Tuesday, 27 February 2018

Coretan IV

Bismillah.

Assalamu'alaikum wbt.

Hai semua. Apa khabar? Moga kalian diberikan kesihatan yang baik, dipermudahkan urusan dan diberikan kebahagiaan oleh Allah swt. :)

Hari ini saya kira hari yang sangat manis bagi saya walaupun dalam masa yang sama saya stress sebab cari barang hilang tak jumpa. 😫 Lumrah bekerja, ada hari segalanya lancar, ada hari tugasannya sangat mencabar. Tidak mengapa, semakin banyak cabaran saya tempuh, semakin banyak pengetahuan dan pengalaman yang saya timba. Alhamdulillah. 💪 Tapikan nak stress pun tak jadi sebab tiba-tiba bila ada orang tanya, "awak kerja ok ke semua hari ni?" haha. Ok dah jangan perasan. 😅

Baiklah, berbalik kepada hari yang manis tadi. Alhamdulillah, saya mendapat jemputan perkahwinan daripada seorang sahabat yang saya tidak pernah bersua tetapi hanya berhubung melalui email dan whatsapp atas urusan kerja. Entah kenapa, walau tidak pernah bersua, saya sangat selesa berkawan dengannya. Banyak urusan kerja yang saya senang untuk berurusan dengannya. Tahniah Nur Amalina dan suami. Moga mahligai yang bakal kalian bina akan kekal utuh hingga ke Jannah Allah. Insyaa Allah. 

Lepas habis waktu kerja, saya teman mama ke rumah rakannya. Kebetulan anak kawan mama baru habis pantang. Comel sangat baby dia. Hilang segala penat lelah apabila tengok baby. Sememangnya baby mempunyai aura yang tersendiri. Tak puas rasanya dapat main dengan baby. Nak tunggu anak sendiri, jodoh pun tak nampak bayang lagi. Haha. Jadi kita mainlah dengan anak orang dulu. 😝

Oklah. Itu je nak cerita untuk hari ini. Nak cerita dekat orang, orang pun ada masalah tersendiri. Jadi kita luah dekat sinilah. Well, writing is an option for us to released our stress also. Haha. 

Hai. Saya Aisy.
Saya sangat comel dan tembam. Haha.
 Semoga membesar jadi anak yang soleh dan membahagiakan ibu dan ayah Aisy. 😘


Qusyaimah Rosman



Sunday, 25 February 2018

Bermula Langkah Pertama

Bismillah.

Assalamu'alaikum wbt.

Saya sangat terinspirasi melihat orang-orang yang sangat cekal dan tabah hatinya dalam memulakan apa jua bidang yang diceburi. Bagi saya, untuk memulakan sesuatu itu bukan mudah begitu juga untuk mengakhiri apa yang telah kita mulakan juga bukan mudah. Namun, mengakhiri tidak sesukar untuk memulakan kerana untuk memulakan sesuatu itu menuntut pelbagai pengorbanan.

Minggu ini adalah minggu yang sangat sibuk bagi saya. Menyediakan segala keperluan untuk memulakan perniagaan yang baru saya ceburi dengan hasil titik peluh dan usaha saya sendiri adalah sesuatu yang amat rumit malah meletihkan. Namun, keletihan yang saya tanggung bagaikan angin lalu apabila ramai yang berpuas hati dengan apa yang telah saya usahakan. Alhamdulillah. Terima kasih atas sokongan semua.

Apabila saya menceburi bidang perniagaan ini, saya dapat rasakan masa yang saya ada sangatlah berharga. Saya harus bijak menguruskan masa kerana saya bukan sahaja menumpukan pada kerjaya saya semata-mata tetapi saya mempunyai komitmen lain yang perlu saya kerjakan. Allah sangat baik kerana Dia memberikan kemudahan pada saya untuk melalui semua ini dengan mudah.

Hari ini, pagi-pagi lagi saya telah ke pejabat pos untuk pos barang-barang customer. Sedikit sebanyak saya belajar cara-cara untuk membuat pengeposan. Selalunya, sayalah pembeli dan hari ini saya belajar menjadi penjual. 😅 Semoga barang yang dipos tiba dengan selamat pada customer saya.

Semoga saya akan terus istiqomah mengerjakan segala yang telah saya usahakan. Mungkin suatu hari nanti saya akan lebih berjaya dan dapat membantu lebih ramai orang yang memerlukan. Insyaa Allah.

Sampai di sini dahulu celoteh saya pada petang yang berbahagia ini. Letih ke sana sini uruskan hal bisnes. Haha. Macam urus projek juta-juta 😆 Bukan juta-juta pun tak apalah. Asalkan hasil titik peluh dan usaha saya sendiri. Mesti anak cucu saya bangga ada emak dan nenek yang rajin macam saya. Hahahahaha. Oklah. Merapu lebih. Sekian dahulu.




Gadis Halwani,
Qusyaimah Rosman 

Friday, 16 February 2018

Langit Tidak Selalunya Cerah

Bismillah.

Assalamu'alaikum wbt.

Dalam hidup kita, pasti Allah pernah hadirkan insan yang membuatkan kita rasa sangat disayangi dan dihargai. Namun, sesetengahnya ditakdirkan oleh Allah untuk tetap kekal bersama-sama hingga terbinanya ikatan yang halal. Sesetengahnya pula, Allah hadirkan orang yang dikasihi hanya bersifat kesementaraan dan akhirnya dia akan pergi sebelum terbinanya ikatan cinta yang pernah dijanjikan. 

Manusia memang sangat mudah untuk melafazkan janji tetapi untuk mengotakan hatta satu janji pun belum tentu kita mampu. Bicara dan perbuatan adalah dua perkara yang sangat jauh bezanya. Sesiapa pun pasti sewenang-wenangnya melafazkan kata janji tika diri terbuai rasa cinta yang sangat mendalam tanpa memikirkan kesan daripada janji yang ditaburi. 

Berjanjilah sekadarnya sahaja agar suatu hari nanti saat tidak tertunai janji-janji yang pernah ditabur, kita tidak akan melukakan hati orang pernah kita berjanji. Tidak usah berjanji setinggi langit jika tidak pasti sama ada janji itu dapat tertunai atau tidak. Mungkin bagi orang yang menabur janji akan menganggap janji itu hanyalah sekadar janji. Jangan kita lupa, orang yang pernah ditaburkan janji itu barang kali akan mengingati janji itu hingga ke mati. 

Ditipu dengan janji-janji palsu adalah sesuatu yang sangat menyakitkan. Ya, sangat menyakitkan ibarat dihunus belati tajam hingga tembus ke dasar hati dan ditarik kembali belati itu dan ditikam kembali. Lebih sakit lagi, jika kita setia dan jujur sepenuhnya, tetapi tetap juga cinta dan kasih dikhianati. Lebih memilukan, kita sebenarnya menyayangi orang yang tidak pernah jujur dan tidak pernah sekali-kali berniat untuk melunaskan janji-janjinya. Cinta dan kesetiaan yang kita bina, diinjak dan dibuang ibarat sampah yang tidak berguna. Sampainya hatimu duhai kasih. 

Begitulah kehidupan ini. Tidak semuanya indah untuk dilalui. Adakalanya, Allah titipkan ujian untuk kita belajar menjadi lebih kuat dan tabah. Ada ketika, Allah memberikan hadiah dalam bentuk ujian untuk kita muhasabah kembali diri dan mengambil iktibar atas asbab sesuatu perkara itu terjadi. Mungkin juga, kerana terlalu lalai dan leka, Allah tidak mahu kita makin jauh dan terpesong maka disegerakan peringatan itu. Allah, kasihnya Allah pada kita sebagai hamba-Nya. :'(

Sekuat mana pun kita pertahankan cinta yang kita bina, tetapi hanya sebelah pihak yang cuba untuk pertahankan, maka akan terlerai jua. Jika seteguh mana kita sama-sama mempertahakan, jika tidak diizinkan Allah, maka akan terpisah jua. Tidak mengapalah. Mungkin perkenalan ini hanyalah sebagai tarbiah agar kita berhati-hati dalam memberi hati. 

Terima kasih atas perkenalan yang singkat ini. Ada ketika kita terbuai suka dan kini segalanya dibalut luka. Semoga suatu hari nanti Allah akan gantikan dengan bahagia. :) 


Salam kasih, 
Qusyaimah Rosman

Sunday, 28 January 2018

Selamat Tahun Baru 2018

Bismillah.

Assalamu'alaikum wbt.

Allah, hampir setahun lebih tidak mencoretkan apa-apa di ruangan ini kerana terlupa password blog :( Alhamdulillah disebabkan saya bukan seorang yang mudah berputus asa, malam ini saya telah berjaya mendapatkan kembali blog saya. ^_^ 

Rindu benar rasanya untuk menulis kembali seperti dahulu. Saya selalu meluangkan masa untuk menuliskan apa-apa sahaja yang terlintas di ruang hati dan fikiran. Selepas tamat sahaja pengajian, saya terus sahaja mendapatkan pekerjaan dan alhamdulillah Allah mempermudahkan rezeki saya. Apabila sudah bekerja, masa saya menjadi sangat terhad hingga berbulan-bulan lamanya saya tidak menjengah ke ruangan ini dan akhirnya password saya sendiri pun saya boleh terlupa. 

Rasanya selepas ini, saya akan berkongsi lebih banyak cerita sama ada suka dan duka yang telah saya lalui. Menulis adalah satu-satunya terapi minda bagi saya. Menulis juga dapat memberikan katarsis kepada jiwa-jiwa yang sakit kerana dengan penulisan luahan yang terbuku di hati itu lebih mudah untuk diterjemah berbanding kita menggunakan kata-kata. 

Terima kasih kepada kalian yang sudi singgah ke ruangan saya. Moga penulisan dan perkongsian di dalam ruangan ini dapat menjadi saham akhirat jika saya telah meninggalkan dunia ini suatu hari nanti. Barangkali, perkongsian ini juga dapat menjadi tatapan anak dan cucu saya suatu masa nanti. Insyaa Allah. 


Salam sayang, 
Qusyaimah Rosman.

Friday, 1 April 2016

I'm Hiring!

Bismillah.

Assalamu'alaikum wbt.

          Syukur alhamdulillah, hari ini menerima dua perkara yang menggembirakan. Perkara pertama ialah penerimaan surat tamat belajar dan status berijazah. Syukur. Terima kasih Allah kerana mendengar doa dan rintihan hamba-Mu yang terlalu banyak khilafnya ini. Alhamdulillah. Terima kasih juga kepada semua yang berjasa dalam mengiringi pahit manis perjuangan selama tiga tahun setengah di USM. Terlalu banyak kenangan yang tercipta. 

          Manakala perkara yang kedua ialah saya telah diterima bekerja sebagai kerani di sebuah syarikat swasta. Walaupun mungkin hanya sebagai seorang kerani, tetapi bagi seorang graduan yang masih bertatih mencari identiti diri yang sebenar, saya tidak akan pernah berputus asa untuk melangkah lebih jauh suatu hari nanti. Allah Maha Kaya lagi Maha Mengetahui tiap-tiap sesuatu. Mungkin sudah tertulis rezeki saya pada hari ini, hadir ke temu duga pada petang tadi dan esok sudah boleh mula bekerja. Kebanyakan syarikat majoriti tidak mahu mengambil pelajar ijazah kerana tidak mampu untuk membayar gaji mereka. Mujur majikan yang menemu duga saya sebentar tadi sangatlah baik dan sungguh memahami walaupun basic yang ditawarkan pada saya memang sangat jauh dengan kelayakan yang saya ada. Namun, tidak mengapa. Pengalaman yang saya timba itu yang paling penting. Sudah ada majikan yang mahu ambil saya bekerja juga sudah memadai bagi saya sementara menunggu peluang yang lebih baik suatu hari nanti. Aamiin. Mohon doa daripada kalian semua. 

          Sampai di sini sahajalah dahulu coretan pada malam ini. Maklumlah kena tidur awal supaya esok lebih cergas untuk memulakan kerja. Cewah. Haha. Selamat malam semua. Assalamu'alaikum. :)


Surat Tamat Belajar 



Salam sayang,
Qusyaimah Rosman

Thursday, 31 March 2016

Bulan yang Hodoh

Bismillah.

Assalamu'alaikum wbt dan salam mahabbah.

     Pernah seseorang bertanyakan padaku, "kamu setuju jika aku kata bulan itu hodoh?"

     Lantas aku mendongak ke langit menatap bulan. Aku suka saat bulan mengambang. Serasa itulah makhluk paling indah yang pernah aku saksikan. Cantik, berseri dan sinarannya sungguh menenangkan. 

   "Benar. Walaupun kita lihat bulan itu indah tetapi kita mengetahui hakikat dirinya yang serba kekurangan. Kita tahu, tidak ada apa-apa hidupan yang terdapat di dalamnya. Bulan juga tidak mempunyai air, tiada oksigen, berwarna kelabu hodoh, berdebu dan berlekuk-lekuk. Hakikatnya, bulan tidak menarik." 

     "Kamu tahu apakah yang membuatkan kita terpukau dengan bulan semasa bulan mengambang?" 

     "Cahanya," sambil mataku terus menatap bulan tanpa berkelip. Indah lagi mendamaikan. 

     "Kamu tahu dari mana datangnya cahaya itu?"

     "Mataharilah," sesekali mataku melirik ke arahnya.  
     
     "Sebagai manusia, kita sebenarnya perlu mengambil pengajaran daripada bulan," katanya dengan nada yang serius. 

     "Mengapa kamu kata begitu."

    "Kitakan manusia. Manusia banyak kekurangan. Kita hodoh dan buruk hakikatnya di hadapan Allah. Kita kerdil, lemah dan hina. Kita sering takbur dan riak. Itulah hakikat kita."  

     Aku menatap matanya yang mulai berkaca. Sangat benar bicaranya. Kita hanya makhluk kerdil yang tiada apa-apa yang perlu dibanggakan. 

     "Jika bulan dipandang kerana cahayanya, apa pula yang boleh menjadikan seseorang insan itu benar-benar mulia?"

      "Islam. Islam yang sebenar-benarnya. Islam itu ibarat mentari yang menyuluh seluruh kehidupan manusia sama seperti matahari yang tidak pernah jemu memantulkan cahayanya kepada bulan. Kalau kita mahu Islam itu bersinar seperti bulan, kita juga perlu berusaha menjadi seperti matahari yang mencantikkan bulan hingga memukau pandangan."  

       Aku memandang bulan. Bulan yang terkandung seribu erti. Mengajar aku menghargai sebuah hakikat kehidupan. 





Salam sayang,
Qusyaimah Rosman.

Wednesday, 30 March 2016

Sabar dalam Reda

Bismillah.

Assalamu'alaikum wbt dan salam mawaddah.

Setiap daripada makhluk yang diciptakan oleh Allah S.W.T tidak akan pernah lari daripada ditimpa ujian. Ujian yang diberikan oleh Allah itu adalah salah satu tanda kasih Allah pada hamba-Nya. Jika ingin dibandingkan ujian yang diberikan ke atas kita dengan ujian yang ditimpakan ke atas para anbia' adalah seperti langit dengan bumi. Namun, atas dasar ketakwaan dan keimanan yang tebal dalam jiwa mereka, ujian seberat dan sebesar apa pun dapat ditempuh dengan tenang, sabar dan reda.

Firman Allah S.W.T yang bermaksud,

"Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum datang kepada kamu (ujian) sebagaimana halnya orang-orang terdahulu sebelum kamu? Mereka ditimpa oleh malapetaka dan kesengsaraan, serta digoncangkan (dengan bermacam-macam ujian) sehingga berkata Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya: "Bilakah datangnya pertolongan Allah?" Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat." (QS. Al-Baqarah: 214) 

Mengapa kita diuji?

Firman Allah S.W.T yang bermaksud,

"Yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun." (QS. Al-Mulk: 2) 

Oleh itu, setiap kali ditimpa ujian, masalah dan musibah, suka saya mengingat kembali bait-bait abidah yang agung ketika zaman tabiin dahulu.

Rabiatul 'Adawiyah ketika ditanya mengenai sifat reda, jawabnya:

"Seseorang itu mampu mencapai maqam redanya apabila bergembira dengan musibah yang menimpanya seperti mana dia bergembira dengan nikmat yang diterimanya."

Maka, dengan kata-kata ini, saya sentiasa mendidik hati untuk bersyukur dengan penuh reda atas setiap kecelakaan yang menimpa saya seperti Allah melimpahkan rahmat-Nya yang tiada tolok bandingnya.

Moga saya, kamu dan kita semua senantiasa dalam pelukan kasih dan reda-Nya.



Salam sayang,
Qusyaimah Rosman