Tuesday 16 February 2016

Panduan Permohonan Nikah

Bismillah.

Assalamu'alaikum wbt.

Siang tadi semasa scroll di FB terjumpa Puan Razz berkongsikan prosedur permohonan nikah. Saya share di sini untuk rujukan akan datang. Hehe. Kalau share di wall, takut-takut tidak jumpa pula apabila sudah sampai masanya nanti. Hehe =P

Menurut beliau, permohonan nikah untuk negeri Johor hanya boleh dibuat 3 bulan sebelum tarikh pernikahan. Sekiranya permohonan dibuat terlalu awal, permohonan tersebut tidak sah. Permohonan ini bergantung pada negeri masing-masing.

Untuk pasangan yang berlainan negeri, pihak lelaki perlu lakukan dulu proses permohonan tersebut untuk mendapatkan "surat kebenaran luar negeri" daripada pihak lelaki. Pihak lelaki perlu mengisi dan menyelesaikan permohonan tersebut terlebih dahulu dan setelah selesai, serahkan surat tersebut kepada pihak perempuan. Kalau sama negeri dan daerah tidak perlu surat kebenaran tersebut, tetapi kalau sama negeri dan berlainan daerah prosedurnya sama seperti berlainan negeri.

Sementara menunggu pihak lelaki uruskan borang permohonan mereka, pihak perempuan bolehlah uruskan mana-mana yang patut terlebih dahulu.

Langkah-langkahnya:

1- Masuk ke laman web ini http://encr.johor.gov.my/ dan pilih no 2 daftarkan sebagai pengguna baharu. Apabila keluar terma dan syarat, tekan butang terima. Selepas itu, masukkan no ic dan tekan daftar.

2- Dalam masa lebih kurang 5 minit, kita sudah boleh log in sebagai ENCR Johor.

3- Ada satu column kena masukkan Id ENCR pasangan. Sekiranya pasangan bukan dari Johor, abaikan. Lengkapkan yang mana perlu sahaja.

4- Setelah log in, tekan permohonan baru nikah. Isikan kesemua keperluan yang diminta (etc: profil diri, borang wali dll). Isi dengan selengkapkan. Mana-mana yang tidak berkaitan abaikan. Bahagian wali wajib ikut turutan. Kalau masih ada ayah, letak ayah yang pertama. Kalau dah tak ada ayah, letak ikut turutan. Rujuk aliran wali kalau tak pasti!

5- Jika sudah selesai, klik "hantar permohonan." Kalau dah klik, dia akan paparkan column dokumen, di situ boleh semak status permohonan sama ada belum dihantar atau semakan pejabat daerah.

6- Cetak semua borang yang ada sebagai langkah berjaga-jaga. Kalau apa-apa jadi kita ada bukti.

7- Selepas itu, kita akan diberikan checklist dokumen yang kita perlu sediakan sebelum kita hantar semua borang tu ke pejabat kadi daerah.

8- Antara dokumen yang diperlukan:

*kad pengenalan asal dan salinan
*slip permohonan pernikahan online
*borang pengesahan saksi kebenaran pernikahan beserta salinan kad pengenalan saksi (diisi dan ditanda tangan oleh BUKAN ahli keluarga sebagai pengesahan. Boleh minta rakan lelaki tanda tangan. Dia tak ada masa nikah pun tak apa.)
*salinan kad pengenalan wali
*surat akuan bujang/ janda/ duda, boleh dapatkan dari majikan jika majikan Islam. Jika tidak bekerja/ majikan bukan Islam, boleh dapatkan daripada penghulu kampung. 
*surat pengesahan bermastautin (boleh dapatkan daripada penghulu)
*borang pengesahan HIV test
*salinan sijil pra perkahwinan 
*salinan sijil kahwin mak ayah
*surat kebenaran nikah luar kawasan daripada pasangan (jika pasangan luar negeri/ daerah)

9- Fotokopi semua dokumen yang dinyatakan. So, ada dua. Satu yang asal dan satu lagi salinan.

10- Bawa semua dokumen ni pergi pejabat kadi daerah masing-masing. Jika pasangan sama daerah, kena pergi sama-sama kalau lain-lain, pergi sendiri je.

11- Siap sedia sebab pejabat kadi negeri Johor akan ada interview untuk bakal pengantin. Jangan risau, soalannya senang-senang dan kalau tak dapat jawab, insyaa Allah tak kena marah. Hehe.

12- Sudah selesai interview, kita perlu dapatkan borang pink tetapi dikenakan sedikit bayaran. Pihak kadi akan berikan no telefon imam yang akan nikahkan kita, dan kita hubungi imam tu untuk tetapkan tarikh nikah serta serahkan borang tersebut pada dia. Pastikan ingatkan dia 2-3 hari sebelum nikah.

Semoga bermanfaat untuk semua pasangan yang bakal membina masjid. Moga hubungan kalian berkekalan hingga ke Jannah-Nya. Amin. =) Terima kasih atas perkongsian ini Puan Razz. Moga Allah memberikan kemudahan dan kebahagiaan pada puan dan keluarga. Insyaa Allah. ^_^





Salam sayang,
Qusyaimah Rosman. 

Status Berijazah!

Bismillah.

Assalamu'alaikum wbt dan salam kasih sayang.

Alhamdulillah. Pagi ini para pelajar USM sudah boleh membuat semakan keputusan peperiksaan akhir. Terima kasih Allah, kerana dengan rahmat-Mu aku telah sampai ke puncak ini. Jika mahu dibandingkan dengan usahaku sendiri, nescaya aku akan terkandas di tengah-tengah pencarian hidup yang sangat mencabar ini. Akhirnya, statusku sebagai pelajar telah berubah menjadi BERIJAZAH! 

Walaupun keputusanku tidaklah secemerlang rakan-rakan yang lain, namun aku percaya, di mana ada usaha dan kemahuan pasti akan ada kejayaan yang menanti. Tambahan pula, peluang pekerjaan pada hari ini menuntut pengalaman dan soft skills yang ada dalam diri graduan dan bukan dilihat pada pointer semata-mata. Bagiku, pointer itu adalah kepuasan. Kepuasan individu apabila kita mendapat keputusan yang baik, kita semakin bersemangat untuk menggapai kejayaan. Namun, fokus terhadap akademik juga perlulah diselang selikan dengan kemahiran yang lain agar kita berhasil menjadi seorang graduan yang serba boleh setelah kita tamat pengajian. Ceburkan diri kalian dalam pelbagai bidang. Penuhkan masa kalian dengan aktiviti yang bermanfaat dan bukan hanya terperap di dalam bilik pada hujung minggu. (perkara yang saya selalu lakukan jika tiada latihan PALAPES. Hehe. :P ) 

Di sebalik kejayaan ini, ingin aku titipkan jutaan terima kasih buat mama dan papa yang tidak pernah jemu untuk memberikan semangat dan dorongan pada diri ini. Merekalah tulang belakang yang senantiasa menjadi penguat tika diri ini benar-benar lemah. 

Ribuan terima kasih juga dititipkan buat semua pensyarah yang sangat banyak mencurahkan ilmu tanpa kenal erti penat dan lelah. Halalkan segala ilmu yang pernah dicurahkan pada anak didikmu ini. Jasa kalian hanya mampu dibalas oleh Allah s.w.t. Terima kasih kerana memberikan cahaya pada insan yang meraba-raba mencari sinar dalam kegelapan. 

Terima kasih dan tahniah turut diucapkan kepada rakan-rakan Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan khusunya rakan-rakan yang bermajor dalam Sastera. Allah dengar doa dan rintihan kita. Allah menghadiahkan kita sebuah senyuman yang mampu diukir buat ibu bapa kita. Alhamdulillah. Jumpa kalian pada April nanti. 

Untuk mereka yang senantiasa mendoakan diri ini, terima kasih atas doa kalian. Allah pasti membalas setiap butir doa yang kalian titipkan untuk insan lain. Satu kejayaan yang kalian doakan, seribu kejayaan menanti kalian. Syukran. 

Buat rakan-rakan dan adik-adik yang masih meneruskan perjuangan, berjuanglah dengan hati kerana manisnya akan dirasai di penghujung jalan nanti. Manfaatkan kehidupan sebagai pelajar dengan sebaiknya kerana ia tidak akan pernah berulang kembali. Jatuh bangun kita hanya Allah mengerti. Sematkan di hati aku pasti beroleh kejayaan suatu hari nanti. Insyaa Allah. :)



Salam sayang, 
Qusyaimah Rosman.