Assalamu'alaikum wbt.
Syukur alhamdulillah, hari ini menerima dua perkara yang menggembirakan. Perkara pertama ialah penerimaan surat tamat belajar dan status berijazah. Syukur. Terima kasih Allah kerana mendengar doa dan rintihan hamba-Mu yang terlalu banyak khilafnya ini. Alhamdulillah. Terima kasih juga kepada semua yang berjasa dalam mengiringi pahit manis perjuangan selama tiga tahun setengah di USM. Terlalu banyak kenangan yang tercipta.
Manakala perkara yang kedua ialah saya telah diterima bekerja sebagai kerani di sebuah syarikat swasta. Walaupun mungkin hanya sebagai seorang kerani, tetapi bagi seorang graduan yang masih bertatih mencari identiti diri yang sebenar, saya tidak akan pernah berputus asa untuk melangkah lebih jauh suatu hari nanti. Allah Maha Kaya lagi Maha Mengetahui tiap-tiap sesuatu. Mungkin sudah tertulis rezeki saya pada hari ini, hadir ke temu duga pada petang tadi dan esok sudah boleh mula bekerja. Kebanyakan syarikat majoriti tidak mahu mengambil pelajar ijazah kerana tidak mampu untuk membayar gaji mereka. Mujur majikan yang menemu duga saya sebentar tadi sangatlah baik dan sungguh memahami walaupun basic yang ditawarkan pada saya memang sangat jauh dengan kelayakan yang saya ada. Namun, tidak mengapa. Pengalaman yang saya timba itu yang paling penting. Sudah ada majikan yang mahu ambil saya bekerja juga sudah memadai bagi saya sementara menunggu peluang yang lebih baik suatu hari nanti. Aamiin. Mohon doa daripada kalian semua.
Sampai di sini sahajalah dahulu coretan pada malam ini. Maklumlah kena tidur awal supaya esok lebih cergas untuk memulakan kerja. Cewah. Haha. Selamat malam semua. Assalamu'alaikum. :)
Surat Tamat Belajar |
Salam sayang,
Qusyaimah Rosman