Monday, 10 November 2014

Moga kita bersama di Jannah-Nya.

Bismillah.

Assalamu'alaikum wbt.

Apabila penghuni syurga telah masuk ke dalam syurga, lalu mereka tidak menemukan sahabat-sahabat mereka yang selalu bersama mereka dahulu sewaktu di dunia, mereka akan bertanyakan tentang sahabat mereka kepada Allah, "Ya Rabb, kami tidak melihat sahabat-sahabat kami yang dahulunya sewaktu di dunia selalu solat bersama kami, puasa bersama kami."

Maka Allah s.w.t berfirman, "Pergilah kamu ke neraka, lalu keluarkanlah sahabat-sahabatmu yang dihatinya ada iman walaupun hanya sebesar zarah." (Hadis Riwayat Imam Ibnul Mubarak dalam kitab Az-Zuhd).

Imam Hassan al-Basri berkata, "perbanyakanlah sahabat-sahabat mukminmu kerana mereka mempunyai syfaat di hari kiamat nanti."

Imam Ibnul Jauzi pernah berpesan kepada sahabat-sahabatnya sambil menangis, "jika kalian tidak menemukanku nanti di syurga bersama kalian, maka bertanyalah kepada Allah tentangku: "wahai Rabb kami, Hamba-Mu si fulan sewaktu di dunia selalu mengingatkan kami tentang Engkau, maka masukkanlah dia bersama kami di syurga-Mu."

Sahabat-sahabatku, mudah-mudahan dengan ini, aku telah mengingatkanmu tentang Allah. Aku berharap agar aku dapat bersamamu di syurga dan bersama reda-Nya. Aku mohon pada-Mu, kurniakanlah aku sahabat-sahabatku yang mengajakku untuk tunduk patuh dan taat kepada syariat-Mu. Kekalkanlah persahabatan kami hingga kami bertemu di akhirat kelak.

Wahai sahabatku, jangan lupa bertanya tentangku nanti jika aku tiada di syurga. :'(



Salam sayang, 

Qusyaimah Rosman.


Sumber: Ustaz Ahmad Dusuki Abd Rani

Tuesday, 30 September 2014

Coretan I

Bismillah.

Assalamu'alaikum dan selamat malam.

Allahu, lama sudah rasanya jari jemari ini tidak menitipkan coretan di lembaran ini. Tuntutan kerja yang tidak henti-henti ditambah dengan jadual kuliah yang padat amat membataskan diri ini untuk selalu menjengah ke halaman ini.

Hari ini sudah masuk minggu ke-4 berada di USM dan semakin hari tanggungjawab yang digalas menjadi semakin berat. Segala tanggungjawab adalah amanah yang telah dipertanggungjawabkan kepada kita. Moga diri ini terus diberi kekuatan untuk menggalas segala amanah yang terpikul di bahu ini. Hajat doa semua. In shaa Allah.

Berbaki dua hari lagi diri ini akan terbang meninggalkan sebentar Pulau Mutiara ini untuk pulang ke negeri tumpahnya darahku iaitu Johor. Moga kepulangan diri ini dapat menambah keyakinan dan semangat baharu untuk meneruskan perjuangan yang bersisa di bumi Minden ini.

Rasanya sampai di sini sahaja dulu coretan pada malam ini sebab ada rakan minta tolong scan kertas kerja dan 'mood' untuk menulis dengan lebih lanjut telah terganggu. Hihi. Sekian, selamat malam.


Wassalam.


Salam sayang, 
Qusyaimah Rosman. 


Friday, 19 September 2014

Pesan Rindu

Bismillah.

Assalamu'alaikum wbt dan salam Jum'ah.

Langit kelihatan suram pada pagi yang permai ini.
Mungkin juga pada pagi ini langit dan isi bumi
seakan-akan memahami detik hati insan yang mungkin dalam kesedihan.
Mungkin juga langit yang tidak terlalu cerah ini ingin memberikan
kedinginan pada hati yang mungkin sedang hangat membara.
Walau apa pun tanggapan kita pada alam
pasti terkandung seribu satu hikmah yang tidak terjangkau dek akal.

Namun, pada pagi yang suram ini jauh di sudut hati
aku rindu pada mereka di kejauhan.
Rindu pada insan-insan yang penting buatku.
Insan-insan yang akan terus kekal dalam hati.
Sumber inspirasi di kala aku tersungkur.
Tempat berkongsi di kala aku suka dan duka.

Mama, papa redai segala usahaku.
Kadang kala anakmu terlalu lemah.
Lemah dalam meniti pencarian hidup.
Kadang kala juga jiwa anakmu ini akan tersasar.
Tersasar pada kelalaian dunia.
Justeru, aku mohon doa dan restu kalian
agar aku terus kuat berdiri di medan ini.

Angah, adik
Meskipun kakakmu jauh darimu
aku ingin kalian tahu bahawa itu hanya jarak
jarak yang takkan mungkin memisahkan kita.
Jagalah diri kalian agar jadi anak soleh
jauh dari fitnah dunia
agar tidak membenam kita
ke dasar paling hina.




Salam sayang,
Qusyaimah Rosman.


Tuesday, 16 September 2014

Perjuangan

Bismillah.

Assalamu'alaikum wbt.

***

"Awak tahu perjuangan itu apa?" itulah soalan pertama daripada seorang sahabat yang bertanyakan pengertian perjuangan.

Aku terkelu. Pengertian perjuangan itu berlegar-legar di ruang kepala, namun secebis aksara pun tidak bisa kuungkap melalui suaraku.

"Awak tahu tak perjuangan itu adalah sesuatu yang mengubah dunia?"

Aku mengerutkan dahi. Tidak dapat menangkap maksud yang ingin disampaikan.

"Sebelum mengubah dunia, kita perlu tahu, apa itu yang dimaksudkan dengan dunia. Pernah tak awak terfikir perjuangan itu sebenarnya boleh diibaratkan seperti sebuah buku yang sarat dengan kata-kata. Segala yang terkandung dalam buku itu kita boleh ibaratkan seperti isi dunia ini. Jika awak mengubah satu sahaja huruf dalam buku itu, awak sudah pun mengubah buku itu sama ada akan menjadi lebih baik atau awak akan merosakkan keseluruhan buku itu lantas menghilangkan nilai estetika yang terkandung dalam buku itu. Oleh itu, dunia itu adalah segala yang terkandung di dalamnya dan diri kita ini sebenarnya juga adalah lambang kepada dunia."

Aku masih membisu. Fikiranku ligat berputar mencerna setiap bait kata yang diungkapkan. Ternyata makna perjuangan yang tersekat di kerongkongku dengan makna yang dia ungkapkan padaku begitu jauh terpesong. Perjuangan bagiku adalah tika aku sendirian berjalan dengan langkah yang renta, menghadap manusia yang melemparkan senyuman sinis padaku sebagai tanda aku manusia lemah dan tewas. Lalu, aku merengkuh sisa semangat yang membuak-buak dalam diri dan meletakkan sepenuh pengharapan agar suatu hari nanti tika aku kembali aku mampu mengubah persepsi mereka terhadapku dan mereka salah dalam mentafsir siapa sebenarnya aku selama ini. Sungguh jauh terpesong!

"Kadang kala saya hairan melihat mereka yang terlalu bercita-cita besar untuk mengubah persepsi manusia lain tentang diri mereka. Mereka berasakan, dengan kejayaan mereka berbuat demikian mereka sudah layak menggelar diri mereka sebagai pejuang. Mereka rasa mereka sudah berjaya mengubah dunia. Cukup sahaja, kita ubah diri kita sendiri kerana kita sendiri sebahagian daripada dunia. Saat kita mengubah diri kita sendiri, kita sudah mengubah dunia dan kita sudah mampu menjadi seorang pejuang," kata-kata yang dihamburkan padaku benar-benar menusuk tangkai hatiku. Dia seolah-olah memahami segala yang tersirat pada kotak fikiranku.

"Kita manusia biasa. Kita memang tidak pernah lari daripada melakukan kesilapan. Mungkin kita fikir apa yang kita sedang lakukan saat ini itulah yang sedang kita perjuangkan. Sebetulnya kita tersilap dalam mentafsir. Kita lebih fokus kepada perjuangan bagi mengubah pandangan manusia pada kita hingga kita lupa untuk memberikan peluang kepada diri kita sendiri untuk mengubah cara kita melihat diri kita sendiri. Mungkin saat kita sudah melihat diri kita sendiri dengan cara yang berbeza, kita sebenarnya sudah berubah kerana kita sudah lebih terbuka untuk mengakui kesilapan kita dan juga sudah mampu mencungkil kekuatan yang ada pada diri kita," leteran hikmahnya menimbulkan rasa keinsafan yang mendalam pada diriku.

"Pedulikan bagaimana manusia suci lain melihat kita kerana dalam hidup ini perkara yang utama adalah bagaimana Allah melihat dan menilai kita. Seorang manusia yang 'memajakkan' hatinya pada Allah, mereka akan tahu apa yang silap dan apa kekuatan yang ada pada diri mereka," jelas sahabatku dengan bait-bait kata yang mampu menyentuh qalbuku yang paling dalam.

Aku tertunduk. Aku berbisik sendiri dalam hatiku, perjuangan adalah bagaimana hendak menahan diri daripada berusaha mengubah cara manusia melihatku tetapi berusaha sebolehnya mengubah cara aku memandang dan mentafsir diriku sendiri. Itulah sebenar-benar perjuangan yang mampu mengubah dunia. Ya, aku tahu itu cukup sukar. Perjuangan itu jauh lebih sukar  kerana aku sedang berperang dan berjuang untuk menundukkan nafsu dan menentang keegoanku sendiri.

"Satu yang kita perlu sematkan dalam hati dalam mengharungi ranjau perjuangan ini, sekiranya diri kita bagus, kita memiliki akhlak terpuji, dunia sendiri yang akan mendatangi kita dan dunia sendiri yang akan mengubah cara pandangannya pada diri kita dan itulah kemenangan sebenar dalam perjuangan. Kita harus tahu, medan jihad, dakwah, tarbiyah ini bukan mudah. Terlalu banyak liku-liku kehidupan yang perlu kita tempuh. Namun, selagi kita yakin Allah bersama-sama dengan kita, pasti setiap langkah kita untuk mencari mardhatillah akan sentiasa dipermudahkan," ternyata butir bicaranya bisa menghembus tiupan sukma damai ke dahan hatiku yang hampir rapuh. Aku tersenyum sendiri.




Salam perjuangan,
Qusyaimah Rosman.

Sunday, 14 September 2014

Kisah Secangkir Kopi

Bismillah.

Assalamu'alaikum wbt dan salam ukhuwah.

Ingatan ini tersingkap pada memori lalu tentang satu kisah saya dan secangkir kopi. Ketika saya menghirup kopi yang masih panas, saya dapat merasakan bahawa kopi itu sedikit pahit. Meskipun kopi itu merasa sedikit pahit, namun saya teruskan juga untuk menghirup kopi tersebut. Seketika kopi itu tinggal separuh, barulah saya perasan bahawa saya terlupa untuk mengacau kopi tersebut bersama susunya. Apabila kopi tersebut saya kacau, kopi yang tinggal separuh itu terasa tersangat manis hingga saya tidak mampu untuk menghirup kopi tersebut. 

Lantas saya terfikir, mungkin inilah yang dinamakan kehidupan. Ada waktunya yang 'manis' itu sebenarnya ada di dasar kehidupan dan kita yang perlu mencarinya. Jika kita malas mencari, perkara yang kita perolehi dalam hidup sudah semestinya perkara yang pahit sahaja. Tika waktu ketika kita teringat berkenaan yang 'manis' itu, semuanya mungkin sudah terlewat. 

Namun, kita sangat beruntung kerana Allah sentiasa ada di sisi malah Allah sangat baik pada kita kerana Dia sudah membantu kita 'membancuh' kehidupan kita dengan perkara yang pahit dan manis. Cuma apabila kita terlupa kepada Allah, pada waktu itulah kita berasa hidup ini hanya pahit semata-mata. Tika kita mula mengecapi sesuatu yang manis, kita mudah terleka hingga kita lupa Pencipta sebenar kehidupan pahit dan manis. Hidup kita ini tidak membawa apa-apa makna sekiranya hanya diselubungi perkara yang pahit-pahit atau diselimuti perkara yang manis-manis sahaja. 

Oleh itu, hargailah kehidupan ini. Hiruplah kehidupan yang penuh pahit dan manis ini dengan senyuman dan ucapan syukur kepada Allah swt. 


 Kita jelajahi syahdu dingin
bersama kabus putih
didakap kenangan

Dan kita tinggalkan
 jejak-jejak indah 
yang pasti kita ulang
atau hanya akan menjadi 
sebuah memori usang.




Salam kasih,
Qusyaimah Rosman. 

Thursday, 11 September 2014

Tersenyum.

Bismillah.

Assalamu'alaikum wbt dan salam kasih.

Sesekali melihat diri pada ruang yang berbeza serta sudut pandangan yang berbeza membuatkan saya tertanya-tanya, apakah sepatutnya saya berada di ruang ini pada masa lalu?

Ya, lambat dan cepatnya setiap detik waktu yang berlalu itu senantiasa memberikan misteri kepada setiap manusia. Sentiasa memberikan pernyataan, "mengapa dahulu aku tidak begitu?" ataupun "mengapa aku tidak buat sahaja itu dahulu?"

Jawapan untuk setiap persoalan yang berasaskan pada lambat dan cepatnya waktu, tidak semudah melemparkan senyuman kepada orang-orang yang kita sayang. Sukarnya adalah seperti sukarnya menahan diri daripada mengalirkan air mata di saat orang yang kita sayang berlalu pergi meninggalkan kita tanpa kerelaan kita.

Lalu, kita membawa diri kembali kepada had yang perlu kita tahu sahaja kerana pemikiran manusia tidak pernah sekali-kali dapat menjangkaui rahsia Allah. Allah punyai rencana yang sememangnya jauh lebih baik untuk hamba-Nya.

Sekiranya kita yakin akan rencana Allah untuk kita, kita pasti akan bersyukur dengan segala kurniaan dan nikmat-Nya hatta tatkala Allah sedang menguji kita. Namun, sebelum segala sesuatu ketentuan Allah rencanakan untuk kita, kita sudah berusaha sedaya upaya dan percayalah apa pun hasilnya sama ada baik atau buruk, dan tekad dalam hati telah menetapkan bahawa "ini adalah perancangan Allah untukku," kita akan tetap tersenyum walaupun orang yang kita sayang meninggalkan kita.




Salam sayang,
Qusyaimah Rosman.

Monday, 14 July 2014

Penghargaan Buatmu Sahabat.

Bismillah.

Assalamu'alaikum wbt.

Alhamdulillah, mendapat perkhabaran gembira apabila karya saya "Detik-detik Terakhir Ramadan" telah disiarkan di Laman Persatuan Mahasiswa Islam USM. Perkara yang paling menyentuh hati saya kerana ada antara rakan-rakan yang tersentuh dengan penulisan saya. Moga penulisan saya dapat memberikan manfaat kepada khalayak pembaca. Mudah-mudahan penulisan tersebut dapat menjadi saham syurga saya di akhirat kelak, in shaa Allah.

Antara sahabat yang mengucapkan tahniah, saya amat tersentuh dengan satu mesej yang saya terima daripada seorang sahabat yang saya kagumi dalam diam iaitu Abdul Halim bin Abdul Rahman. Meski pun dia merupakan junior saya, tetapi kata-kata yang lahir daripada tutur bicaranya cukup penuh dengan hikmatnya yang tersendiri. Mesej yang saya terima daripada beliau adalah seperti ini,

"Saya doakan awak jadi penulis hebat macam Fatimah Syarha yang karyanya merubah ummah. Alhamdulillah." 

dan kata-kata dia yang terus menusuk ke hati,

"Ingat tak dulu saya cakap masa saya Form 6 saya doa agar Allah tempatkan saya kat tempat terbaik dengan orang yang terbaik. Awak salah sorang yang terbaik Allah hantar kat saya."

Allahu, menitis air mata saya saat membaca mesej yang saya terima daripada dia. Begitu tinggi sekali penghargaan yang dia letakkan pada saya. Sungguh, tidak layak rasanya diri ini untuk terima pujian setinggi itu. Masih terlalu banyak kekurangan yang perlu saya perbaiki, masih terlalu banyak kelemahan yang perlu saya selami. Moga Allah mempermudahkan jalan hidup dia di medan dakwah ini. Moga Allah sentiasa lindungi dia dan terus diberikan kekuatan untuk berjihad di medan dakwah. Moga kata-kata taujihat yang dia tembakkan pada insan-insan yang dahagakan ilmu Allah akan terus menusuk menyentuh qalbu insan-insan yang ditarbiyahkan. Terima kasih sahabat.

Tika mutiara jernih mula mengering, muncul seorang lagi sahabat yang amat saya kasihi memberikan kata-kata semangat yang membuatkan kolam mata ini berair kembali. Dialah sahabat yang sentiasa ada dengan saya saat jatuhnya saya apatah tika saya sedang bangkit menongkah arus hidup. Satu pesanan dia yang meresap terus ke qalbu,

"Even kita dah tak rapat nanti, saya dah tak da depan awak nanti, saya nak awak tahu awaklah anugerah terindah untuk saya sahabat."

Allahu. Siapa yang tak sebak? Siapa yang tidak akan mengalirkan air mata kerana masih ada insan lain yang amat menghargai diri kita. Setiap bait-bait kata yang dituturkan tidak pernah jemu untuk saya dengar. Dia banyak mengajar saya erti menghargai, nilai kasih sayang, dan yang paling saya ingat hingga saat ini betapa hebat dia mengajar saya erti kesabaran. Saya takkan pernah lupa setiap inci jasa dan pengorbanan dia untuk saya. In shaa Allah. :'( Saya sayang awak kerana Allah Nor Atikah binti Abdul Rahman.

Terima kasih Allah kerana sentiasa mengurniakan aku sahabat-sahabat yang sentiasa membimbing dan mengingatkanku ke jalan-Mu. Apabila bersahabat dengan mereka, bertambah rasa cintaku pada-Mu, apabila bersama-sama dengan mereka, bertambah rasa sayangku pada-Mu dan apabila ditarbiyah oleh mereka, bertambah rasa kagumku ke atas keagungan-Mu. Aku bersyukur ya Allah. Aku bersyukur dikurniakan sahabat seperti mereka yang menjadi wasilah antara aku dengan-Mu. Kau peliharalah sahabat-sahabatku ya Allah. Kau lindungilah mereka di bawah naungan rahmat-Mu. :')

Kalianlah sahabat-sahabatku
penyejuk bagi jiwa
senantiasa membelai saatku kecewa
padahal kalian juga dalam gelisah

kalianlah sahabat-sahabatku
hadiah indah dari syurga
penuntun saatku buta
memayungiku saat hujan dan terik mentari
dan penerang saatku kegelapan.

Terima kasih sahabat. 



Salam kasih buat sahabat,
Qusyaimah Rosman.