Saturday 31 August 2013

Hati Milik Allah.

Bismillah.

Assalamu'alaikum w.b.t dan salam mahabbah.

Hati manusia sangat sukar dijangka.

Kadang kala kita tahu kehendak hati, tetapi ada kalanya kita sendiri tak tahu apa yang sebenarnya hati kita mahukan.

Sampai satu tahap membuatkan kita terfikir hanya Allah sahaja yang tahu apa yang hati kita mahukan.

Hablu minallah ( Hubungan dengan Allah ) dan Hablu minannas ( Hubungan dengan manusia ) sememangnya berkait rapat.

Jika baik hubungan kita dengan Allah, maka inshaa Allah hubungan kita dengan manusia juga terpelihara. Orang senang dengan kita tetapi bukanlah bermakna semua orang akan suka dengan kita atau tiada langsung yang menyimpan hasad dengki pada kita.

Mungkin dalam diam kita tidak sedar yang sebenarnya kita ada buat salah tanpa disengajakan. Mungkin juga ada kata-kata kita yang mungguris hati dan perasaan orang lain.

Seandainya kita tahu dan kita sedar kita silap, ringan-ringankanlah mulut untuk meminta maaf kerana hanya kemaafan jualah tali penyambung silaturrahim dan ukhuwah. Jangan ego. Allah tahu hati siapa yang benar-benar ikhlas.

Dosa dengan Allah, bila kita minta ampun inshaa Allah akan diampunkan. Jika dosa sesama manusia? Jika dia benar-benar terasa hati dengan tindakan kita? Silap-silap virus hati itu juga akan tersebar menyelusup terus ke hati kita. Tak rugi pun kalau kita menjadi seorang yang mudah menghulurkan kemaafan dan juga mudah memaafkan. Allah tahu hati kita. Allah tahu niat kita. Allah lebih tahu segalanya. Bukan mudah untuk puaskan hati semua orang.

Kita hidup bermasyarakat kalau kita tak boleh nak bertoleransi dan hormat menghormati, agak susah jugalah sebab apabila hidup bermasyarakat memang banyak yang perlu dipertimbangkan. Lecturer selalu ingatkan, kalau kita nak orang hormat kita, kita yang perlu hormat orang lain terlebih dahulu. Kena selalu ingat, what you give, you'll get back. Dunia hari ni Allah bayar 'cash'. Bila-bila masa saja kita akan dapat balasan yang setimpal. Rasanya lebih baik macam tu sebab kalau Allah bayar di akhirat nanti ? Nauzubillah.

Mintalah pada Allah. Jaga hati aku. Hati dia. Hati semua. Inshaa Allah akan dipermudahkan.

Dalam hidup, memang takkan pernah lari daripada dicaci, dikata, orang sebar fitnah tentang kita macam tahu semua perkara. Tapi itulahkan, hati orang. Hmm. Hanya mampu bersabar. Kuatkan hati sebab hati Allah yang pegang, Allah yang jaga.

Sebaik-baik perlindungan hanyalah disandarkan kepada Allah semata-mata. Minta pada DIA. Kadang kala pernah berlaku pada kita, kita dah tolong seseorang dan katakanlah dia tak balas pun pertolongan kita sewaktu kita perlukan pertolongan dia. Mesti terdetik dalam hati antara kita " Memang malas dahlah aku nak tolong lagi lepas ni." atau " Dahlah minta tolong orang, tak kenang budi betul dia ni."

Memang akan ada dan wujud manusia yang jenis macam ni. Sebagai seorang yang beragama, yang tahu ketentuan Allah, takkan kita nak balas semula perbuatan orang pada kita. Sesungguhnya segala yang baik itu datangnya daripada Allah dan yang buruk itu adalah kelemahan dan kekurangan diri kita sendiri. Jangan risau, setiap perbuatan baik yang kita lakukan Allah tahu. Allah pasti balas. Allah pasti akan tolong kita walau tiada seorang pun dalam seisi dunia yang sudi tolong kita. Nampak macam hiperbola sangat tapi itulah hakikatnya. Kebanyakan orang akan ada waktu senang, bila kita susah, semua menghilangkan diri.

Aku kagum dengan dia, rajin tolong orang. Suka tolong orang. Walau tidak dibalas, tidak dikenang, satu dia ucap " Saya tak kisah. Saya tak pernah harap balasan." Memang susah, memang payah, tapi kalau benar-benar ikhlas, pasti mudah. Allah tahu. Allah sayang.

Apabila kita mendapat pertolongan, jangan sesekali lupa untuk berterima kasih. "Terima kasih" nampak macam mudah, macam senang namun tak semua dapat luahkan. Walaupun nampak mudah namun bila diungkapkan ianya akan tembus masuk ke hati paling dalam. Orang akan rasa dihargai.

Begitu juga dengan Allah, kita perlu sentiasa bersyukur atas segala nikmat dan kurniaan-Nya. Bila kita bersyukur, pasti Allah bantu, pasti Allah bagi lebih lagi. Kan? =)

Dalam hati ini, selalu minta " Allah jaga hati aku. Jaga akhlak aku. Jadikan aku hamba-Mu yang sentiasa bersyukur agar aku lebih dekat dengan-Mu." Kadang kala kita ni waktu susah je ingat Allah, waktu senang kita alpa, kita lalai.

Aku hanya insan biasa. Ada masa lampau. Banyak kelemahan. Banyak kekurangan. Dosa memang tak terkira. Pernah terfikir, kalau boleh tak pernah buat benda-benda yang aku tahu memang berdosa. Kadang kala macam nak padam segala memori silam. Namun, kalau tak ada masa silam, takkan ada hari ini, takkan ada akan datang. Syukur. Allah masih sayang. Bila lihat kelebihan pada orang lain, ingat kita pun ada kelebihan. Jika lihat kesusahan orang lain, ingat akan ada yang lebih susah. Bersyukur !

Sekurang-kurangnya Allah masih beri peluang untuk berubah. Allah masih beri kesedaran untuk berubah jadi lebih baik. Walaupun mungkin kesedaran tu datang agak lewat. Alhamdulillah, better late than never. Istiqamah penting. Biar sikit tapi berterusan.

Aku menulis bukan kerana aku alim. Bukan juga kerana ilmu telah penuh di dada. Aku juga hamba yang masih tercari-cari sinar yang dapat mendorong aku untuk lebih dekat dengan Allah. Aku tak sempurna. Sama macam orang lain. Bila sekali aku kata aku ingin berubah, takkan nak berubah sendiri. Harap kita semua dapat sama-sama berubah. Aku juga turut dimotivasi oleh orang sekeliling, sahabat-sahabat yang dekat dengan aku, orang-orang yang lebih baik daripada aku.

Sharing is caring.

** Aku menulis hasil daripada pengalaman aku, dia dan orang lain. Mungkin semua pernah rasa. Tapi sama-sama perbaiki. Wallahu'alam.

" Apabila kita reda atas sesuatu yang mengecewakan hati kita, maka percayalah Allah akan menggantikan kekecewaan itu dengan sesuatu yang tidak dijangka. Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar. "
 [ Al-Baqarah : 153 ]

Friday 30 August 2013

Kata-Kata yang Baik

Bismillah.

Assalamu'alaikum w.b.t dan salam ukhuwah.

Mari sama-sama kita hayati kata-kata pujangga, maruah seseorang terletak pada lisannya iaitu kata-katanya. Islam adalah agama yang amat mengambil berat mengenai maruah dan harga diri. Oleh sebab itu, Islam memerintahkan umatnya sentiasa menjaga lidah dengan mengeluarkan perkataan yang baik-baik. Hal ini selaras dengan firman Allah s.w.t yang bermaksud : 

" Dan mereka diberi petunjuk kepada mengucapkan kata-kata yang baik serta diberi petunjuk ke jalan Allah Yang Amat Terpuji." [ Surah al-Hajj : 24 ]

Perkataan yang baik bukan sekadar kata-kata molek yang keluar dari mulut seseorang. Tetapi ia juga merangkumi bentuk sedekah yang bermanfaat, yang boleh digunakan untuk kesejahteraan hidup bermasyarakat dan kebahagiaan abadi. Dalam hal ini, Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud :

" Dan ucapan yang mulia itu adalah sedekah." [ Riwayat Bukhari dan Muslim ]

Perkataan juga diibaratkan mata pisau yang tajam. Perkataan yang dikeluarkan akan mencerminkan nilai dan darjat individu. Oleh sebab itu, Rasulullah s.a.w pernah berpesan : 

" Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia berkata dengan baik atau mendiamkan diri saja." [ Riwayat Bukhari dan Muslim ]

Rasulullah s.a.w juga menegaskan perkataan yang baik mempunyai nilai yang sama dengan amalan soleh yang lain. Hal ini seperti sabda baginda s.a.w yang bermaksud :

" Peliharalah diri kalian semua daripada api neraka walaupun dengan hanya memberikan sebiji kurma. Oleh itu, sesiapa yang tidak mampu, maka hendaklah dia menggantikannya dengan perkataan yang baik." [ Riwayat Bukhari dan Muslim ]

Renung-renungkan dan selamat beramal.






Cintailah cinta,
Qusyaimah Rosman.

Wednesday 28 August 2013

Dosa di Sebalik Lensa Kamera.

Bismillah.


Assalamu'alaikum w.b.t dan salam mahabbah.    
   
   Fenomena pekerjaan sebagai seorang 'photographer' pada hari ini dapat diibaratkan seperti cendawan yang tumbuh selepas hujan. Alhamdulillah ! Perkembangan yang positif kerana bidang fotografi merupakan salah satu bidang yang agak penting pada masa ini. Setiap saat dan setiap detik yang terindah akan diinterpretasi dengan lahirnya pengamatan melalui hati seterusnya disalur ke minda dan singgah di kaca penglihatan bergerak terus ke otak dan akhirnya jari bertindak merakamkan segala detik yang pasti akan menjadi ingatan dan mungkin juga memori hidup yang tersemat rapi dalam lipatan sejarah hidup seseorang.

     Ramai yang mengakui, seseorang 'photographer' dapat mengilhamkan bakat dan seni mereka dengan pelbagai cara mengikut gaya seseorang 'photographer' itu sendiri. Ada yang lebih berfokuskan kepada potrait dan ada juga yang cenderung ke arah landskap dan sebagainya. Terpulang kepada bakat dan kelebihan yang ada pada mereka. Semua itu dilakukan adalah semata-mata untuk mendapatkan kualiti gambar yang terbaik, sudut yang tepat serta kepentingan gambar itu sendiri terhadap audien sama ada ianya dinilai secara tersurat ataupun tersirat. 


    Bidang fotografi ini bukan suatu bidang yang mudah dan boleh dipandang enteng oleh masyarakat. Kadang kala dapat kita lihat dan perhatikan, seseorang 'photographer' diberikan layanan yang tidak sepatutnya dalam sesebuah majlis sedangkan jika kita lihat tanpa adanya seorang 'photographer', setiap saat yang berharga itu pasti tidak akan dapat dirakam dengan saat yang tepat dan ianya akan berlalu begitu sahaja ibarat air sungai yang terus mengalir deras. 

     Namun, apa yang cuba saya sampaikan pada hari ini bukanlah berfokus kepada peranan seseorang 'photographer' itu semata-mata. Ada perkara yang lebih serius di sebalik bidang yang semakin melonjak naik pada ketika ini. Sejujurnya, saya amat berbangga dengan seseorang 'photographer'. Mereka cukup berbakat ! Namun, sayang sekali jika bakat mereka itu tidak disalurkan ke jalan yang betul. Pernahkah terlintas di lubuk hati kalian yang bergelar 'photographer', adakah bakat yang dikurniakan oleh Allah s.w.t itu disalurkan ke arah kebaikan atau kemaksiatan? Bakat anda itu menyumbang dosa atau pahala? Tepuk dada, tanyalah iman. 

     Pasti pernah terlintas dalam pemikiran seseorang 'photographer' beberapa persoalan yang kadang kala amat mengelirukan mereka sehingga mereka bertindak di luar batasan syariat yang sebenar. Antara persoalan yang mungkin sering dibangkitkan adalah berkenaan isu mengambil foto pengantin perempuan. Berikut adalah antara persoalan yang sering dibangkitkan : 

Soalan 

Adakah dibolehkan mereka mengambil gambar pengantin perempuan yang sedang disolekkan dan tidak menutup aurat kerana ianya diminta oleh pengantin perempuan. 

Jawapan


Menurut Dr. Yusuf Al-Qaradhawi, walaupun fotografi harus hukumnya, tetapi hukumnya bergantung kepada figura / objek / subjek matter yang diambil oleh 'photographer' itu. Jika gambar yang diambil pada ketika itu adalah gambar bogel contohnya, maka hukumnya adalah haram. Hukumnya tetap haram sekiranya mengambil gambar wanita yang terdedah auratnya. Bukan itu sahaja, hukum melihat aurat perempuan tanpa keperluan yang darurat (Darurat di sini ialah dalam bidang perubatan bagi seorang doktor) maka hukumnya juga adalah haram. Maka hukum anda mengambil gambar-gambar perempuan yang mendedahkan aurat adalah haram hukumnya. Permintaan pelanggan bukanlah alasan yang kukuh untuk mengharuskan perkara yang haram. 

Soalan


Apakah rezeki yang saya terima daripada mengambil gambar wanita yang sedang bersolek ini halal? 

Jawapan

Tidak halal ! Mengikut kaedah Fiqh, " Al hukum bil wasilah hukmu bil maqosyid " iaitu hukum bagi wasilah adalah hukum dari maksud, ia datang dari kaedah fiqh, " Ma haruma isti'maaluh, haruma ittikhaazuh " yang bermaksud yang haram penggunaannya, haram pula memperolehinya. 


Sumber : Muhammad al-Zarqa', Syarah Qawaid, 389.


Soalan


Bagaimana pula dengan hasil rezeki mengambil gambar wanita yang menutup aurat penuh? Adakah rezeki yang diterima itu halal?


Jawapan


Halal. Ianya kembali kepada hukum asal fotografi iaitu harus dan harus pula menerima rezeki daripada foto-foto yang halal. 


Soalan

Bolehkan saya menolak jumlah wang gambar pengantin perempuan yang tidak menutup aurat ini daripada keseluruhan wang hasil daripada gambar perkahwinannya? Maknanya saya hanya memakan hasil gambar yang diambil pengantin wanita yang menutup aurat sahaja ( beri hasil ini sebagai rezeki keluarga ) dan hasil yang tidak menutup aurat saya tidak memakannya ( guna hasil itu dengan membeli kamera / filem baru ). Contohnya, harga keseluruhan bagi pakej gambar adalah RM100. Dalam 100 keping gambar itu, hanya 60 keping gambar yang menutup aurat dan 40 keping lagi tidak menutup aurat. Oleh itu, saya hanya memberikan RM60 itu kepada keluarga sebagai rezeki pendapatan dan selebihnya saya menggunakan untuk membeli barang keperluan fotografi. 


Jawapan


Amalan seperti ini sebenarnya tidak pernah dilakukan oleh orang Islam sebelum ini khususnya pada zaman Salafus Soleh. Mereka berpegang teguh pada hadis asy-Syarif, hadis no. 6 dalam Matn arba'een an-Nawawiyah (Matan Hadis 40 Imam Nawawi) dari Nu'man bin Bashir yang dikeluarkan oleh Dua Sahih Bukhari-Muslim :


" Sesungguhnya yang halal itu jelas, yang haram itu jelas, dan di antara kedua-duanya banyak perkara syubahah (samar-samar) yang kebanyakan manusia tidak mengetahuinya."


Berdasarkan hadis tersebut, dapatlah kita fahami bahawa jika kita melakukan seperti itu, cuba membuat perkiraan dari dua sumber iaitu yang halal dan yang haram, amat ditakuti jika perkiraan yang kita lakukan itu adalah tidak tepat dan masih ada yang syubahah. Lagipun, dalam tubuh orang Islam itu tidak berhimpun sifat halal dan haram serta syubahah. Dia hanya mengutamakan halal bayyin dalam semua urusan hidupnya. 


Allah menegaskan dalam Surah Al-Ahzab ayat 4 yang bermaksud : 


" Allah sekali-kali tidak menjadikan bagi seseorang dua buah hati dalam rongganya."


Ayat ini jelas menunjukkan bahawa orang Islam hanya ada satu hati dan hanya ada satu pilihan. Kita hanya boleh memilih yang halal sahaja dan menjauhi perkara-perkara yang syubahah apatah lagi perkara yang haram dalam urusan hidup seharian. 


   Itulah antara persoalan yang sering diutarakan. Sememangnya seni itu tiada halangannya kerana seni itu sendiri bersifat subjektif. Namun, sebagai seorang manusia yang mempunyai batas dalam merungkai perkara yang subjektif, kita harus bijak menilai sejauh mana batas-batas seni itu perlu dipamerkan. 


     Sebagai seorang 'photographer' anda menggalas tanggungjawab yang sangat besar. Andai kata ada mata-mata yang terlihat gambar-gambar yang tidak menutup aurat hasil dari seni anda maka, anda akan menanggung dosa selama mana gambar itu terus menjadi tatapan orang ramai. Nau'zubillah. Itu tidak lagi termasuk dosa yang dilakukan oleh seseorang 'photographer' yang kadang kala sesuka hati menyentuh model mereka atas alasan untuk mencantikkan gaya seseorang model yang mungkin nampak kekok ketika ber 'posing'.


     Alangkah lebih indah dan manisnya jika anda menggunakan bakat kesenian yang dikurniakan itu ke jalan Allah. Merakam segala keindahan dan kebesaran Allah untuk hamba-Nya. Berkemungkinan besar, akan ada hati-hati yang tersentuh dengan kesenian yang disalurkan ke jalan Allah itu lantas beriman dengan Allah yang satu. Bayangkan hikmah dan ganjarannya? Subhanallah ! 



     Hidup ini hanya sementara waktu. Gunakanlah bakat dan kelebihan yang dikurniakan oleh Allah itu sebagai saham akhirat kerana setiap apa yang kita lakukan di dunia ini akan dinilai, ditimbang dan dihisab kelak. Saya juga hanya manusia biasa yang masih mencari-cari identiti diri agar segala yang dilakukan akan mendapat keredaan Allah. Inshaa Allah. 


     Maaf wahai si dia, mungkin saya tidak mampu untuk meluahkan segala isi hati ini secara berdepan kerana takut akan mengguris hati awak. Sebagai seorang yang sentiasa menyokong usaha dan bakat kurniaan Allah pada awak, saya berharap agar awak lebih bijak mempertimbangkan antara perkara yang baik dan buruk. Harap awak lebih bertegas mempertahankan prinsip sebagai seorang yang beragama. Alhamdulillah, buat masa ni saya tahu awak masih menjaga batas dan adab ketika fotografi berlangsung. Awak masih dapat membezakan antara perkara yang haram dan halal. Moga Allah reda segala usaha awak. 



Satu hati,
satu cinta,
Untuk Dia yang satu. ;)

Monday 26 August 2013

Layakkah Aku ?

     'Aku tak layak ! Aku tak layak ! Aku tak layak !' Getus Umar menggegar sukma hatinya. Wajahnya berjalur resah, gelisah dan tersirat seribu satu persoalan yang menerjah fikirannya.

     Senja mula mengintai. Hujan lebat menyiram bumi. Kilat petir sabung menyabung. Suara guruh berdentum kuat. Pungguk menangis tatkala bulan tidak kelihatan. Panahan cahaya tampak ganas dan menggerunkan. Langit seakan-akan mengerti kegelisahannya saat itu.


    Umaira As-Safiyyah. Pertemuan buat pertama kalinya dengan seorang wanita yang hebat bernama Umaira As-Safiyyah pasti tidak mampu dilupakan. Seorang pelajar Perundangan dan Syariah yang begitu hebat tentang hukum agamanya. Seorang muslimah yang terkenal dengan sifatnya yang cukup lemah lembut malah setiap tutur katanya penuh hikmah. Dia turut dikenali sebagai penegak keadilan dan pembanteras kezaliman. Umar begitu kagum akan keperibadian wanita itu. Namun, perkara yang pasti wanita itu amat sukar untuk didekati. Terlalu sukar. Wanita yang terlalu sibuk berurusan dengan-Nya menyebabkan dia sering memencilkan dirinya daripada kelompok manusia yang sentiasa sibuk dengan kehidupan sosial mereka. 

     Jika dibandingkan dirinya dengan Umaira As-Safiyyah, terlalu jauh perbezaannya. Ibarat enggang dengan pipit yang tidak mungkin akan terbang bersama. Kehidupan Umaira As-Safiyyah sentiasa berpandukan syariat serta berpegang teguh pada Al-Quran dan hadis namun dia sebaliknya. Jauh di sudut hati, Umar ingin memiliki Umaira As-Safiyyah. Hati Umar seolah-olah sudah terpaut pada wanita itu. 


     " Bolehkan aku memiliki hatinya. Layakkah aku untuk menjadi pendamping dirinya?" Umar bermonolog sendiri. 


     Hati memang benar-benar sukar untuk dijangka. Sangat sukar juga untuk dijaga. Mudah sahaja anasir-anasir halus yang menyelusup masuk ke dasar hati bagi menggoyahkan perisai diri. Sudah cuba dihalang, ditepis cinta selain-Nya namun cinta tetap datang menyinggah. Umar takut dirinya terbuai dengan nafsu hati yang tidak pernah menjanjikan apa-apa. 


     " Assalamu'alaikum. Errrrr. Maaf, boleh tolong ambilkan buku berwarna biru itu? " Umaira As-Safiyyah menundingkan jari ke arah buku itu.


     Umar tersentak. Dia seolah-olah sedang bermimpi sekilas terpandang wajah wanita yang menyapanya tika itu. Umar begitu terkejut dan dia tergamam seketika. 


     ' Subhanallah !' Bisik hatinya.


     Umar tergamam seketika menatap keindahan Umaira As-Safiyyah. Tutur bicaranya yang sopan serta keindahan peribadinya menjadikan dia seorang pelajar yang sangat disenangi dan disegani. Benar kata para pelajar di sana, Umaira As-Safiyyah merupakan seorang muslimah yang sungguh luar biasa. Dia seolah-olah mempunyai daya tarikan yang membuatkan dirinya sangat dihormati. 


     " Akhi? "


     Lamunan Umar terhenti. Cepat-cepat dia beristighfar lantas tangannya mencapai buku yang dipinta oleh Umaira As-Safiyyah. Wajah Umaira As-Safiyyah merona merah. Dia tetap menundukkan pandangannya. 


     " Anti Umaira As-Safiyyah?" Umar memberanikan diri. 


     Umaira As-Safiyyah hanya mengukir senyuman seraya menganggukkan kepala tanda membenarkan persoalan yang diajukan. Umaira As-Safiyyah memberikan salam lantas berlalu pergi meninggalkan Umar yang masih dibuai mimpi seakan-akan bertemu bidadari. Jantungnya berdegup kencang. Aura Umaira As-Safiyyah masih bersamanya. Kehadiran wanita itu benar-benar membuatnya keliru.


     Sejak pertemuan itu, Umar lebih kerap ke perpustakaan agar sentiasa bertemu wanita hebat itu. Umar akan sentiasa mengekori gerak-geri Umaira As-Safiyyah. Dia juga amat arif akan segala aktiviti yang dilakukan oleh Umaira As-Safiyyah. Umar amat mengkagumi peribadi wanita itu. Keperibadiannya saling tidak tumpah seperti Fatimah Az-Zahra. Kakinya tidak pernah jemu melangkah untuk ke majlis ilmu. Hatinya sentiasa terpaut pada aktiviti kebajikan. Jiwanya sentiasa dahagakan pengisian rohani yang dapat membimbingnya mempertahankan agamanya. Pusat Islam adalah tempat yang sering dikunjunginya untuk mencari bahan rujukan agama.


     Umar semakin merasakan dirinya tidak layak untuk wanita sehebat Umaira As-Safiyyah. Dia terasa dirinya begitu jahil. Dia ingin sekali berubah. Berubah menjadi seseorang yang berpegang teguh pada syariat. Namun, dengan siapa dia harus bertemu? Umar buntu. 


     Angin menyapa lembut. Umar asyik menikmati keindahan tasik buatan kampus sambil melontar batu-batu kecil ke dalam tasik. Keresahan jelas terpancar di wajahnya. Hatinya gundah gulana. Jiwanya kosong serba kekurangan. Dia benar-benar dahaga akan hidayah dari-Nya. Dia mendengus kecil. Dia tidak tahu pada siapa dia harus luahkan. 


     " Assalamu'alaikum akhi. " 


     Umar menjawab salam yang dihulurkan lantas menoleh ke arah pemilik suara. Tidak semena-mena hatinya berdegup kencang. Dia tidak keruan. Di hadapannya ialah Umaira As-Safiyyah bersama beberapa orang temannya. Entah bagaimana Umaira As-Safiyyah seolah-olah tahu kerunsingan yang tersimpan di benaknya. Umaira As-Safiyyah menghulurkan sekeping kertas yang tercatat padanya nama dan nombor telefon seseorang. Dia meminta Umar untuk bertemu dengan orang tersebut. Umaira As-Safiyyah dan teman-temannya mengucapkan salam dan berlalu pergi. Umar hanya mengiringi pemergian mereka dengan mata kecilnya. Tanpa berlengah, Umar segera menghubungi pemilik nama tersebut. Mereka mengaturkan pertemuan. 

     Pada malam itu, Umar bertemu dengan Ustaz Naufal di surau tidak jauh dari kediamannya. Umar mencurahkan segala isi hatinya. Mengungkapkan segala yang bermain di benaknya. Mutiara hangat gugur daripada pelupuk matanya. Umar meminta agar ustaz Naufal bisa membimbingnya. Ustaz Naufal amat berbesar hati menerima Umar sebagai anak didiknya. Umar umpama bayi. Bayi yang pada permulaannya hanya tahu merangkak. Mencuba untuk berdiri dan berjalan tetapi pada akhirnya dia tersungkur. Lemah. Dia cuba bangkit. Kali ini dia bangkit dengan keazaman yang baru. Walaupun kesakitan masih berbekas di hati dek diselaputi noda silam, namun dia tidak pernah menjadikannya penghalang untuk memperbaiki dirinya. 


     Dalam diam, Umar mula memperbaiki dirinya untuk menjadi seorang mukmin yang lebih baik. Umar lebih banyak menghabiskan masanya untuk mendekatkan diri kepada Sang Pencipta. Segala kemusykilan pasti akan disuarakan kepada Ustaz Naufal yang sentiasa menjadi tempat rujukan Umar. Daripada masalah akidah sehinggalah masalah hati pasti akan diluahkan kerana dia tidak mahu masalah itu akan lebih mengheretnya jauh daripada landasan syariat yang telah ditetapkan oleh Allah s.w.t.


     Usai sahaja solat Zuhur di Masjid Al-Malik Khalid, Umar terserempak dengan Umaira As-Safiyyah. Umar memberikan salam dan mengucapkan terima kasih kerana telah mempertemukan dia dengan Ustaz Naufal. Umaira As-Safiyyah menyambut salamku sambil menundukkan pandangannya. Dengan rasa rendah diri, dia menyatakan bahawa dia hanya membantu mempertemukan Umar dan Ustaz Naufal. 


     ' Ya Allah, wanita di hadapanku ini sungguh merendah diri,' bicara Umar dalam hatinya.


     Umar mengucapkan salam dan berlalu pergi dengan sebuah senyuman yang dikhaskan buat Umaira As-Safiyyah. 


     Beberapa hari selepas pertemuan Umar dengan Umaira As-Safiyyah, Umar mendapat khabar berita bahawa Umaira As-Safiyyah telah dilamar oleh seorang ustaz yang berkelulusan dalam bidang Syariah dan merupakan bekas pelajar Universiti Al-Azhar. Ustaz Salahuddin Al-Ayyubi. Nama yang tidak asing di pendengaran kerana ketinggian ilmu agamanya. Namun, pinangannya telah ditolak oleh Umaira As-Safiyyah. Telah ramai yang cuba melamar Umaira As-Safiyyah namun pasti akan pulang dengan hati yang hampa lantaran pinangan mereka ditolak oleh Umaira As-Safiyyah. Kesemua yang datang melamarnya bukan calang-calang orang. Mereka mempunyai ketinggian ilmu agama dan merupakan anak orang berada. Jika orang-orang yang hebat seperti itu ditolak, apatah lagi dirinya yang jauh serba kekurangan. Terdetik di hati Umar, siapakah yang bakal memiliki hati Umaira As-Safiyyah. 


     Seperti biasa, Umar akan bersama-sama ustaz Naufal pada setiap malam Jumaat. Dia akan mempelajari Al-Quran. Memperbaiki bacaannya di samping memantapkan tajwidnya. Pada malam itu, Umar merasakan bahawa bacaannya semuanya tidak betul. Ustaz Naufal hairan akan sikap Umar pada malam itu. Umar tertanya-tanya apakah sebenarnya yang bermain di fikirannya? Mengapa setiap bacaannya menjadi salah?


     Ustaz Naufal meminta Umar untuk menghentikan bacaan kerana dia khuatir Umar akan melakukan lebih banyak kesilapan. Umar tertunduk sayu. Wajah Umaira As-Safiyyah begitu mengganggu naluri hatinya. Tidak hairanlah jika setiap bacaannya terdapat kesalahan. Fokusnya terganggu. Jiwanya kacau. Ustaz Naufal meminta Umar menceritakan kecelaruan yang bermain di fikiran Umar. Umar terdiam.


      " Akhi, sebenarnya ana mahu bicarakan sesuatu. Ana malu. Kadang kala ana teringatkan seorang akhwat. Wajahnya sering kali menjelma di fikiran ana. Bagaimana ustaz?. " Umar bersuara setelah lama dia menyepi.


     Ustaz Naufal tersenyum. Jauh di sudut hatinya ingin membantu Umar. Memandangkan Umar baru mengikuti halaqah, masih terlalu banyak yang dia masih belum mengerti. ' Menjadi tanggungjawabku untuk membantu Umar dalam perkara ini sebelum ianya melarat,' bisik hati kecilnya. 

     " Akhi, itu perkara biasa bagi seorang lelaki. Lelaki normal. Mahu mencintai dan dicintai. Namun, cinta itu perlu disalurkan dengan cara yang betul agar berkasih sayang dalam reda Allah s.w.t dan jauh daripada kemurkaan Allah s.w.t. Kita sebagai seorang yang ditarbiyah tidak mungkin akan melakukan perkara sedemikian. Cuba anta hayati maksud yang ingin disampaikan oleh Allah dalam surah Al-Israa' ayat 32 yang bermaksud :

    
 " Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan)." 

     Allah juga ada menegaskan bahawa kita harus menjaga pandangan tidak kira sama ada lelaki ataupun wanita kerana melalui pandangan itulah terjadinya maksiat mata seterusnya disalurkan terus ke hati. Anta hayati maksud surah An-Nur ayat 30 yang bermaksud : 

     " Katakanlah (Wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka sesungguhnya Allah amat mendalam pengetahuan-Nya tentang apa yang mereka kerjakan. "

     Jelas bukan? Jika kita tidak menyalurkan cinta kita ke jalan yang benar, ianya pasti akan mengheret kita ke lorong yang terlalu mudah untuk menodai cinta yang tulus suci. Mudah hati ini terbuai dalam cinta yang sia-sia. Akibatnya, kita lalai dan tidak meletakkan sebenar-benar cinta hanya pada-Nya. Ana kagum cara anta kerana berani menyuarakan rasa hati anta pada ana. Hal ini amat penting jika tidak diselesaikan dengan betul. Bahaya kalau dipendam lama-lama. Takut-takut akan melarat. Lain jadinya nanti. " Jelas Ustaz Naufal panjang lebar . 

     "  Ana cuma risau ustaz, ana akan cepat-cepat istighfar dan membaca al-Quran jika ana teringat akan benda itu. Namun, kadang-kadang ana tidak mampu ustaz. Disebabkan itulah ana cuba untuk meluahkan perkara ini kepada ustaz. Ana buntu. Alhamdulillah, ana lega kerana dapat juga ana meluahkan perkara ini setelah tersimpan lama di sudut hati. " Luah Umar sayu. 

     " Bagus cara anta. Akhi, ana sarankan supaya akhi jangan selalu berseorangan kerana syaitan mudah menyelusup masuk ke dalam hati dan menggoncang iman kita apabila kita keseorangan. Perbanyakkan aktiviti bersama keluarga ataupun menziarahi sahabat yang terdekat. Dengan cara itu, hati kita tidak mudah terbuai dengan hasutan syaitan. 

     " Ustaz, layakkah ana bernikah dengan muslimah?"

     ' Wah, hebat juga soalan ini.' Bisik hati Ustaz Naufal.

     " Inshaa Allah. Anta layak mendapatkan seorang muslimah. Paling penting, anta harus istiqamah dalam mentarbiyah diri dan berdoa kepada Allah s.w.t. Anta harus perbetulkan niat semata-mata kerana Allah agar Allah menganugerahkan seorang muslimah untuk anta. Bi idznillah akhi. " Ustaz Naufal meyakinkan Umar.

     " Apa yang sepatutnya ana lakukan ya ustaz?" 


     " Kenapa tidak cuba untuk melamar wanita itu?" soal ustaz Naufal. Umar sekadar tersenyum. 


     " Ana dan wanita itu bagai langit dan bumi akhi. Bagaimana ana layak untuk melamar wanita sehebat dirinya sedangkan sebelum ini telah ramai lelaki yang hebat turut ditolak lamarannya. Jika ana yang melamarnya, sudah pasti lamaran ana juga akan ditolak." Luah Umar. Ustaz Naufal tergelak kecil. 


     " Bagaimana anta tahu pinangan anta akan ditolak sedangkan anta belum mencubanya? Anta tidak akan tahu keputusannya jika anta tidak berani untuk mencuba. Tidak mustahil pinangan anta akan diterima. Hati milik Allah. Minta pada Allah. " 


     Umar terdiam. Fikirannya ligat berfikir untuk mencerna setiap bait kata yang diungkapkan oleh Ustaz Naufal. Ada benarnya kata Ustaz Naufal.


     " Namun, ana bukan Saidina Ali ustaz. Ana hanyalah hamba Allah yang serba kekurangan. Ana dapat merasakan bahawa ana tidak layak untuk wanita itu. Wanita itu terlalu baik dan solehah. Dia lebih layak untuk orang yang sebaiknya. Bukan ana, ustaz. " 


     " Jika anta bukan Saidina Ali, maka dia juga bukan Saidatina Fatimah. Terlalu awal untuk anta berputus harapan. Anta perlu mencuba. Ana pasti, anta pasti akan memiliki wanita solehah itu." Kata-kata Ustaz Naufal memberikan Umar semangat. 

     Umar menunaikan solat hajat dan solat istikharah agar pilihan dan urusannya dipermudahkan oleh Allah. Umar reda jika lamarannya ditolak kerana dia tahu dia tidak layak untuk wanita sebaik Umaira As-Safiyyah. 


     Berbekalkan doa dan secebis keberanian, Umar menggagahkan dirinya untuk bertemu dengan orang tua Umaira As-Safiyyah. Semasa kehadirannya ke kediaman Umaira As-Safiyyah, Umar amat terkejut dengan perkara yang dilihatnya. Rupanya Ustaz Naufal merupakan ayah kepada Umaira As-Safiyyah. Umar terkesima. Kehadiran umar ke teratak itu disambut dengan gembira oleh Ustaz Naufal. Umar seakan bermimpi. 


     " Apakah hajat kedatanganmu ke teratakku ini wahai anak muda?" Ustaz Naufal menyoal. Umar terdiam. Perasaan gementar dan gemuruh silih berganti. Keraguan menerjah untuk meluahkan segala yang terbuku di lubuk hati. Umar menarik nafas dalam-dalam.


    " Maafkan ana jika kehadiran ana mengganggu ustaz. Ana membawa hajat yang sangat besar. Ana tahu ana bakal ditolak tetapi ana akan mencuba terlebih dahulu. Ana ingin melamar Umaira As-Safiyyah sebagai isteri ana ustaz. Menjadi peneman hidup ana." Umar tertunduk malu.


     " Persoalan yang ligat bermain di hati dan mindamu akan dijawab sendiri oleh Umaira As-Safiyyah. Andai dia menerima pinanganmu, ana juga akan menerima dengan hati yang terbuka. Jika dia menolaknya, redakan sahaja." Umar hanya menganggukkan kepala tanda mengerti. Ustaz Naufal memanggil Umaira As-Safiyya ke ruang tamu untuk menjawab sendiri persoalan lamaran itu. Umar perlu bersedia.


     " Abi, Safiyyah pernah mendengar ada seorang lelaki yang mengatakan bahawa dia bukan sehebat Saidina Ali kerana kehebatan cinta Saidina Ali terhadap puteri Rasulullah s.a.w. Sedangkan Safiyyah juga bukan Saidatina Fatimah Az-Zahra. Safiyya juga ada kekurangan. Setiap hari Safiyya menanti lelaki itu datang melamar, namun hampa. Sehinggalah hari ini, penantian Safiyyah telah tamat, abi. Lelaki itu hadir juga dan lelaki yang Safiyya maksudkan itu ialah Umar Al-Rayyan. Lelaki yang menjadi anak didik abi. Dengan nama Allah yang Maha Pemurah, Safiyyah menerima lamaran lelaki yang berada di hadapan abi. " Jawab Umaira As-Safiyyah tenang. Umar tersenyum penuh makna lalu melakukan sujud syukur. Tidak putus-putus dia mengucapkan syukur kepada Allah.


     Siapa yang menyangka bahawa penghujungnya indah? Umar yang pada mulanya tidak yakin dengan pilihannya akhirnya diterima pinangannya oleh Umaira As-Safiyyah. Umar bukanlah sehebat lelaki-lelaki yang bekerjaya tinggi serta hebat ilmu agamanya. Umar masih lagi serba kekurangan. Kekurangan kerana masih sabar menanti tulang rusuknya yang hilang. Puas sudah dia berusaha untuk mencarinya kembali dan akhirnya dia menjumpainya. Tulang rusuk itu ialah Umaira As-Safiyyah Al-Naufal. 







Nukilan,
Qusyaimah Rosman.
     

     
     
     


Monday 19 August 2013

Teratak Bahasa

Teratak Bahasa


Telah kita bina teratak bahasa
tempat berteduh pengikat kata
sebuah bangsa yang telah merdeka
di teratak bahasa itu
yang telah lama kita dirikan
di desa pingitan
atau di kota metropolitan
terus kukuh mencabar halilintar.

Peliharalah teratak bahasa
sebagai lambang maruah diri
tidak perlu memohon simpati
yang layak dihina dan dicaci.

Jagalah teratak bahasa
pancarkan tamadun nusa
kita bangsa berjiwa perkasa
halus jiwa berbudi bahasa.

Teratak bahasa ini
warisan pusaka leluhur kita
pusaka untuk generasi muka.

Usah biarkan teratak ini
diruntuh era modenisasi
ditelan ketaksuban bicara asing
yang pernah memijak
kemelayuan ini. 



P/s : Puisi ini telah saya hasilkan semasa mengikuti Program Perkampungan Penulis Muda Peringkat Negeri Johor. Alhamdulillah, puisi ini telah terpilih untuk diterbitkan dalam majalah keluaran Dewan Bahasa dan Pustaka iaitu Jendela Selatan keluaran Ogos 2011. 

Salam Aidilfitri 1434H

Bismillah.

Assalamu'alaikum dan salam ukhuwah.

Sedar tak sedar agak lama juga saya tidak mencoretkan entri di halaman Secangkir Mawaddah ini. Faktor masa yang agak mencemburui saya menyebabkan saya kurang aktif untuk menulis. Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan salam Aidilfitri Minal Aidil Walfaizin kepada semua sahabat yang sudi bertandang di halaman saya ini. Saya ingin memohon keampunan sekiranya ada kata-kata atau perbuatan saya sama ada sengaja atau tidak yang telah mengguris hati sahabat sekalian.

" Taqabbalallahu minna wa minkum. "

Semoga Allah menerima (amalan) dari kami dan darimu sekalian.

Wallahu'alam.