Friday, 19 September 2014

Pesan Rindu

Bismillah.

Assalamu'alaikum wbt dan salam Jum'ah.

Langit kelihatan suram pada pagi yang permai ini.
Mungkin juga pada pagi ini langit dan isi bumi
seakan-akan memahami detik hati insan yang mungkin dalam kesedihan.
Mungkin juga langit yang tidak terlalu cerah ini ingin memberikan
kedinginan pada hati yang mungkin sedang hangat membara.
Walau apa pun tanggapan kita pada alam
pasti terkandung seribu satu hikmah yang tidak terjangkau dek akal.

Namun, pada pagi yang suram ini jauh di sudut hati
aku rindu pada mereka di kejauhan.
Rindu pada insan-insan yang penting buatku.
Insan-insan yang akan terus kekal dalam hati.
Sumber inspirasi di kala aku tersungkur.
Tempat berkongsi di kala aku suka dan duka.

Mama, papa redai segala usahaku.
Kadang kala anakmu terlalu lemah.
Lemah dalam meniti pencarian hidup.
Kadang kala juga jiwa anakmu ini akan tersasar.
Tersasar pada kelalaian dunia.
Justeru, aku mohon doa dan restu kalian
agar aku terus kuat berdiri di medan ini.

Angah, adik
Meskipun kakakmu jauh darimu
aku ingin kalian tahu bahawa itu hanya jarak
jarak yang takkan mungkin memisahkan kita.
Jagalah diri kalian agar jadi anak soleh
jauh dari fitnah dunia
agar tidak membenam kita
ke dasar paling hina.




Salam sayang,
Qusyaimah Rosman.


Tuesday, 16 September 2014

Perjuangan

Bismillah.

Assalamu'alaikum wbt.

***

"Awak tahu perjuangan itu apa?" itulah soalan pertama daripada seorang sahabat yang bertanyakan pengertian perjuangan.

Aku terkelu. Pengertian perjuangan itu berlegar-legar di ruang kepala, namun secebis aksara pun tidak bisa kuungkap melalui suaraku.

"Awak tahu tak perjuangan itu adalah sesuatu yang mengubah dunia?"

Aku mengerutkan dahi. Tidak dapat menangkap maksud yang ingin disampaikan.

"Sebelum mengubah dunia, kita perlu tahu, apa itu yang dimaksudkan dengan dunia. Pernah tak awak terfikir perjuangan itu sebenarnya boleh diibaratkan seperti sebuah buku yang sarat dengan kata-kata. Segala yang terkandung dalam buku itu kita boleh ibaratkan seperti isi dunia ini. Jika awak mengubah satu sahaja huruf dalam buku itu, awak sudah pun mengubah buku itu sama ada akan menjadi lebih baik atau awak akan merosakkan keseluruhan buku itu lantas menghilangkan nilai estetika yang terkandung dalam buku itu. Oleh itu, dunia itu adalah segala yang terkandung di dalamnya dan diri kita ini sebenarnya juga adalah lambang kepada dunia."

Aku masih membisu. Fikiranku ligat berputar mencerna setiap bait kata yang diungkapkan. Ternyata makna perjuangan yang tersekat di kerongkongku dengan makna yang dia ungkapkan padaku begitu jauh terpesong. Perjuangan bagiku adalah tika aku sendirian berjalan dengan langkah yang renta, menghadap manusia yang melemparkan senyuman sinis padaku sebagai tanda aku manusia lemah dan tewas. Lalu, aku merengkuh sisa semangat yang membuak-buak dalam diri dan meletakkan sepenuh pengharapan agar suatu hari nanti tika aku kembali aku mampu mengubah persepsi mereka terhadapku dan mereka salah dalam mentafsir siapa sebenarnya aku selama ini. Sungguh jauh terpesong!

"Kadang kala saya hairan melihat mereka yang terlalu bercita-cita besar untuk mengubah persepsi manusia lain tentang diri mereka. Mereka berasakan, dengan kejayaan mereka berbuat demikian mereka sudah layak menggelar diri mereka sebagai pejuang. Mereka rasa mereka sudah berjaya mengubah dunia. Cukup sahaja, kita ubah diri kita sendiri kerana kita sendiri sebahagian daripada dunia. Saat kita mengubah diri kita sendiri, kita sudah mengubah dunia dan kita sudah mampu menjadi seorang pejuang," kata-kata yang dihamburkan padaku benar-benar menusuk tangkai hatiku. Dia seolah-olah memahami segala yang tersirat pada kotak fikiranku.

"Kita manusia biasa. Kita memang tidak pernah lari daripada melakukan kesilapan. Mungkin kita fikir apa yang kita sedang lakukan saat ini itulah yang sedang kita perjuangkan. Sebetulnya kita tersilap dalam mentafsir. Kita lebih fokus kepada perjuangan bagi mengubah pandangan manusia pada kita hingga kita lupa untuk memberikan peluang kepada diri kita sendiri untuk mengubah cara kita melihat diri kita sendiri. Mungkin saat kita sudah melihat diri kita sendiri dengan cara yang berbeza, kita sebenarnya sudah berubah kerana kita sudah lebih terbuka untuk mengakui kesilapan kita dan juga sudah mampu mencungkil kekuatan yang ada pada diri kita," leteran hikmahnya menimbulkan rasa keinsafan yang mendalam pada diriku.

"Pedulikan bagaimana manusia suci lain melihat kita kerana dalam hidup ini perkara yang utama adalah bagaimana Allah melihat dan menilai kita. Seorang manusia yang 'memajakkan' hatinya pada Allah, mereka akan tahu apa yang silap dan apa kekuatan yang ada pada diri mereka," jelas sahabatku dengan bait-bait kata yang mampu menyentuh qalbuku yang paling dalam.

Aku tertunduk. Aku berbisik sendiri dalam hatiku, perjuangan adalah bagaimana hendak menahan diri daripada berusaha mengubah cara manusia melihatku tetapi berusaha sebolehnya mengubah cara aku memandang dan mentafsir diriku sendiri. Itulah sebenar-benar perjuangan yang mampu mengubah dunia. Ya, aku tahu itu cukup sukar. Perjuangan itu jauh lebih sukar  kerana aku sedang berperang dan berjuang untuk menundukkan nafsu dan menentang keegoanku sendiri.

"Satu yang kita perlu sematkan dalam hati dalam mengharungi ranjau perjuangan ini, sekiranya diri kita bagus, kita memiliki akhlak terpuji, dunia sendiri yang akan mendatangi kita dan dunia sendiri yang akan mengubah cara pandangannya pada diri kita dan itulah kemenangan sebenar dalam perjuangan. Kita harus tahu, medan jihad, dakwah, tarbiyah ini bukan mudah. Terlalu banyak liku-liku kehidupan yang perlu kita tempuh. Namun, selagi kita yakin Allah bersama-sama dengan kita, pasti setiap langkah kita untuk mencari mardhatillah akan sentiasa dipermudahkan," ternyata butir bicaranya bisa menghembus tiupan sukma damai ke dahan hatiku yang hampir rapuh. Aku tersenyum sendiri.




Salam perjuangan,
Qusyaimah Rosman.

Sunday, 14 September 2014

Kisah Secangkir Kopi

Bismillah.

Assalamu'alaikum wbt dan salam ukhuwah.

Ingatan ini tersingkap pada memori lalu tentang satu kisah saya dan secangkir kopi. Ketika saya menghirup kopi yang masih panas, saya dapat merasakan bahawa kopi itu sedikit pahit. Meskipun kopi itu merasa sedikit pahit, namun saya teruskan juga untuk menghirup kopi tersebut. Seketika kopi itu tinggal separuh, barulah saya perasan bahawa saya terlupa untuk mengacau kopi tersebut bersama susunya. Apabila kopi tersebut saya kacau, kopi yang tinggal separuh itu terasa tersangat manis hingga saya tidak mampu untuk menghirup kopi tersebut. 

Lantas saya terfikir, mungkin inilah yang dinamakan kehidupan. Ada waktunya yang 'manis' itu sebenarnya ada di dasar kehidupan dan kita yang perlu mencarinya. Jika kita malas mencari, perkara yang kita perolehi dalam hidup sudah semestinya perkara yang pahit sahaja. Tika waktu ketika kita teringat berkenaan yang 'manis' itu, semuanya mungkin sudah terlewat. 

Namun, kita sangat beruntung kerana Allah sentiasa ada di sisi malah Allah sangat baik pada kita kerana Dia sudah membantu kita 'membancuh' kehidupan kita dengan perkara yang pahit dan manis. Cuma apabila kita terlupa kepada Allah, pada waktu itulah kita berasa hidup ini hanya pahit semata-mata. Tika kita mula mengecapi sesuatu yang manis, kita mudah terleka hingga kita lupa Pencipta sebenar kehidupan pahit dan manis. Hidup kita ini tidak membawa apa-apa makna sekiranya hanya diselubungi perkara yang pahit-pahit atau diselimuti perkara yang manis-manis sahaja. 

Oleh itu, hargailah kehidupan ini. Hiruplah kehidupan yang penuh pahit dan manis ini dengan senyuman dan ucapan syukur kepada Allah swt. 


 Kita jelajahi syahdu dingin
bersama kabus putih
didakap kenangan

Dan kita tinggalkan
 jejak-jejak indah 
yang pasti kita ulang
atau hanya akan menjadi 
sebuah memori usang.




Salam kasih,
Qusyaimah Rosman. 

Thursday, 11 September 2014

Tersenyum.

Bismillah.

Assalamu'alaikum wbt dan salam kasih.

Sesekali melihat diri pada ruang yang berbeza serta sudut pandangan yang berbeza membuatkan saya tertanya-tanya, apakah sepatutnya saya berada di ruang ini pada masa lalu?

Ya, lambat dan cepatnya setiap detik waktu yang berlalu itu senantiasa memberikan misteri kepada setiap manusia. Sentiasa memberikan pernyataan, "mengapa dahulu aku tidak begitu?" ataupun "mengapa aku tidak buat sahaja itu dahulu?"

Jawapan untuk setiap persoalan yang berasaskan pada lambat dan cepatnya waktu, tidak semudah melemparkan senyuman kepada orang-orang yang kita sayang. Sukarnya adalah seperti sukarnya menahan diri daripada mengalirkan air mata di saat orang yang kita sayang berlalu pergi meninggalkan kita tanpa kerelaan kita.

Lalu, kita membawa diri kembali kepada had yang perlu kita tahu sahaja kerana pemikiran manusia tidak pernah sekali-kali dapat menjangkaui rahsia Allah. Allah punyai rencana yang sememangnya jauh lebih baik untuk hamba-Nya.

Sekiranya kita yakin akan rencana Allah untuk kita, kita pasti akan bersyukur dengan segala kurniaan dan nikmat-Nya hatta tatkala Allah sedang menguji kita. Namun, sebelum segala sesuatu ketentuan Allah rencanakan untuk kita, kita sudah berusaha sedaya upaya dan percayalah apa pun hasilnya sama ada baik atau buruk, dan tekad dalam hati telah menetapkan bahawa "ini adalah perancangan Allah untukku," kita akan tetap tersenyum walaupun orang yang kita sayang meninggalkan kita.




Salam sayang,
Qusyaimah Rosman.

Monday, 14 July 2014

Penghargaan Buatmu Sahabat.

Bismillah.

Assalamu'alaikum wbt.

Alhamdulillah, mendapat perkhabaran gembira apabila karya saya "Detik-detik Terakhir Ramadan" telah disiarkan di Laman Persatuan Mahasiswa Islam USM. Perkara yang paling menyentuh hati saya kerana ada antara rakan-rakan yang tersentuh dengan penulisan saya. Moga penulisan saya dapat memberikan manfaat kepada khalayak pembaca. Mudah-mudahan penulisan tersebut dapat menjadi saham syurga saya di akhirat kelak, in shaa Allah.

Antara sahabat yang mengucapkan tahniah, saya amat tersentuh dengan satu mesej yang saya terima daripada seorang sahabat yang saya kagumi dalam diam iaitu Abdul Halim bin Abdul Rahman. Meski pun dia merupakan junior saya, tetapi kata-kata yang lahir daripada tutur bicaranya cukup penuh dengan hikmatnya yang tersendiri. Mesej yang saya terima daripada beliau adalah seperti ini,

"Saya doakan awak jadi penulis hebat macam Fatimah Syarha yang karyanya merubah ummah. Alhamdulillah." 

dan kata-kata dia yang terus menusuk ke hati,

"Ingat tak dulu saya cakap masa saya Form 6 saya doa agar Allah tempatkan saya kat tempat terbaik dengan orang yang terbaik. Awak salah sorang yang terbaik Allah hantar kat saya."

Allahu, menitis air mata saya saat membaca mesej yang saya terima daripada dia. Begitu tinggi sekali penghargaan yang dia letakkan pada saya. Sungguh, tidak layak rasanya diri ini untuk terima pujian setinggi itu. Masih terlalu banyak kekurangan yang perlu saya perbaiki, masih terlalu banyak kelemahan yang perlu saya selami. Moga Allah mempermudahkan jalan hidup dia di medan dakwah ini. Moga Allah sentiasa lindungi dia dan terus diberikan kekuatan untuk berjihad di medan dakwah. Moga kata-kata taujihat yang dia tembakkan pada insan-insan yang dahagakan ilmu Allah akan terus menusuk menyentuh qalbu insan-insan yang ditarbiyahkan. Terima kasih sahabat.

Tika mutiara jernih mula mengering, muncul seorang lagi sahabat yang amat saya kasihi memberikan kata-kata semangat yang membuatkan kolam mata ini berair kembali. Dialah sahabat yang sentiasa ada dengan saya saat jatuhnya saya apatah tika saya sedang bangkit menongkah arus hidup. Satu pesanan dia yang meresap terus ke qalbu,

"Even kita dah tak rapat nanti, saya dah tak da depan awak nanti, saya nak awak tahu awaklah anugerah terindah untuk saya sahabat."

Allahu. Siapa yang tak sebak? Siapa yang tidak akan mengalirkan air mata kerana masih ada insan lain yang amat menghargai diri kita. Setiap bait-bait kata yang dituturkan tidak pernah jemu untuk saya dengar. Dia banyak mengajar saya erti menghargai, nilai kasih sayang, dan yang paling saya ingat hingga saat ini betapa hebat dia mengajar saya erti kesabaran. Saya takkan pernah lupa setiap inci jasa dan pengorbanan dia untuk saya. In shaa Allah. :'( Saya sayang awak kerana Allah Nor Atikah binti Abdul Rahman.

Terima kasih Allah kerana sentiasa mengurniakan aku sahabat-sahabat yang sentiasa membimbing dan mengingatkanku ke jalan-Mu. Apabila bersahabat dengan mereka, bertambah rasa cintaku pada-Mu, apabila bersama-sama dengan mereka, bertambah rasa sayangku pada-Mu dan apabila ditarbiyah oleh mereka, bertambah rasa kagumku ke atas keagungan-Mu. Aku bersyukur ya Allah. Aku bersyukur dikurniakan sahabat seperti mereka yang menjadi wasilah antara aku dengan-Mu. Kau peliharalah sahabat-sahabatku ya Allah. Kau lindungilah mereka di bawah naungan rahmat-Mu. :')

Kalianlah sahabat-sahabatku
penyejuk bagi jiwa
senantiasa membelai saatku kecewa
padahal kalian juga dalam gelisah

kalianlah sahabat-sahabatku
hadiah indah dari syurga
penuntun saatku buta
memayungiku saat hujan dan terik mentari
dan penerang saatku kegelapan.

Terima kasih sahabat. 



Salam kasih buat sahabat,
Qusyaimah Rosman.

Wednesday, 9 July 2014

Aku Lemah di Sisi-Nya

Bismillah.

Assalamu'alaikum wbt.

Di saat aku merenung kembali diri ini, sesungguhnya saat dan ketika ini aku berasakan bahawa diri ini sangat lemah pada pandangan-Nya. Diri ini terlalu kerdil di sisi-Nya. Mungkin sering kali orang lain memandang diri ini terlalu kuat, terlalu hebat pada pandangan mata mereka, namun hakikatnya diri ini sering sahaja mengadu lemah di hadapan Pencipta. Adakah kita tahu bahawa kita sebenarnya sudah diuji atau belum dengan ujian yang diuji kepada orang-orang yang beriman di sisi Allah? Adakah kelemahan kita akan terserlah setelah kita diuji sehingga di luar kemampuan dan kudrat kita? Hakikatnya memang begitu, sebenarnya kita amat lemah di sisi Pencipta kita. Insan lemah yang sentiasa dahagakan rahmat dan kasih-Nya. :'(

Allah ada mengutuskan ayat cinta-Nya dalam surat al-Ankabut ayat 1-3:

Alif laam miim. Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan (saja) mengatakan: "Kami telah beriman," sedang mereka tidak diuji lagi? Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka. Maka, sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta. 

Hakikat kehidupan ini ialah kita sering diuji oleh Allah swt.

Kadang kala aku rasa aku cukup kuat untuk menghadapi badai hidup yang sering bergelora. Kadang kala aku rasa aku orang paling lemah untuk menghadapi segala taufan yang melanda. Adakah disebabkan hati aku kadang kala rapuh dan jauh daripada Pencipta aku yang satu? Ya, kadang kala diri ini terlalu jauh dan lalai akan tuntutan sebagai hamba-Nya. Sungguh, aku dalam proses belajar. Banyak perkara yang aku perlu pelajari. Aku perlukan bimbingan. Aku perlukan tarbiyah yang dapat mengingatkan aku sentiasa akan kebesaran Allah. Bukan hanya pada kebesaran tetapi juga pada azab-azab yang dapat menyedarkan aku betapa kerdilnya aku di sisi Dia. :'(

Kau tahu, aku menulis ini kerana tiada kudrat untuk aku meluahkan pada sesiapa. Aku pasti tiada siapa yang dapat mentafsir butir kata aku apatah lagi untuk mentafsir lubuk hati aku yang paling dalam. Terlalu banyak yang aku simpan. Terlalu banyak yang aku pendam. Hanya Allah yang tahu. Mungkin luaran aku nampak ceria, gembira, tersenyum, tapi saat hati aku menangis hanya Allah yang tahu. Hanya Allah kekuatan yang aku ada kerana Dia sebaik-baik tempat untuk aku bersandar. Namun aku malu. Malu kerana sering meminta-minta pada-Nya. :'( Sedang terlalu sikit yang aku beri pada-Nya. Allahu Allah. Hinanya aku pada pandangan-Mu.

Ya Allah, aku tahu Kau lebih arif tentang segala yang tersirat di hati ini. Kau lebih tahu segala yang terlintas di fikiran ini. Saat bercucuran air mata aku mengharapkan ihsan dari-Mu, tidak pernah sesekali Engkau mengecewakanku. Terlalu sakit untuk aku pendam segalanya. Aku tahu, tidak semua yang aku harapkan akan aku capai. Tidak semua yang aku inginkan akan dikabulkan. Aku perlu berpijak pada realiti kehidupan dan jauh daripada fantasi yang mempunyai pari-pari yang dapat melunaskan segala hajat dan impian.

Aku harap kelemahan ini membawa aku lebih dekat dengan-Mu. Lebih mensyukuri segala nikmat dan kurnian-Mu. :'(





Qusyaimah Rosman

Monday, 7 July 2014

Iftar with family ^^

Bismillah.

Assalamu'alaikum wbt.

Alhamdulillah, I'm so happy today as I can iftar all together with my beloved family. Lagi gembira sebab lauk ketam masak lemak yang saya masak habis dimakan. Hehe. Senang hati tengok bila mama, papa, adik-adik berselera makan masakan yang saya masak. Yelahkan, bukan selalu pun dapat makan sama-sama dengan mama, papa sebab mama, papa busy kerja. Kebetulan hari ni mama masuk kerja lambat, papa pula on leave jadi dapatlah iftar sama-sama. =D

Every moment dengan family memang saya akan hargai sebab tak selalu dapat sama-sama macam ni. Kalau dah duduk jauh, memang jangan haraplah dapat makan sama-sama, gelak ketawa dengan family. Kalau ada kelapangan baru boleh balik. Itupun kalau ada, tetapi selalunya memang tak da kelapangan pun. Hujung minggu je ada latihan palapes, kalau tak da latihan, mesti akan terlibat dengan aktiviti school, kelab atau pun universiti. Mungkin sebab kekangan masa macam ni jugalah punca saya malas nak kerja masa cuti. Hahaha. Alasan sangat. =P

Kepada anda semua yang masih ada mak ayah, ada adik beradik, hargailah setiap detik bersama dengan family. Masih ramai orang diluar sana yang sangat dahagakan dan perlukan kasih sayang keluarga tapi mereka tak berpeluang untuk merasai detik-detik manis seperti yang kita rasa. Walaupun saya punya mama dan papa yang sangat busy, namun alhamdulillah, saya masih bersyukur sebab mereka sentiasa ada saat saya perlukan mereka. Sanggup datang dari Johor ke Penang masa saya nangis dalam telefon sebab terlalu rindu tak dapat nak balik Johor sem lepas semata-mata nak jumpa anak gadis kesayangan mereka. Heeee. Mengada lebih. I love u ma, pa with all my heart. :')

Memang kadang kala kita gembira tengok orang lain yang sentiasa ada dengan mak ayah, tetapi kita kena bersikap terbuka dan positif. Mak ayah kita kerja kuat, kerja susah-susah itu semua untuk siapa? Semestinya untuk kita. Untuk kesenangan dan kebahagiaan kita. Kalau kita renung kembali, berapa banyak dah duit yang mereka dah habiskan untuk besarkan kita? Boleh buat sebuah banglo mungkin. Jadi, hargai mak ayah kita. Moga Allah lindung mereka seperti mereka melindungi dan menyayangi kita sejak kecil. Amin. 

Okeylah, tak nak tulis panjang-panjang pasal mak ayah sebab hati ni mudah sangat tersentuh. Kalau benda lain tu mungkin susah sikitlah nak touched hati ni tapi kalau berkaitan mak ayah, keluarga I will be very sensitive person ever. Mesti ada orang cakap, "eleh, dapat iftar dengan family pun nak tulis ke?" Okey, u are not in my place, so you will never know my feeling. Just keep your mouth shut. Hoho. Sekian dahulu. 

Wassalam. ^^


Sebenarnya ni bukan gambar hari ni pun tapi sesaja je letak.
Heeeee ^^



Love,
Qusyaimah Rosman.