Tuesday, 10 March 2015

Bengkel Pembinaan Bakat Siswa 2015


Bismillah.

Assalamu'alaikum wbt dan salam mahabbah.

Alhamdulillah, hari dan saat ini masih diberikan kesempatan untuk saya mencoretkan sedikit pengalaman saya sepanjang saya mengikuti Bengkel Pembinaan Bakat Siswa 2015 anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Bengkel yang dijalankan selama 3 hari 2 malam yang bermula dari 6 Mac hingga 8 Mac 2015 ini telah diadakan di EPF Learning Centre, Kajang, Selangor. Bengkel ini telah diwakili oleh 4 orang pelajar daripada 18 buah IPTA dan IPTS. Sesuatu yang menarik mengenai peserta-peserta bengkel ini ialah para peserta yang hadir bukanlah yang berlatarbelakangkan bidang kesusasteraan tetapi majoriti daripada mereka adalah berpendidikan dalam bidang sains. Bengkel ini telah dibahagikan kepada dua bahagian iaitu bahagian penulisan ilmiah dan penulisan kreatif. 

Pelajar-pelajar yang terpilih untuk menyertai pertandingan bahagian penulisan ilmiah perlu mengkaji novel atau cerpen yang telah dipilih oleh panel. Terdapat beberapa novel dan cerpen yang telah menjadi pilihan panel dan perlu dipilih oleh pelajar untuk dijadikan bahan kajian mereka. Untuk wakil USM, peserta yang terpilih untuk menyertai bahagian penulisan ilmiah ialah dua sahabat saya iaitu Nurulhamira binti Mohd Ali dan Has Alia binti Hasnan. Mereka perlu menyiapkan kertas kerja dan juga slide untuk pembentangan. Salah seorang yang terbaik antara mereka akan dipilih untuk ke peringkat seterusnya dan bertanding dengan para peserta lain dari pelbagai universiti. Manakala, pelajar-pelajar penulisan kreatif pula perlu menghasilkan beberapa buah karya. Kami telah diberikan tugasan untuk menghasilkan 4 buah puisi dan 2 buah cerpen. Tugasan ini perlu diserahkan kepada pihak DBP sebelum atau pada 6 April 2015. 

Sepanjang bengkel ini berlangsung, peserta-peserta penulisan kreatif telah dibimbing oleh dua orang penceramah yang sangat berpengalaman dalam dunia kesusasteraan tanah air iaitu Dr. Shamsudin Othman dan Dr. Hayati. Untuk peserta penulisan kreatif pula, kami telah dibimbing oleh Puan Ana Balqis dan Dr. Fadh Razy. Pelbagai pengalaman dan ilmu yang telah kami peroleh sepanjang menyertai bengkel ini. Mereka juga berusaha untuk memperbaiki mutu penulisan kami supaya kami dapat menghasilkan karya-karya yang baik serta dapat memberikan manfaat kepada masyarakat. Alhamdulillah, syarahan mereka sedikit sebanyak dapat membuka mata dan hati kami bahawa penulisan yang dihasilkan perlulah seiring dengan al-Quran dan hadis. Para penulis dan pengkaji barat menjadikan Bible sebagai rujukan utama malah, mereka turut mengkaji al-Quran dan menghasilkan filem serta karya berpandukan al-Quran. Persoalannya, di mana mutu karya kita sekiranya kita berterusan menghasilkan karya picisan yang tiada nilai pengajaran kepada masyarakat?

Sesuatu yang membuka minda dan hati saya apabila Puan Ana Balqis bertanya kepada kami, seharusnya sastera itu dijadikan panduan kepada masyarakat atau masyarakat yang menjadi panduan kepada sastera? Sudah tentu sasteralah yang harus menjadi panduan kepada masyarakat. Tidak keterlaluan saya katakan, sastera kita tidak berkualiti kerana kebanyakan cerita filem atau drama yang diadaptasi daripada novel-novel popular kini adalah seiring dengan kehendak dan kemahuan masyarakat meskipun cerita tersebut tidak mempunyai nilai yang dapat dijadikan contoh kepada masyarakat. Semua ini dilakukan adalah semata-mata untuk keuntungan dan demi menjaga 'rating' sesebuah siaran televisyen. Bagaimana sastera ingin berkembang jika kita tidak mengorak langkah membetulkan yang sudah menjadi kebiasaan kita hingga ke hari ini. Moga kita dapat sama-sama memikirkan langkah terbaik untuk membetulkan keadaan ini agar sastera kita dapat bersaing dengan karya-karya agung dunia. 

Akhir kata, terima kasih kepada para pensyarah yang telah memilih kami dan memberikan kepercayaan kepada kami untuk mewakili universiti. Terima kasih juga kepada para pembimbing kami kerana telah banyak mencurahkan ilmu serta panduan yang berguna untuk kami gunakan dalam menghasilkan karya-karya yang bermutu. Terima kasih yang tidak terhingga juga kepada pihak DBP kerana melayan kami dengan baik dan menyediakan perkhidmatan terbaik kepada kami sepanjang kami mengikuti bengkel. Semoga para peserta yang telah menyertai bengkel ini dapat menghasilkan karya-karya yang terbaik dan menjadikan penulisan sebagai medan dakwah dan fardhu kifayah. Inshaa Allah. 

Di sini, saya kepilkan beberapa keping gambar kenangan yang dapat disemat ke dasar hati. 


Bersama pensyarah kami, Dr. Halimah. 

Bersama Dr. Hayati, penceramah penulisan ilmiah. 


Bersama AJK DBP, Kak Irni.

Dr. Fadh Razy sedang memberikan penerangan.


Peserta penulisan kreatif bersama para pembimbing. 

Bunga-bunga bangsa. 

Bersama Dr. Fadh Razy.

Sesi pertama bersama Puan Ana Balqis.

Sekian dahulu. Selamat malam dan semoga mimpi indah. 



Salam sayang,
Qusyaimah Rosman. 



Wednesday, 4 March 2015

Maaf

Bismillah.

Assalamu'alaikum wbt dan selamat pagi.

Masa sudah mencecah jam 02.00 pagi. Mata ini masih belum bisa dilelapkan. Mungkin rasa bersalah yang menyelubungi diri yang menyebabkan mata ini sukar untuk dilelapkan. Mungkin malam ini, saat ini aku telah mengecewakan harapan orang. Mungkin juga aku telah melukakan hati seseorang. 

Sebenarnya aku benci berada dalam keadaan tersepit begini. Kadang kala aku rasa sangat tidak adil bagi aku yang punya satu hati tetapi perlu membuat pilihan yang banyak. Namun, inilah hakikat kehidupan. Setiap daripada kita perlu memilih. Ya, memilih. Memilih perkara yang lebih utama dan lebih penting dan dalam masa yang sama aku telah melukakan hati orang yang mungkin memerlukan aku saat ini. Ya, mungkin! 

Maafkan daku duhai sahabat. Andai engkau terbaca coretan ini, seribu kemaafan aku pohon daripadamu. Andai ada tingkah serta tutur bicara yang mengguris hatimu, sekali lagi maaf kupohon. Aku insan lemah yang tidak pernah lari daripada melakukan khilaf malah sentiasa khilaf. Aku tahu, meski kau menuturkan "saya ok," di sebalik kata-kata itu pasti terselit keluhan yang amat berat untuk kau lepaskan. :'( Maafkan diri ini. Mungkin aku bukan sahabat yang terbaik buatmu. Mungkin juga kata-kata yang kau titipkan "I found the best and still wait for her," itu harus kau padam daripada memori kata yang kau pernah tujukan padaku. Maafkan aku yang telah melukai hati kecilmu. Sungguh, aku insan lemah. Aku pendosa yang tidak pernah suci daripada dosa. :'(


Insan khilaf,
Qusyaimah Rosman.