkan kepada saudara Fahmi kerana telah menjayakan jamuan makan malam ini. Terima kasih kerana kalian banyak menghargai kami sebagai senior kalian. 

Akhir kata, semoga kalian yang bakal mewarisi tampuk kepimpinan KRP yang baharu dapat menjalankan tugas dan amanah yang diberikan dengan penuh dedikasi. Semoga usaha dan kerja keras yang kalian lakukan akan dibalas dengan 1001 hikmah yang tidak terjangkau. Allah senantiasa bersama kalian. 

Terima kasih semua. :')

Hadiah yang dibawa untuk acara pertukaran hadiah

Senior dan Jurulatih yang diundang


Kek keju yang sangat sedap!

Birthday girl. Happy Birhday Mai. :)

Senior Kala Rimba.

Pengarah projek Khidmat Komuniti, saudara Firdaus. 

Rancak mereka berbual.

Skuad Inter, Helang Kesatria.

Ini kek coffee kot. 

Gambar ni diambil sebab pengarah projek yg request. haha.

Skuad junior, Wira Kesuma. 

Salam sayang,
Qusyaimah Rosman.

Monday 1 June 2015

BBQ Kala Rimba Intake 34

Bismillah.

Assalamu'alaikum wbt dan salam sejahtera.

Dalam kesempatan yang sangat singkat ini, saya ingin mencoretkan satu kenangan manis yang tercipta antara kami. Boleh jadi juga ini adalah memori terakhir kami bersama-sama di USM ini. Angka keramat 15 Ogos 2015 dirasakan begitu dekat sekali dengan kami. Tarikh yang bakal mengubah status kami, tarikh yang bakal mencipta jurang perpisahan antara kami. Namun, tarikh itulah yang akan mencipta 1001 kenangan dalam hidup kami malah akan menjadi saksi pengorbanan kami selama hampir 3 tahun. 

Alhamdulillah, kami dapat lalui jerit perih, susah payah, suka duka, penat lelah bersama-sama sepanjang 3 tahun ini. Pelbagai ragam, rencah, onak dan duri yang kami tempuhi bersama-sama. Daripada kami tidak mengenali satu sama lain kini, rasanya perpisahan itu sangat asing bagi kami. Daripada kami tidak mengetahui apa-apa dalam ilmu ketenteraan kini, sebahagian besar daripada kami ingin menjadi pejuang yang menanam jihad dalam diri untuk mempertahankan agama dan negara.  Subhanallah! Sungguh besar rahmat yang Allah curahkan pada kami.

Pada hari Selasa lalu, seorang daripada skuad kami iaitu Faizah telah memberikan cetusan idea di saat akhir untuk mengadakan acara "bakar-bakar" di tepi tasik bersama-sama dengan skuad yang lain. Katanya, acara ini adalah sebagai kenangan akhir kami bersama-sama di USM ini sebelum rakan-rakan yang hanya 3 tahun pengajian mereka di sini meninggalkan kami yang masih mempunyai 1 hingga 2 sem lagi di sini. Setelah mendapat persetujuan daripada skuad yang lain, akhirnya kami bersama-sama telah merealisasikan ideanya itu pada Jumaat malam (29 Mei 2015). 

Majlis pada malam itu berjalan dengan sangat lancar. Alhamdulillah. Saat saya pandang satu-satu wajah mereka, rasa sayu yang tidak tergambar di hati. Begitu pantas masa berlari meninggalkan kami. Begitu banyak kenangan yang tercipta bersama-sama mereka. 

Pada malam itu juga kami telah menjemput mantan ayahanda kami merangkap jurulatih kami iaitu Stap Fauzi untuk bersama-sama meraikan majlis tersebut. Majlis itu sebenarnya untuk meraikan beliau yang telah banyak jasanya pada kami. Terlalu banyak ilmu yang dicurahkan pada kami. Bersabar melayan kerenah kami, aduan kami, kenakalan kami, dan macam-macam ragam kami. Terima kasih stap untuk segalanya. Halalkan segala ilmu yang telah stap curahkan pada kami. Moga stap sentiasa dalam lindungan dan rahmat Allah. Moga diberikan kesihatan yang baik dan umur yang panjang untuk beribadah kepada Allah. Amin! 

Akhir kata, moga Allah sentiasa tautkan hati-hati kami hingga ke syurga-Nya. Ingatlah saat kemanisan sepanjang kita menjalinkan ukhuwah dan lontarkan segala kepahitan di lubuk paling dalam. Semoga ukhuwah ini sentiasa mekar di hati kalian. Moga kita sentiasa dalam rahmat dan kasih-Nya! 



Bersama ayahanda Fauzi.



Wajah ceria mereka!





Makan bersama-sama.


Ayam sedang dibakar!

Sebahagian besar keluarga kami. 

Bertudung biru di hadapan itu Faizah. 

Jejaka KR.

Mesranya mereka!


Nodie, Aqilah dan Intan.

Mereka sedang asyik menyalakan bara.



Salam sayang,
Qusyaimah Rosman