Monday, 1 June 2015

BBQ Kala Rimba Intake 34

Bismillah.

Assalamu'alaikum wbt dan salam sejahtera.

Dalam kesempatan yang sangat singkat ini, saya ingin mencoretkan satu kenangan manis yang tercipta antara kami. Boleh jadi juga ini adalah memori terakhir kami bersama-sama di USM ini. Angka keramat 15 Ogos 2015 dirasakan begitu dekat sekali dengan kami. Tarikh yang bakal mengubah status kami, tarikh yang bakal mencipta jurang perpisahan antara kami. Namun, tarikh itulah yang akan mencipta 1001 kenangan dalam hidup kami malah akan menjadi saksi pengorbanan kami selama hampir 3 tahun. 

Alhamdulillah, kami dapat lalui jerit perih, susah payah, suka duka, penat lelah bersama-sama sepanjang 3 tahun ini. Pelbagai ragam, rencah, onak dan duri yang kami tempuhi bersama-sama. Daripada kami tidak mengenali satu sama lain kini, rasanya perpisahan itu sangat asing bagi kami. Daripada kami tidak mengetahui apa-apa dalam ilmu ketenteraan kini, sebahagian besar daripada kami ingin menjadi pejuang yang menanam jihad dalam diri untuk mempertahankan agama dan negara.  Subhanallah! Sungguh besar rahmat yang Allah curahkan pada kami.

Pada hari Selasa lalu, seorang daripada skuad kami iaitu Faizah telah memberikan cetusan idea di saat akhir untuk mengadakan acara "bakar-bakar" di tepi tasik bersama-sama dengan skuad yang lain. Katanya, acara ini adalah sebagai kenangan akhir kami bersama-sama di USM ini sebelum rakan-rakan yang hanya 3 tahun pengajian mereka di sini meninggalkan kami yang masih mempunyai 1 hingga 2 sem lagi di sini. Setelah mendapat persetujuan daripada skuad yang lain, akhirnya kami bersama-sama telah merealisasikan ideanya itu pada Jumaat malam (29 Mei 2015). 

Majlis pada malam itu berjalan dengan sangat lancar. Alhamdulillah. Saat saya pandang satu-satu wajah mereka, rasa sayu yang tidak tergambar di hati. Begitu pantas masa berlari meninggalkan kami. Begitu banyak kenangan yang tercipta bersama-sama mereka. 

Pada malam itu juga kami telah menjemput mantan ayahanda kami merangkap jurulatih kami iaitu Stap Fauzi untuk bersama-sama meraikan majlis tersebut. Majlis itu sebenarnya untuk meraikan beliau yang telah banyak jasanya pada kami. Terlalu banyak ilmu yang dicurahkan pada kami. Bersabar melayan kerenah kami, aduan kami, kenakalan kami, dan macam-macam ragam kami. Terima kasih stap untuk segalanya. Halalkan segala ilmu yang telah stap curahkan pada kami. Moga stap sentiasa dalam lindungan dan rahmat Allah. Moga diberikan kesihatan yang baik dan umur yang panjang untuk beribadah kepada Allah. Amin! 

Akhir kata, moga Allah sentiasa tautkan hati-hati kami hingga ke syurga-Nya. Ingatlah saat kemanisan sepanjang kita menjalinkan ukhuwah dan lontarkan segala kepahitan di lubuk paling dalam. Semoga ukhuwah ini sentiasa mekar di hati kalian. Moga kita sentiasa dalam rahmat dan kasih-Nya! 



Bersama ayahanda Fauzi.



Wajah ceria mereka!





Makan bersama-sama.


Ayam sedang dibakar!

Sebahagian besar keluarga kami. 

Bertudung biru di hadapan itu Faizah. 

Jejaka KR.

Mesranya mereka!


Nodie, Aqilah dan Intan.

Mereka sedang asyik menyalakan bara.



Salam sayang,
Qusyaimah Rosman

Tuesday, 10 March 2015

Bengkel Pembinaan Bakat Siswa 2015


Bismillah.

Assalamu'alaikum wbt dan salam mahabbah.

Alhamdulillah, hari dan saat ini masih diberikan kesempatan untuk saya mencoretkan sedikit pengalaman saya sepanjang saya mengikuti Bengkel Pembinaan Bakat Siswa 2015 anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Bengkel yang dijalankan selama 3 hari 2 malam yang bermula dari 6 Mac hingga 8 Mac 2015 ini telah diadakan di EPF Learning Centre, Kajang, Selangor. Bengkel ini telah diwakili oleh 4 orang pelajar daripada 18 buah IPTA dan IPTS. Sesuatu yang menarik mengenai peserta-peserta bengkel ini ialah para peserta yang hadir bukanlah yang berlatarbelakangkan bidang kesusasteraan tetapi majoriti daripada mereka adalah berpendidikan dalam bidang sains. Bengkel ini telah dibahagikan kepada dua bahagian iaitu bahagian penulisan ilmiah dan penulisan kreatif. 

Pelajar-pelajar yang terpilih untuk menyertai pertandingan bahagian penulisan ilmiah perlu mengkaji novel atau cerpen yang telah dipilih oleh panel. Terdapat beberapa novel dan cerpen yang telah menjadi pilihan panel dan perlu dipilih oleh pelajar untuk dijadikan bahan kajian mereka. Untuk wakil USM, peserta yang terpilih untuk menyertai bahagian penulisan ilmiah ialah dua sahabat saya iaitu Nurulhamira binti Mohd Ali dan Has Alia binti Hasnan. Mereka perlu menyiapkan kertas kerja dan juga slide untuk pembentangan. Salah seorang yang terbaik antara mereka akan dipilih untuk ke peringkat seterusnya dan bertanding dengan para peserta lain dari pelbagai universiti. Manakala, pelajar-pelajar penulisan kreatif pula perlu menghasilkan beberapa buah karya. Kami telah diberikan tugasan untuk menghasilkan 4 buah puisi dan 2 buah cerpen. Tugasan ini perlu diserahkan kepada pihak DBP sebelum atau pada 6 April 2015. 

Sepanjang bengkel ini berlangsung, peserta-peserta penulisan kreatif telah dibimbing oleh dua orang penceramah yang sangat berpengalaman dalam dunia kesusasteraan tanah air iaitu Dr. Shamsudin Othman dan Dr. Hayati. Untuk peserta penulisan kreatif pula, kami telah dibimbing oleh Puan Ana Balqis dan Dr. Fadh Razy. Pelbagai pengalaman dan ilmu yang telah kami peroleh sepanjang menyertai bengkel ini. Mereka juga berusaha untuk memperbaiki mutu penulisan kami supaya kami dapat menghasilkan karya-karya yang baik serta dapat memberikan manfaat kepada masyarakat. Alhamdulillah, syarahan mereka sedikit sebanyak dapat membuka mata dan hati kami bahawa penulisan yang dihasilkan perlulah seiring dengan al-Quran dan hadis. Para penulis dan pengkaji barat menjadikan Bible sebagai rujukan utama malah, mereka turut mengkaji al-Quran dan menghasilkan filem serta karya berpandukan al-Quran. Persoalannya, di mana mutu karya kita sekiranya kita berterusan menghasilkan karya picisan yang tiada nilai pengajaran kepada masyarakat?

Sesuatu yang membuka minda dan hati saya apabila Puan Ana Balqis bertanya kepada kami, seharusnya sastera itu dijadikan panduan kepada masyarakat atau masyarakat yang menjadi panduan kepada sastera? Sudah tentu sasteralah yang harus menjadi panduan kepada masyarakat. Tidak keterlaluan saya katakan, sastera kita tidak berkualiti kerana kebanyakan cerita filem atau drama yang diadaptasi daripada novel-novel popular kini adalah seiring dengan kehendak dan kemahuan masyarakat meskipun cerita tersebut tidak mempunyai nilai yang dapat dijadikan contoh kepada masyarakat. Semua ini dilakukan adalah semata-mata untuk keuntungan dan demi menjaga 'rating' sesebuah siaran televisyen. Bagaimana sastera ingin berkembang jika kita tidak mengorak langkah membetulkan yang sudah menjadi kebiasaan kita hingga ke hari ini. Moga kita dapat sama-sama memikirkan langkah terbaik untuk membetulkan keadaan ini agar sastera kita dapat bersaing dengan karya-karya agung dunia. 

Akhir kata, terima kasih kepada para pensyarah yang telah memilih kami dan memberikan kepercayaan kepada kami untuk mewakili universiti. Terima kasih juga kepada para pembimbing kami kerana telah banyak mencurahkan ilmu serta panduan yang berguna untuk kami gunakan dalam menghasilkan karya-karya yang bermutu. Terima kasih yang tidak terhingga juga kepada pihak DBP kerana melayan kami dengan baik dan menyediakan perkhidmatan terbaik kepada kami sepanjang kami mengikuti bengkel. Semoga para peserta yang telah menyertai bengkel ini dapat menghasilkan karya-karya yang terbaik dan menjadikan penulisan sebagai medan dakwah dan fardhu kifayah. Inshaa Allah. 

Di sini, saya kepilkan beberapa keping gambar kenangan yang dapat disemat ke dasar hati. 


Bersama pensyarah kami, Dr. Halimah. 

Bersama Dr. Hayati, penceramah penulisan ilmiah. 


Bersama AJK DBP, Kak Irni.

Dr. Fadh Razy sedang memberikan penerangan.


Peserta penulisan kreatif bersama para pembimbing. 

Bunga-bunga bangsa. 

Bersama Dr. Fadh Razy.

Sesi pertama bersama Puan Ana Balqis.

Sekian dahulu. Selamat malam dan semoga mimpi indah. 



Salam sayang,
Qusyaimah Rosman. 



Wednesday, 4 March 2015

Maaf

Bismillah.

Assalamu'alaikum wbt dan selamat pagi.

Masa sudah mencecah jam 02.00 pagi. Mata ini masih belum bisa dilelapkan. Mungkin rasa bersalah yang menyelubungi diri yang menyebabkan mata ini sukar untuk dilelapkan. Mungkin malam ini, saat ini aku telah mengecewakan harapan orang. Mungkin juga aku telah melukakan hati seseorang. 

Sebenarnya aku benci berada dalam keadaan tersepit begini. Kadang kala aku rasa sangat tidak adil bagi aku yang punya satu hati tetapi perlu membuat pilihan yang banyak. Namun, inilah hakikat kehidupan. Setiap daripada kita perlu memilih. Ya, memilih. Memilih perkara yang lebih utama dan lebih penting dan dalam masa yang sama aku telah melukakan hati orang yang mungkin memerlukan aku saat ini. Ya, mungkin! 

Maafkan daku duhai sahabat. Andai engkau terbaca coretan ini, seribu kemaafan aku pohon daripadamu. Andai ada tingkah serta tutur bicara yang mengguris hatimu, sekali lagi maaf kupohon. Aku insan lemah yang tidak pernah lari daripada melakukan khilaf malah sentiasa khilaf. Aku tahu, meski kau menuturkan "saya ok," di sebalik kata-kata itu pasti terselit keluhan yang amat berat untuk kau lepaskan. :'( Maafkan diri ini. Mungkin aku bukan sahabat yang terbaik buatmu. Mungkin juga kata-kata yang kau titipkan "I found the best and still wait for her," itu harus kau padam daripada memori kata yang kau pernah tujukan padaku. Maafkan aku yang telah melukai hati kecilmu. Sungguh, aku insan lemah. Aku pendosa yang tidak pernah suci daripada dosa. :'(


Insan khilaf,
Qusyaimah Rosman.

Monday, 23 February 2015

Semester 6

Bismillah.

Assalamu'alaikum wbt dan selamat pagi.

Alhamdulillah, pagi ini sudah selamat mendarat di bumi Minden. Keheningan pagi disinari pancaran mentari yang baru menjengah bumi sedikit sebanyak menyuntik semangat baru dalam diri walaupun hati masih berada di rumah. Huhu. Sedar tak sedar diri ini sudah berada di semester 6, tahun ketiga. Terlalu cepat masa berlalu. Emmmm umur pun semakin meningkat, kematian pun semakin hampir. Terlalu banyak kenangan dan memori yang terukir di sini. Segalanya semakin hampir ke penghujung. Misi dan visi juga perlu disemat seketat-ketatnya dalam diri agar tidak tersasar daripada landasan kehidupan. Agar pendirian tidak mudah goyah saat dijentik dek ujian kehidupan yang sangat mencabar. 

Moga di semester baru ini, diri ini diberikan kekuatan untuk menempuh segala onak dan duri sepanjang berada di sini. Moga diri ini dapat menguruskan masa dengan baik, jauh daripada melakukan perkara yang sia-sia dan diberikan keberkatan dalam menuntut ilmu Allah yang Maha Luas. Inshaa Allah. 

Sampai di sini dahulu. Nak mengemas barang-barang yang baru dikeluarkan daripada stor. Setiap kali nak cuti dan naik cuti, inilah perkara paling malas nak dibuat. Huhu. 


Sebahagian daripada barang-barang yang
perlu dipunggah. Huhu

Sekian, selamat memulakan semester baharu kepada warga USM dan rakan-rakan di lain-lain universiti. Belajar sungguh-sungguh dan tuntutlah ilmu kerana Allah s.w.t. Inshaa Allah. 



Salam sayang,
Qusyaimah Rosman. 



Thursday, 19 February 2015

Instax Mini 8

Bismillah,

Assalamu'alaikum wbt and hi.

Hai semua, apa khabar? Moga sentiasa dalam lindungan dan rahmat Allah. :) Selamat menikmati cuti bagi rakan-rakan yang sedang bercuti walaupun cuti semakin menghampiri penghujungnya. 

Tak tahu nak mula macam mana, nak luah macam mana tetapi saya cuma ingin berterima kasih kepada rakan saya, Nurafif sebab dia dah buat kejutan pada malam sebelum saya bertolak ke Terengganu dengan menghadiahkan saya sesuatu yang telah lama menjadi idaman saya. Heeee. Nak tahu apa dia? Taraaaaa...

Pinky Instax Mini 8 
Mulanya, dia kata nak datang pulangkan buku-buku saya yang dia pinjam. Saya pun tak syak apa-apa sebab dia memang ada pinjam buku-buku saya dan saya pun ok jelah masa dia nak datang rumah. Bila dia datang tu, dia bagi satu beg. Masa tu saya tak lihat pun lagi kandungan beg tu sebab nak cepat dan saya terus ucap terima kasih. Mama dan papa dah tunggu sebab masa tu memang nak bertolak ke Terengganu dah. Saya pun bergegas naik ke bilik nak simpan buku-buku saya sebab malas nak bawa. Tiba-tiba hati ni tergerak nak lihat apa kandungan dalam beg tu. Allahu, terkejut saya sebab ada kamera comel ni dalam beg tu. Nak kata teruja, terharu, gembira tu tak tahu nak kata macam mana sebab perasaan ni bercampur baur. Hmmm. Saya terus ambil kemera ni bersama-sama kotaknya sekali lari bawa masuk dalam kereta. Hahaha. Excited. 

Setelah 3 hari si comel ni ada dengan saya, baru hari ni nak cuba guna. Sebelum guna, adalah cuba cari di YouTube macam mana nak gunakan kamera ni. Hehe. So, ini video yang ditemui,






Teruja kot dapat kamera comel ni. Haha. Lepas ni bolehlah tangkap gambar sebagai kenangan banyak-banyak. Heeee ^_^

Here are few tips from http://www.wanista.com/in-trend-info-mengenai-kamera-polaroid-dan-instax/ for this camera:

Tips
  •  Untuk filem kamera Polaroid, anda tidak boleh mendedahkan gambar pada cahaya matahari terlalu lama kerana ia akan menyebabkan gambar cepat pudar.
  • Simpan filem kamera Polaroid di tempat yang sejuk seperti di dalam peti ais untuk membuatkan ia tahan lebih lama.
  • Keluarkan bateri dari kamera jika anda tidak menggunakan kamera supaya kamera tahan lebih lama dan tidak mudah rosak.
  • Untuk filem Polaroid, selepas mengambil gambar anda perlu menutup gambar dari sinaran cahaya matahari iaitu dengan menterbalikkan gambar dan biarkan sehingga 30minit sehingga gambar siap.
  • Jangan goncang gambar selepas ia keluar dari kamera. Ia akan menyebabkan gambar rosak dan gambar yang dihasilkan tidak siap dengan sempurna.
  • Jangan mengharapkan keputusan yang menakjubkan dari setiap gambar. Keindahan gambar Polaroid dan Instax adalah ianya tidak sempurna seperti gambar dari kamera digital.

Okeylah, sampai sini saja dulu sebab malas nak tulis panjang-panjang. Maklumlah masih dalam mood 'bercuti.' Hehehe. Akhir kata, THANK YOU SO MUCH AFIF for fullfill my wishes. ^_^



Salam sayang,
Qusyaimah Rosman. 

Saturday, 10 January 2015

Coretan III

Bismillah.

Assalamu'alaikum wbt dan salam ukhuwah.

Sedar tak sedar sudah 10 hari kita melewati hari-hari di bulan Januari ini. Terlalu pantas masa yang berlalu. Keadaan di USM ini juga makin sunyi kerana ramai yang telah pulang ke kampung halaman. Sedih perih hanya mampu disimpan dalam hati tatkala melihat rakan-rakan menarik bagasi mereka untuk pulang bertemu bonda dan ayahanda tercinta. Tidak mengapa, mungkin ini juga satu bentuk pengorbanan kepada diri sendiri, keluarga, cita-cita dan negara. Mungkin terselit 1001 hikmah yang tidak pernah kita tahu. Mungkin Allah telah takdirkan jalan ini untuk aku sebab dia tahu aku kuat. Aku mampu harungi liku-liku ujian yang Dia beri sebab Dia tahu, Dia takkan uji hamba melebihi kemampuan hamba-Nya. 

Hari Selasa ni merupakan kertas terakhir yang perlu aku duduki untuk semester ni. Harap Allah bantu supaya dapat jawab dengan tenang dan mudah. Tinggal lagi 2 semester perjuangan aku sebagai pelajar Ijazah Muda. Inshaa Allah, lepas ni melangkah ke jalan seterusnya, Master! Doakan! Untuk rakan-rakan yang dah tamat peperiksaan untuk semester ni semalam, selamat bercuti dan selamat pulang ke kampung. Luangkanlah masa kalian dengan keluarga sepuasnya sebab makin kita besar, makin jauh jarak kita dengan keluarga. Kadang kala betul juga kata nenek aku, "kalau kita ada duit, kita selalu tak cukup masa tapi kalau kita tak da duit, banyak je masa kita yang terluang." Mungkin aku ada segalanya, cuma aku belum cukup bahagia dan membahagiakan mama dan papa aku. In shaa Allah, suatu hari nanti! 

Okeylah, makin lama menulis, makin sebak hati ni. Mungkin disebabkan rindu yang menggunung dan terselit rasa cemburu sebab lihat kawan-kawan lain dah boleh balik rumah. Huuuuu. Mama, papa, angah, adik, kita jumpa bulan Feb nanti, in shaa Allah. Moga Allah lindung keluarga aku. 

Sekian. 


Salam sayang,
Qusyaimah Rosman. 

Thursday, 1 January 2015

Tahun Baru 2015

Bismillah.

Assalamu'alaikum wbt dan Salam Tahun Baru.

Tahun 2014 sudah melabuhkan tirainya. Kini, lembaran baru dibuka. Saat kita bersama-sama menghitung dan menunggu detik dua belas tengah malam, kadang kita terlupa sebenarnya kita juga sedang menghitung meningkatnya usia dan kematian semakin menghampiri kita. 

Moga tahun baru masihi ini membuka lembaran baru untuk kita sama-sama perbaiki diri dan sama-sama bermujahadah untuk mencapai reda Allah. Alhamdulillah, Allah masih memberikan kita peluang sehingga hari ini untuk kita sama sama meningkatkan amalan dan perbaiki diri dari hari ke hari. 

Moga kita dapat menjadi mukmin yang lebih baik. Mukmin yang sentiasa bersatu hati dan saling berkasih sayang kerana Allah. In shaa Allah. :')

Selamat Tahun Baru 2015.




Salam sayang,
Qusyaimah Rosman