Friday 14 December 2018

Kesempurnaan

Dalam tidak sedar, kita selalu mencintai sesuatu yang tidak sempurna.
Mencintai bulan dengan permukaan penuh lubang.
Mencintai mawar yang penuh duri.
Tetapi, kenapa kita tidak mencintai diri sendiri, orang lain dan kehidupan ini yang jelas dan nyata ketidaksempurnaannya?

Meski kita rasakan sesuatu itu tidak sempurna, tetapi ia masih indah bukan?

Lihat sahaja pada bulan.
Bulan sangat cantik untuk ditatap pada malam yang gelap.
Bulan sangat indah menerangi segenap pelosok alam.
Bulan tampak sempurna ditatap dari kejauhan.
Hakikatnya, bulan hanya menumpang cahaya mentari.
Permukaan bulan tidaklah seindah tatapan mata yang melihat.

Renung pula pada sekuntum mawar.
Warnanya merona merah menjadi penyeri.
Baunya harum mekar sekali.
Namun, mawar dipagari duri-duri berbisa.
Meski penuh duri, mawar selalu saja dipuja.
Mawar juga sering kali menjadi simbolik cinta.

Tidak semua yang tidak sempurna itu menjadi titik kelemahan kepada sesuatu itu. 
Barangkali, ketidaksempurnaan itulah yang menjadikan sesuatu itu lebih berharga dan bererti.
Hargailah walau apa pun yang ada di sisi.
Hidup ini bukanlah untuk mencari kesempurnaan semata-mata tetapi renung kembali adakah kita selayaknya menjadi pelengkap kepada kekurangan sesuatu untuk menjadikannya sempurna.

Kesempurnaan adalah milik Allah.
Kesempurnaan juga hanya milik Allah.
Tiada yang lebih sempurna dan sesempurna Allah Azza Wajalla.




Insan tak sempurna,
Qusyaimah Rosman


Sunday 2 December 2018

Ujian dan Rahmat

Konflik-konflik yang seringkali hadir dalam kehidupan seorang manusia merupakan qada’ dan qadar (ketentuan) daripada Allah S.W.T. Kita yang namanya hamba, sangat perlu untuk sedar dan menerima hakikat bahawa sesungguhnya antara tujuan penciptaan manusia adalah untuk diuji dan dinilai oleh Allah S.W.T. Malangnya akal manusia yang cetek membuatkan kita terlalu prejudis dan bersangka buruk dengan ketetapan yang telah Dia aturkan.

Bukan semua ketetapan yang baik pada pandangan kita, semudahnya boleh kita takrifkan sebagai rahmat. Bukan semua ketentuan yang buruk pada penglihatan kita, semudahnya pula kita hukum sebagai musibah dari Tuhan. Kita terlupa, di sebalik  turunnya ujian itu tersembunyi jutaan kenikmatan, dan diturunkan nikmat sedangkan nikmat itu adalah ujian dari-Nya. Hakikatnya, apapun jua yang Allah kurniakan baik nikmat mahupun ujian merupakan sebahagian daripada kehidupan.

Kehidupan di dunia ini ibarat setitis air. Jika kita tidak mampu mendapatkan dunia, jangan bersedih kerana yang kita tidak mampu untuk capai adalah hanya setitis air. Jika kita mampu mendapatkan dunia pula, jangan sesekali kita berbangga kerana yang kita dapatkan hanyalah setitis air. Kehidupan akhirat jualah yang kekal abadi. Berusahalah untuk meraih syurga Allah kerana nikmat yang sebenar adalah ketika kita berjaya menggenggam akhirat melebihi dunia.

Kuatkan hati untuk menempuh ujian yang Allah titipkan. Hanya kita yang mampu untuk mengubah nasib kita sendiri. Hanya kita yang mampu untuk memastikan bahawa tiada seorang pun yang mampu menilai kita sebaik penilaian Allah terhadap kita. Percayalah, takdir dan perancangan Allah itu selalunya yang terbaik. Insyaa Allah.


Hamba yang diuji,
Qusyaimah Rosman

Tuesday 23 October 2018

Lembaran Kehidupan

Jika kita renungkan, kehidupan ini adalah ibarat sebuah buku. 
Kulit depannya adalah tanda awal kelahiran kita ke dunia. 
Kulit akhirnya pula adalah pengakhiran jalan hidup kita. 

Setiap lembaran yang disingkap adalah gambaran perjalanan hidup kita. 
Halamannya juga berbeza. 
Ada halaman yang tebal, ada juga halaman yang tipis. 
Ada kisah yang sangat menarik untuk dibaca, ada juga kisah sedih sebagai renungan. 
Ada cerita yang membosankan, ada juga cerita yang mendatar. 
Jalan cerita ini akan berkekalan hingga ke hujung usia. 
Tidak boleh dipadam dan tidak boleh diubah. 

Mungkin akan ada halaman lepas yang telah tercatat kisah buruk di dalamnya. 
Mungkin juga ada halaman yang hanya penuh dengan kisah duka. 
Seburuk mana pun kisah lalu, masih ada ruang yang bisa diubah. 
Sepahit mana pun masa lalu, masih ada lembaran putih bersih untuk kita coretkan kisah yang baru. 

Selagi masih ada nafas, kita selalu sahaja akan ada kesempatan untuk memperbaiki kesilapan yang lalu. Kita selalu sahaja ada peluang untuk mencoret kembali kehidupan kita hingga nyawa bercerai dari badan. 

Bersyukurlah kepada Tuhan untuk hari ini, semalam dan akan datang. 
Coretkanlah kisah yang indah agar menjadi kenangan di hari tua. 
Titipkanlah cerita yang baik agar menjadi penyelamat tika dipersembah di hadapan Tuhanmu. 


Salam sayang, 
Qusyaimah Rosman

Sunday 14 October 2018

Ujian Adalah Tarbiah

Kesedihan yang kita rasa ini adalah ujian dari Allah. Kesedihan ini adalah cara-Nya untuk mengembalikan kita kepada jiwa fitrah, jiwa hamba.

Mungkin ada ketikanya kita lalai dari mengingati DIA, apatah lagi untuk beristighfar dan bertaubat. Lalu DIA tiupkan sedikit ujian agar kita tidak terus terbuai dan terleka.

Ujian itu bukan kerana DIA membenci. DIA hanya mahu kita kembali pada-Nya. Kerana apa? Kerana kasih dan cinta-Nya melebihi kita mencintai diri kita sendiri.

Semua perkara yang berlaku, sudah Allah tuliskan di langit. Dan kenapa Allah nyatakan dalam kitab-Nya begitu?

Sebab Allah tidak mahu kita berduka cita atas apa-apa perkara yang terlepas atau telah berlalu.

Allah mahu kita tahu, takdir adalah milik DIA. Sesuatu yang berlaku juga adalah atas keizinan-Nya. Sebagai hamba, selagi kita punya masa, selagi ada nafas, maka kita harus menunaikan tanggungjawab sebagai hamba tanpa mempedulikan erti keputusasaan.

Semuanya Allah jadikan bersebab.
Walau kita tidak pernah tahu apa hikmahnya, kita perlu bersabar. Suatu detik nanti, Allah akan tunjukkan hikmah yang menjadi kerahsiaan-Nya selama kita bersabar.

Ujian ini juga sebagai suatu peringatan, ujian ini juga adalah tarbiah agar di masa hadapan, kita tidak terlalu yakin dengan perkara yang belum pasti. Kita akan lebih berhati-hati kerana sekali kita tersilap langkah, untuk kembalikan semula semangat diri adalah sesuatu yang sukar diraih kembali.

Kita merancang, DIA menentukan.

Moga kita akan lebih mengenal Tuhan, mengenal diri sendiri dan mengenal makna cinta melalui tiap ujian yang dikirim Ilahi.

Moga kita lebih kuat untuk melalui fasa-fasa ujian yang Allah tiupkan kini dan masa mendatang.

Terima kasih untuk mereka yang sentiasa di sisi saat diri ini hilang punca dan arah. Terima kasih untuk tangan yang dihulur untuk menyambut kembali saat diri tidak lagi bermaya .Terima kasih kerana tidak membenci sedang ada hati yang terus terusan mencari jalan agar diri ini dibenci. Hanya Allah yang mampu membalas semuanya.


Salam sayang,
Qusyaimah Rosman

Sunday 7 October 2018

Hakikat Bahagia

Apa sebenarnya hakikat bahagia?

Ada seorang kaya, hartanya banyak, dia naik sebuah kereta yang besar, megah dan mewah. Dalam perjalanan dia lihat ke sebelah kanan ada sebuah kawasan padi yang luas dan menghijau. Lalu dia pandang ada kanak-kanak kecil dan ibunya sedang membawa makanan menuju ke pondok usang yang terletak di tengah-tengah kawasan padi tersebut. Kelihatan dari jauh seorang lelaki sedang menanti anak dan isterinya di pondok usang itu. Kalian tahu apa kata orang kaya di dalam kereta itu? 

"Oh, bahagianya petani itu. Di saat perutnya lapar, isteri dan anaknya datang, makanan tiba pada waktunya. Air minum dapat menghilang dahaga. Hilang rindu dan sirna kerana isteri dan anak ada di sisinya. Bahagianya menjadi petani." Bisik orang kaya itu di dalam hatinya. 

Semasa orang kaya berfikir bahawa dia tidak bahagia, si petani bersama anak dan isteri di pondok itu pula memandang orang kaya di dalam kereta itu. Apa kata petani itu?

"Betapa bahagia orang kaya itu bersama-sama kereta mewahnya sedangkan aku hanya duduk di pondok yang usang ini. Menjalani hari yang penuh liku di bawah terik mentari."

Maka, pada hakikatnya kedua -dua manusia ini tidak bahagia.

Lalu sebenarnya bahagia itu di mana?

Mari kita renungkan sejenak contoh yang paling asas. Ada seorang anak yang sedang menuntut di universiti. Dia berasa sangat bahagia apabila dia berjaya menggenggam segulung ijazah. Lalu, setelah dia memperoleh segulung ijazah, hatinya juga masih belum bahagia. Dia beranggapan, barang kali dia akan lebih bahagia jika dia berjaya menyambung ke peringkat sarjana. Namun, setelah dia berjaya menamatkan sarajananya, dia masih juga belum mengecapi bahagia dan mungkin setelah dia berjaya menyambung PhD dia akan lebih bahagia. Setelah berjaya mendapatkan PhD, dia masih juga merungut kerana susah untuk mendapatkan pekerjaan.

Jadi sebenarnya bahagia itu kepunyaan siapa?

Oleh sebab itu, apabila kita banyak membaca kitab, maka kita akan ketahui bahawa makna Sa'adah ialah kebahagiaan. Orang yang bahagia itu pula Sa'id. Bahagia adalah Insyirahus Sadr iaitu ketika hati terasa lapang dengan apa pun yang datang.

Jika pelajar yang mendapatkan ijazah itu hatinya lapang, dia akan bahagia. Jika petani yang berada di pondok usang itu hatinya lapang, tentulah dia bahagia. Jika orang kaya dengan keretanya yang besar itu hatinya lapang, pastinya dia bahagia.

Itulah sebabnya ketika Nabi Musa a.s dalam kesusahan hatinya untuk melawan ayah angkatnya bernama Firaun, dia minta hati yang lapang. Kita semua selalu membaca doa itu :

رَبِّ ا شْرَحْ لِيْ صَدْرِ وَيَسِّرْلِيْ اَمْرِيْ وَاحْلُلْ عُقْدَةً مِنْ لِسَانِيْ يَفْقَهُوْ قَوْلِيْ

Ertinya : "Ya Tuhan, lapangkanlah dadaku, mudahkanlah segala urusanku, dan lepaskanlah kekakuan lidahku, agar mereka mengerti perkataanku." (Thaaha 20: 25-28)

Oleh sebab itu, walaupun kakinya pecah berdarah, giginya patah, pelipisnya luka menitiskan darah, tetapi dia masih mampu tersenyum bahagia kerana Allah kurniakan kelapangan hati padanya. 

Jika kita menyelusuri kisah-kisah tokoh hebat, hati lapang itulah yang membuatkan Haji Abdul Malik Karim (Buya Hamka) tersenyum di dalam penjara. Penanya berjalan perlahan tapi pasti, maka keluarlah Tafsir Al-Azhar. Hati yang lapang itu juga membuat Syed Qutub tersenyum menghadapi tali gantungan meskipun di penjara oleh Kamal Abdul Nasir tetapi sebelum kematiannya sempat pula menulis tafsir Fizilalil Quran (Under The Shadow of Al-Quran/ Di bawah Nungan Bayang-bayang al-Quran).

Apa kata Syed Qutub di dalam mukaddimahnya?

"Al hayatul fizilalil quran nikmah." Hidup di bawah naungan bayang-bayang al-Quran itu nikmat. Tidak ada yang mengetahuinya kecuali orang yang pernah merasakannya. Maka bahagia adalah ketika hati terasa lapang.

Apabila kita lihat raut wajah orang yang tenang cerah, maka ketenangan bukan pada wajahnya. Apabila lihat orang melangkahkan kaki dengan tenang penuh wibawa, maka ketenangan bukan pada kakinya dan apabila kita lihat ayunan tangannya tidak tergesa-gesa maka bahagia bukan pada tangannya.

Lalu, di mana letak bahagia itu?

Ketahuilah dalam jasad ada segumpal daging, jika yang segumpal itu baik, maka yang lain akan turut menjadi baik. Kalau yang segumpal itu rosak, maka yang lainnya juga akan turut rosak. Dengan segumpal daging itulah yang mengendalikan mata, telinga, tangan, kaki. Dengan segumpal daging itulah tempat berasa rindu, benci, marah, redha, ikhlas, fasik, hasad, dan kufur. Di sanalah bersemayam rindu dan benci. Maka jangan terlampau benci. Kalau sayang, sayanglah secukupnya sahaja kerana boleh jadi hari ini kita sayang esok berubah menjadi kebencian. Kalau kamu benci, bencilah sekadarnya sahaja kerana boleh jadi esok pagi dia menjadi orang yang tersayang.

Maka, jagalah seketul daging itu kerana pada hari itu tidak ada guna harta, tidak ada guna anak, kecuali orang yang datang menghadap Allah dia datang dengan hati yang zalim.  Qalbu itu sifatnya berbolak balik. Qalbu itu tidak selamanya bahagia. Kadang kala pada waktu pagi hati terasa tenang tetapi apabila petang hati menjadi susah. Kadang kala ada waktu pagi hati terasa lapang, apabila masuknya petang, hati menjadi gundah.

Apa yang dapat menolong supaya hati sentiasa lapang?

Ketahuilah dengan banyak menyebut dan mengingati Allah maka hati akan menjadi lapang.

Hati orang beriman berada di antara jari-jemari kuasa Ar-Rahman. Kalau dia hendak dia akan menjadikan yang senang menjadi susah, kalau dia berkehendak yang susah, dia balik menjadi lapang.

Berapa banyak orang yang mungkin kita kata dia susah tetapi dia masih boleh tersenyum. Sebaliknya orang yang menurut pandangan zahir kita cukup segala, tapi tampaknya kesenangan tidak pernah singgah di hatinya kerana hati milik Allah. Hati ada dalam diri kita tetapi hati bukan kepunyaan kita.

Apa yang ada di langit, apa yang ada di bumi semuanya milik Allah dan ia akan berbalik kepada Allah. Dari Allah balik kepada Allah, senang mengucapkannya, payah mengamalkannya dan lebih sulit memasukkannya ke dalam hati.

Wallahua'alam.



Qusyaimah Rosman 

Tuesday 27 February 2018

Coretan IV

Bismillah.

Assalamu'alaikum wbt.

Hai semua. Apa khabar? Moga kalian diberikan kesihatan yang baik, dipermudahkan urusan dan diberikan kebahagiaan oleh Allah swt. :)

Hari ini saya kira hari yang sangat manis bagi saya walaupun dalam masa yang sama saya stress sebab cari barang hilang tak jumpa. 😫 Lumrah bekerja, ada hari segalanya lancar, ada hari tugasannya sangat mencabar. Tidak mengapa, semakin banyak cabaran saya tempuh, semakin banyak pengetahuan dan pengalaman yang saya timba. Alhamdulillah. 💪 Tapikan nak stress pun tak jadi sebab tiba-tiba bila ada orang tanya, "awak kerja ok ke semua hari ni?" haha. Ok dah jangan perasan. 😅

Baiklah, berbalik kepada hari yang manis tadi. Alhamdulillah, saya mendapat jemputan perkahwinan daripada seorang sahabat yang saya tidak pernah bersua tetapi hanya berhubung melalui email dan whatsapp atas urusan kerja. Entah kenapa, walau tidak pernah bersua, saya sangat selesa berkawan dengannya. Banyak urusan kerja yang saya senang untuk berurusan dengannya. Tahniah Nur Amalina dan suami. Moga mahligai yang bakal kalian bina akan kekal utuh hingga ke Jannah Allah. Insyaa Allah. 

Lepas habis waktu kerja, saya teman mama ke rumah rakannya. Kebetulan anak kawan mama baru habis pantang. Comel sangat baby dia. Hilang segala penat lelah apabila tengok baby. Sememangnya baby mempunyai aura yang tersendiri. Tak puas rasanya dapat main dengan baby. Nak tunggu anak sendiri, jodoh pun tak nampak bayang lagi. Haha. Jadi kita mainlah dengan anak orang dulu. 😝

Oklah. Itu je nak cerita untuk hari ini. Nak cerita dekat orang, orang pun ada masalah tersendiri. Jadi kita luah dekat sinilah. Well, writing is an option for us to released our stress also. Haha. 

Hai. Saya Aisy.
Saya sangat comel dan tembam. Haha.
 Semoga membesar jadi anak yang soleh dan membahagiakan ibu dan ayah Aisy. 😘


Qusyaimah Rosman



Sunday 25 February 2018

Bermula Langkah Pertama

Bismillah.

Assalamu'alaikum wbt.

Saya sangat terinspirasi melihat orang-orang yang sangat cekal dan tabah hatinya dalam memulakan apa jua bidang yang diceburi. Bagi saya, untuk memulakan sesuatu itu bukan mudah begitu juga untuk mengakhiri apa yang telah kita mulakan juga bukan mudah. Namun, mengakhiri tidak sesukar untuk memulakan kerana untuk memulakan sesuatu itu menuntut pelbagai pengorbanan.

Minggu ini adalah minggu yang sangat sibuk bagi saya. Menyediakan segala keperluan untuk memulakan perniagaan yang baru saya ceburi dengan hasil titik peluh dan usaha saya sendiri adalah sesuatu yang amat rumit malah meletihkan. Namun, keletihan yang saya tanggung bagaikan angin lalu apabila ramai yang berpuas hati dengan apa yang telah saya usahakan. Alhamdulillah. Terima kasih atas sokongan semua.

Apabila saya menceburi bidang perniagaan ini, saya dapat rasakan masa yang saya ada sangatlah berharga. Saya harus bijak menguruskan masa kerana saya bukan sahaja menumpukan pada kerjaya saya semata-mata tetapi saya mempunyai komitmen lain yang perlu saya kerjakan. Allah sangat baik kerana Dia memberikan kemudahan pada saya untuk melalui semua ini dengan mudah.

Hari ini, pagi-pagi lagi saya telah ke pejabat pos untuk pos barang-barang customer. Sedikit sebanyak saya belajar cara-cara untuk membuat pengeposan. Selalunya, sayalah pembeli dan hari ini saya belajar menjadi penjual. 😅 Semoga barang yang dipos tiba dengan selamat pada customer saya.

Semoga saya akan terus istiqomah mengerjakan segala yang telah saya usahakan. Mungkin suatu hari nanti saya akan lebih berjaya dan dapat membantu lebih ramai orang yang memerlukan. Insyaa Allah.

Sampai di sini dahulu celoteh saya pada petang yang berbahagia ini. Letih ke sana sini uruskan hal bisnes. Haha. Macam urus projek juta-juta 😆 Bukan juta-juta pun tak apalah. Asalkan hasil titik peluh dan usaha saya sendiri. Mesti anak cucu saya bangga ada emak dan nenek yang rajin macam saya. Hahahahaha. Oklah. Merapu lebih. Sekian dahulu.




Gadis Halwani,
Qusyaimah Rosman 

Friday 16 February 2018

Langit Tidak Selalunya Cerah

Bismillah.

Assalamu'alaikum wbt.

Dalam hidup kita, pasti Allah pernah hadirkan insan yang membuatkan kita rasa sangat disayangi dan dihargai. Namun, sesetengahnya ditakdirkan oleh Allah untuk tetap kekal bersama-sama hingga terbinanya ikatan yang halal. Sesetengahnya pula, Allah hadirkan orang yang dikasihi hanya bersifat kesementaraan dan akhirnya dia akan pergi sebelum terbinanya ikatan cinta yang pernah dijanjikan. 

Manusia memang sangat mudah untuk melafazkan janji tetapi untuk mengotakan hatta satu janji pun belum tentu kita mampu. Bicara dan perbuatan adalah dua perkara yang sangat jauh bezanya. Sesiapa pun pasti sewenang-wenangnya melafazkan kata janji tika diri terbuai rasa cinta yang sangat mendalam tanpa memikirkan kesan daripada janji yang ditaburi. 

Berjanjilah sekadarnya sahaja agar suatu hari nanti saat tidak tertunai janji-janji yang pernah ditabur, kita tidak akan melukakan hati orang pernah kita berjanji. Tidak usah berjanji setinggi langit jika tidak pasti sama ada janji itu dapat tertunai atau tidak. Mungkin bagi orang yang menabur janji akan menganggap janji itu hanyalah sekadar janji. Jangan kita lupa, orang yang pernah ditaburkan janji itu barang kali akan mengingati janji itu hingga ke mati. 

Ditipu dengan janji-janji palsu adalah sesuatu yang sangat menyakitkan. Ya, sangat menyakitkan ibarat dihunus belati tajam hingga tembus ke dasar hati dan ditarik kembali belati itu dan ditikam kembali. Lebih sakit lagi, jika kita setia dan jujur sepenuhnya, tetapi tetap juga cinta dan kasih dikhianati. Lebih memilukan, kita sebenarnya menyayangi orang yang tidak pernah jujur dan tidak pernah sekali-kali berniat untuk melunaskan janji-janjinya. Cinta dan kesetiaan yang kita bina, diinjak dan dibuang ibarat sampah yang tidak berguna. Sampainya hatimu duhai kasih. 

Begitulah kehidupan ini. Tidak semuanya indah untuk dilalui. Adakalanya, Allah titipkan ujian untuk kita belajar menjadi lebih kuat dan tabah. Ada ketika, Allah memberikan hadiah dalam bentuk ujian untuk kita muhasabah kembali diri dan mengambil iktibar atas asbab sesuatu perkara itu terjadi. Mungkin juga, kerana terlalu lalai dan leka, Allah tidak mahu kita makin jauh dan terpesong maka disegerakan peringatan itu. Allah, kasihnya Allah pada kita sebagai hamba-Nya. :'(

Sekuat mana pun kita pertahankan cinta yang kita bina, tetapi hanya sebelah pihak yang cuba untuk pertahankan, maka akan terlerai jua. Jika seteguh mana kita sama-sama mempertahakan, jika tidak diizinkan Allah, maka akan terpisah jua. Tidak mengapalah. Mungkin perkenalan ini hanyalah sebagai tarbiah agar kita berhati-hati dalam memberi hati. 

Terima kasih atas perkenalan yang singkat ini. Ada ketika kita terbuai suka dan kini segalanya dibalut luka. Semoga suatu hari nanti Allah akan gantikan dengan bahagia. :) 


Salam kasih, 
Qusyaimah Rosman

Sunday 28 January 2018

Selamat Tahun Baru 2018

Bismillah.

Assalamu'alaikum wbt.

Allah, hampir setahun lebih tidak mencoretkan apa-apa di ruangan ini kerana terlupa password blog :( Alhamdulillah disebabkan saya bukan seorang yang mudah berputus asa, malam ini saya telah berjaya mendapatkan kembali blog saya. ^_^ 

Rindu benar rasanya untuk menulis kembali seperti dahulu. Saya selalu meluangkan masa untuk menuliskan apa-apa sahaja yang terlintas di ruang hati dan fikiran. Selepas tamat sahaja pengajian, saya terus sahaja mendapatkan pekerjaan dan alhamdulillah Allah mempermudahkan rezeki saya. Apabila sudah bekerja, masa saya menjadi sangat terhad hingga berbulan-bulan lamanya saya tidak menjengah ke ruangan ini dan akhirnya password saya sendiri pun saya boleh terlupa. 

Rasanya selepas ini, saya akan berkongsi lebih banyak cerita sama ada suka dan duka yang telah saya lalui. Menulis adalah satu-satunya terapi minda bagi saya. Menulis juga dapat memberikan katarsis kepada jiwa-jiwa yang sakit kerana dengan penulisan luahan yang terbuku di hati itu lebih mudah untuk diterjemah berbanding kita menggunakan kata-kata. 

Terima kasih kepada kalian yang sudi singgah ke ruangan saya. Moga penulisan dan perkongsian di dalam ruangan ini dapat menjadi saham akhirat jika saya telah meninggalkan dunia ini suatu hari nanti. Barangkali, perkongsian ini juga dapat menjadi tatapan anak dan cucu saya suatu masa nanti. Insyaa Allah. 


Salam sayang, 
Qusyaimah Rosman.