Friday 1 April 2016

I'm Hiring!

Bismillah.

Assalamu'alaikum wbt.

          Syukur alhamdulillah, hari ini menerima dua perkara yang menggembirakan. Perkara pertama ialah penerimaan surat tamat belajar dan status berijazah. Syukur. Terima kasih Allah kerana mendengar doa dan rintihan hamba-Mu yang terlalu banyak khilafnya ini. Alhamdulillah. Terima kasih juga kepada semua yang berjasa dalam mengiringi pahit manis perjuangan selama tiga tahun setengah di USM. Terlalu banyak kenangan yang tercipta. 

          Manakala perkara yang kedua ialah saya telah diterima bekerja sebagai kerani di sebuah syarikat swasta. Walaupun mungkin hanya sebagai seorang kerani, tetapi bagi seorang graduan yang masih bertatih mencari identiti diri yang sebenar, saya tidak akan pernah berputus asa untuk melangkah lebih jauh suatu hari nanti. Allah Maha Kaya lagi Maha Mengetahui tiap-tiap sesuatu. Mungkin sudah tertulis rezeki saya pada hari ini, hadir ke temu duga pada petang tadi dan esok sudah boleh mula bekerja. Kebanyakan syarikat majoriti tidak mahu mengambil pelajar ijazah kerana tidak mampu untuk membayar gaji mereka. Mujur majikan yang menemu duga saya sebentar tadi sangatlah baik dan sungguh memahami walaupun basic yang ditawarkan pada saya memang sangat jauh dengan kelayakan yang saya ada. Namun, tidak mengapa. Pengalaman yang saya timba itu yang paling penting. Sudah ada majikan yang mahu ambil saya bekerja juga sudah memadai bagi saya sementara menunggu peluang yang lebih baik suatu hari nanti. Aamiin. Mohon doa daripada kalian semua. 

          Sampai di sini sahajalah dahulu coretan pada malam ini. Maklumlah kena tidur awal supaya esok lebih cergas untuk memulakan kerja. Cewah. Haha. Selamat malam semua. Assalamu'alaikum. :)


Surat Tamat Belajar 



Salam sayang,
Qusyaimah Rosman

Thursday 31 March 2016

Bulan yang Hodoh

Bismillah.

Assalamu'alaikum wbt dan salam mahabbah.

     Pernah seseorang bertanyakan padaku, "kamu setuju jika aku kata bulan itu hodoh?"

     Lantas aku mendongak ke langit menatap bulan. Aku suka saat bulan mengambang. Serasa itulah makhluk paling indah yang pernah aku saksikan. Cantik, berseri dan sinarannya sungguh menenangkan. 

   "Benar. Walaupun kita lihat bulan itu indah tetapi kita mengetahui hakikat dirinya yang serba kekurangan. Kita tahu, tidak ada apa-apa hidupan yang terdapat di dalamnya. Bulan juga tidak mempunyai air, tiada oksigen, berwarna kelabu hodoh, berdebu dan berlekuk-lekuk. Hakikatnya, bulan tidak menarik." 

     "Kamu tahu apakah yang membuatkan kita terpukau dengan bulan semasa bulan mengambang?" 

     "Cahanya," sambil mataku terus menatap bulan tanpa berkelip. Indah lagi mendamaikan. 

     "Kamu tahu dari mana datangnya cahaya itu?"

     "Mataharilah," sesekali mataku melirik ke arahnya.  
     
     "Sebagai manusia, kita sebenarnya perlu mengambil pengajaran daripada bulan," katanya dengan nada yang serius. 

     "Mengapa kamu kata begitu."

    "Kitakan manusia. Manusia banyak kekurangan. Kita hodoh dan buruk hakikatnya di hadapan Allah. Kita kerdil, lemah dan hina. Kita sering takbur dan riak. Itulah hakikat kita."  

     Aku menatap matanya yang mulai berkaca. Sangat benar bicaranya. Kita hanya makhluk kerdil yang tiada apa-apa yang perlu dibanggakan. 

     "Jika bulan dipandang kerana cahayanya, apa pula yang boleh menjadikan seseorang insan itu benar-benar mulia?"

      "Islam. Islam yang sebenar-benarnya. Islam itu ibarat mentari yang menyuluh seluruh kehidupan manusia sama seperti matahari yang tidak pernah jemu memantulkan cahayanya kepada bulan. Kalau kita mahu Islam itu bersinar seperti bulan, kita juga perlu berusaha menjadi seperti matahari yang mencantikkan bulan hingga memukau pandangan."  

       Aku memandang bulan. Bulan yang terkandung seribu erti. Mengajar aku menghargai sebuah hakikat kehidupan. 





Salam sayang,
Qusyaimah Rosman.

Wednesday 30 March 2016

Sabar dalam Reda

Bismillah.

Assalamu'alaikum wbt dan salam mawaddah.

Setiap daripada makhluk yang diciptakan oleh Allah S.W.T tidak akan pernah lari daripada ditimpa ujian. Ujian yang diberikan oleh Allah itu adalah salah satu tanda kasih Allah pada hamba-Nya. Jika ingin dibandingkan ujian yang diberikan ke atas kita dengan ujian yang ditimpakan ke atas para anbia' adalah seperti langit dengan bumi. Namun, atas dasar ketakwaan dan keimanan yang tebal dalam jiwa mereka, ujian seberat dan sebesar apa pun dapat ditempuh dengan tenang, sabar dan reda.

Firman Allah S.W.T yang bermaksud,

"Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum datang kepada kamu (ujian) sebagaimana halnya orang-orang terdahulu sebelum kamu? Mereka ditimpa oleh malapetaka dan kesengsaraan, serta digoncangkan (dengan bermacam-macam ujian) sehingga berkata Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya: "Bilakah datangnya pertolongan Allah?" Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat." (QS. Al-Baqarah: 214) 

Mengapa kita diuji?

Firman Allah S.W.T yang bermaksud,

"Yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun." (QS. Al-Mulk: 2) 

Oleh itu, setiap kali ditimpa ujian, masalah dan musibah, suka saya mengingat kembali bait-bait abidah yang agung ketika zaman tabiin dahulu.

Rabiatul 'Adawiyah ketika ditanya mengenai sifat reda, jawabnya:

"Seseorang itu mampu mencapai maqam redanya apabila bergembira dengan musibah yang menimpanya seperti mana dia bergembira dengan nikmat yang diterimanya."

Maka, dengan kata-kata ini, saya sentiasa mendidik hati untuk bersyukur dengan penuh reda atas setiap kecelakaan yang menimpa saya seperti Allah melimpahkan rahmat-Nya yang tiada tolok bandingnya.

Moga saya, kamu dan kita semua senantiasa dalam pelukan kasih dan reda-Nya.



Salam sayang,
Qusyaimah Rosman 

Tuesday 16 February 2016

Panduan Permohonan Nikah

Bismillah.

Assalamu'alaikum wbt.

Siang tadi semasa scroll di FB terjumpa Puan Razz berkongsikan prosedur permohonan nikah. Saya share di sini untuk rujukan akan datang. Hehe. Kalau share di wall, takut-takut tidak jumpa pula apabila sudah sampai masanya nanti. Hehe =P

Menurut beliau, permohonan nikah untuk negeri Johor hanya boleh dibuat 3 bulan sebelum tarikh pernikahan. Sekiranya permohonan dibuat terlalu awal, permohonan tersebut tidak sah. Permohonan ini bergantung pada negeri masing-masing.

Untuk pasangan yang berlainan negeri, pihak lelaki perlu lakukan dulu proses permohonan tersebut untuk mendapatkan "surat kebenaran luar negeri" daripada pihak lelaki. Pihak lelaki perlu mengisi dan menyelesaikan permohonan tersebut terlebih dahulu dan setelah selesai, serahkan surat tersebut kepada pihak perempuan. Kalau sama negeri dan daerah tidak perlu surat kebenaran tersebut, tetapi kalau sama negeri dan berlainan daerah prosedurnya sama seperti berlainan negeri.

Sementara menunggu pihak lelaki uruskan borang permohonan mereka, pihak perempuan bolehlah uruskan mana-mana yang patut terlebih dahulu.

Langkah-langkahnya:

1- Masuk ke laman web ini http://encr.johor.gov.my/ dan pilih no 2 daftarkan sebagai pengguna baharu. Apabila keluar terma dan syarat, tekan butang terima. Selepas itu, masukkan no ic dan tekan daftar.

2- Dalam masa lebih kurang 5 minit, kita sudah boleh log in sebagai ENCR Johor.

3- Ada satu column kena masukkan Id ENCR pasangan. Sekiranya pasangan bukan dari Johor, abaikan. Lengkapkan yang mana perlu sahaja.

4- Setelah log in, tekan permohonan baru nikah. Isikan kesemua keperluan yang diminta (etc: profil diri, borang wali dll). Isi dengan selengkapkan. Mana-mana yang tidak berkaitan abaikan. Bahagian wali wajib ikut turutan. Kalau masih ada ayah, letak ayah yang pertama. Kalau dah tak ada ayah, letak ikut turutan. Rujuk aliran wali kalau tak pasti!

5- Jika sudah selesai, klik "hantar permohonan." Kalau dah klik, dia akan paparkan column dokumen, di situ boleh semak status permohonan sama ada belum dihantar atau semakan pejabat daerah.

6- Cetak semua borang yang ada sebagai langkah berjaga-jaga. Kalau apa-apa jadi kita ada bukti.

7- Selepas itu, kita akan diberikan checklist dokumen yang kita perlu sediakan sebelum kita hantar semua borang tu ke pejabat kadi daerah.

8- Antara dokumen yang diperlukan:

*kad pengenalan asal dan salinan
*slip permohonan pernikahan online
*borang pengesahan saksi kebenaran pernikahan beserta salinan kad pengenalan saksi (diisi dan ditanda tangan oleh BUKAN ahli keluarga sebagai pengesahan. Boleh minta rakan lelaki tanda tangan. Dia tak ada masa nikah pun tak apa.)
*salinan kad pengenalan wali
*surat akuan bujang/ janda/ duda, boleh dapatkan dari majikan jika majikan Islam. Jika tidak bekerja/ majikan bukan Islam, boleh dapatkan daripada penghulu kampung. 
*surat pengesahan bermastautin (boleh dapatkan daripada penghulu)
*borang pengesahan HIV test
*salinan sijil pra perkahwinan 
*salinan sijil kahwin mak ayah
*surat kebenaran nikah luar kawasan daripada pasangan (jika pasangan luar negeri/ daerah)

9- Fotokopi semua dokumen yang dinyatakan. So, ada dua. Satu yang asal dan satu lagi salinan.

10- Bawa semua dokumen ni pergi pejabat kadi daerah masing-masing. Jika pasangan sama daerah, kena pergi sama-sama kalau lain-lain, pergi sendiri je.

11- Siap sedia sebab pejabat kadi negeri Johor akan ada interview untuk bakal pengantin. Jangan risau, soalannya senang-senang dan kalau tak dapat jawab, insyaa Allah tak kena marah. Hehe.

12- Sudah selesai interview, kita perlu dapatkan borang pink tetapi dikenakan sedikit bayaran. Pihak kadi akan berikan no telefon imam yang akan nikahkan kita, dan kita hubungi imam tu untuk tetapkan tarikh nikah serta serahkan borang tersebut pada dia. Pastikan ingatkan dia 2-3 hari sebelum nikah.

Semoga bermanfaat untuk semua pasangan yang bakal membina masjid. Moga hubungan kalian berkekalan hingga ke Jannah-Nya. Amin. =) Terima kasih atas perkongsian ini Puan Razz. Moga Allah memberikan kemudahan dan kebahagiaan pada puan dan keluarga. Insyaa Allah. ^_^





Salam sayang,
Qusyaimah Rosman. 

Status Berijazah!

Bismillah.

Assalamu'alaikum wbt dan salam kasih sayang.

Alhamdulillah. Pagi ini para pelajar USM sudah boleh membuat semakan keputusan peperiksaan akhir. Terima kasih Allah, kerana dengan rahmat-Mu aku telah sampai ke puncak ini. Jika mahu dibandingkan dengan usahaku sendiri, nescaya aku akan terkandas di tengah-tengah pencarian hidup yang sangat mencabar ini. Akhirnya, statusku sebagai pelajar telah berubah menjadi BERIJAZAH! 

Walaupun keputusanku tidaklah secemerlang rakan-rakan yang lain, namun aku percaya, di mana ada usaha dan kemahuan pasti akan ada kejayaan yang menanti. Tambahan pula, peluang pekerjaan pada hari ini menuntut pengalaman dan soft skills yang ada dalam diri graduan dan bukan dilihat pada pointer semata-mata. Bagiku, pointer itu adalah kepuasan. Kepuasan individu apabila kita mendapat keputusan yang baik, kita semakin bersemangat untuk menggapai kejayaan. Namun, fokus terhadap akademik juga perlulah diselang selikan dengan kemahiran yang lain agar kita berhasil menjadi seorang graduan yang serba boleh setelah kita tamat pengajian. Ceburkan diri kalian dalam pelbagai bidang. Penuhkan masa kalian dengan aktiviti yang bermanfaat dan bukan hanya terperap di dalam bilik pada hujung minggu. (perkara yang saya selalu lakukan jika tiada latihan PALAPES. Hehe. :P ) 

Di sebalik kejayaan ini, ingin aku titipkan jutaan terima kasih buat mama dan papa yang tidak pernah jemu untuk memberikan semangat dan dorongan pada diri ini. Merekalah tulang belakang yang senantiasa menjadi penguat tika diri ini benar-benar lemah. 

Ribuan terima kasih juga dititipkan buat semua pensyarah yang sangat banyak mencurahkan ilmu tanpa kenal erti penat dan lelah. Halalkan segala ilmu yang pernah dicurahkan pada anak didikmu ini. Jasa kalian hanya mampu dibalas oleh Allah s.w.t. Terima kasih kerana memberikan cahaya pada insan yang meraba-raba mencari sinar dalam kegelapan. 

Terima kasih dan tahniah turut diucapkan kepada rakan-rakan Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan khusunya rakan-rakan yang bermajor dalam Sastera. Allah dengar doa dan rintihan kita. Allah menghadiahkan kita sebuah senyuman yang mampu diukir buat ibu bapa kita. Alhamdulillah. Jumpa kalian pada April nanti. 

Untuk mereka yang senantiasa mendoakan diri ini, terima kasih atas doa kalian. Allah pasti membalas setiap butir doa yang kalian titipkan untuk insan lain. Satu kejayaan yang kalian doakan, seribu kejayaan menanti kalian. Syukran. 

Buat rakan-rakan dan adik-adik yang masih meneruskan perjuangan, berjuanglah dengan hati kerana manisnya akan dirasai di penghujung jalan nanti. Manfaatkan kehidupan sebagai pelajar dengan sebaiknya kerana ia tidak akan pernah berulang kembali. Jatuh bangun kita hanya Allah mengerti. Sematkan di hati aku pasti beroleh kejayaan suatu hari nanti. Insyaa Allah. :)



Salam sayang, 
Qusyaimah Rosman. 

Thursday 7 January 2016

Minggu Peperiksaan

Bismillah.

Assalamu'alaikum wbt dan selamat pagi.

Hari ini, saya dan rakan-rakan major Kesusasteraan akan menduduki kertas peperiksaan kedua kami iaitu kertas Pensejarahan. Semoga segala yang kami pelajari dan segala yang kami usahakan dapat membantu kami untuk menjawab soalan dengan baik pada petang ini. Insyaa Allah. 

Untuk awak yang sedang berjuang untuk kertas terakhir semester ini, saya doakan semoga awak diberi kelapangan hati dan ketajaman akal fikiran untuk menjawab dengan baik setiap soalan yang diberikan. Tawakaltu 'alallah. Insyaa Allah. 

Doakan kejayaan kami! Terima kasih. :)




Salam sayang,
Qusyaimah Rosman

Saturday 2 January 2016

Tahun Baru Masihi 2016

Bismillah.

Assalamu'alaikum wbt dan salam mahabbah.

Syukur alhamdulillah, Allah masih memberikan kita kesempatan untuk terus menikmati kehidupan ini. 2015 telah berlalu meninggalkan kita dengan kenangan yang tercipta di dalamnya. Moga pada tahun 2016 ini kita dapat mencipta sesuatu yang lebih bermakna agar dapat menjadi memori indah dalam sejarah kehidupan kelak. 

Allah, cepatnya masa berlalu. Tinggal lebih kurang dua minggu sahaja lagi diri ini bakal menamatkan pengajian ijazah sarjana muda. Terasa masa yang berlalu bagai angin lalu yang kadang kala membuatkan kita terleka tatkala angin yang segar berhembus dan menampar lembut diri ini dan hanya akan tersedar tika bahang mula melahirkan keringat pada tubuh kerdil ini. Pelbagai memori manis dan pahit yang telah tercipta di sini. Universiti Sains Malaysia pasti akan sentiasa segar dalam kotak ingatan hingga ke akhirnya. Terima kasih Allah atas kenangan yang sangat bermakna ini. :)

Buat mama, papa dan adik-adik tercinta, tanpa kalian jasad ini seakan-akan mati. Jiwa ini pastinya kosong. Terima kasih kerana senantiasa di sisi, menemani kala sepi dan menyuntik kata-kata semangat sebagai pemangkin diri. Terima kasih mama dan papa kerana melahirkan, membesarkan dan mendidik diri ini hingga ke hari ini. Hanya Allah yang mampu membalas segalanya.

Untuk skuad Kala Rimba yang dirindui, sesungguhnya kalianlah keluarga terbesar yang pernah saya miliki sepanjang berada di USM ini. Walau pun kadang kala ada masa kita bermasam muka, terguris hati, terlepas kata namun semua itu bukan pengkakhiran sebuah cerita. Cerita ini akan kekal selamanya sebagai sebuah ceritera yang indah dan bakal dikenang saat hati-hati kita merindui satu sama lain. Terima kasih atas perkenalan yang sangat bermakna ini.

Untuk rakan-rakan seperjuangan sastera yang disayangi, kalian juga amat bermakna pada saya. Kerenah, ragam dan tingkah kalian begitu menghiburkan. Terasa rugi kerana saya amat jarang meluangkan masa bersama-sama kalian. Tidak mengapalah kerana rindu ini akan selamanya tersemat di hati meskipun kalian jauh di mata. Insyaa Allah, jika diizinkan, jika jasad masih bernyawa, kita pasti akan bersua pada hari kita bergraduasi nanti.

Untuk kamu yang saya kasihi, semoga Allah menyatukan kita pada saat dan waktu yang diatur Ilahi. Semoga dipermudahkan segalanya nanti. Jaga iman, jaga diri, jaga hati. 

Untuk semua yang pernah hadir dalam hidup ini, terima kasih kerana kalian pernah menjadi sebahagian daripada sejarah hidup yang amat bermakna. Semoga kalian senantiasa dalam lindungan dan rahmat Allah. Moga kalian terus berjaya dalam hidup. Terima kasih atas segalanya. 



Salam sayang,
Qusyaimah Rosman.