Monday, 26 May 2014

Rahsia Cinta

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah dan Maha Pengasih.

Assalamu'alaikum w.b.t.

Daripada hati seorang wanita, aku menulis tinta ini untukmu yang belum kukenali. Pasti kau tertanya apakah ini titipan cinta buatmu? Jawapannya bukan. Apakah ini warkah rindu padamu? Jawapannya juga bukan. Aku sekadar mahu bertanya dan memerlukan jawapan daripadamu. Jawapan itu amat mahal dan terlalu bernilai buatku. 

Dalam dunia yang penuh warna cinta palsu, aku sebenarnya jadi lemas dan lelah kerana aku membenci setiap pertemuan pasangan kekasih yang kononnya bercinta atas nama ukhwah. Aku membenci setiap bicara yang diluah untuk melepaskan kata rindu dan cinta. Ya, aku benci! Namun aku lihat, di sana sini remaja hanya mabukkan rindu dan belaian. 

Justeru, aku mahu kepastian. Adakah engkau juga jenis itu? Biar aku tanyakan padamu satu perumpamaan. Shah Jihan mencintai Mumtaz dan membuktikan cintanya dengan membina Taj Mahal, bagaimana pula engkau mencintai dan membuktikan cintamu? 

Ramai nakhoda yang membelah samudera cinta. Ramai pengembara yang meredah belukar jiwa. Selalu ada pencinta yang mengukir tugu-tugu setia. Namun, jarang sekali mereka membiarkan wahyu berbisik pada sukma. Mereka alpa dan leka. Akhirnya, mereka karam di perairan cinta, mereka tersesat di belantara jiwa, mereka terkepung dalam api setia. Apa pandanganmu? Adakah firman Tuhan mengatasi segala? Dengan itu barulah kita akan temui bahagia? Di dunia atau di syurga?

Aku tahu, kita semua mengimpikan cinta yang tulus seperti kisah cinta Saidatina Fatimah dan Saidina Ali. Dua insan yang mencintai dalam diam dan akhirnya dipertemukan jua oleh Allah S.W.T. Sesungguhnya, mereka yang mencintai dalam diam itu sedang berjihad. Berjihad menundukkan nafsu hati. Namun, di sebalik kisah cinta yang tulus murni ini, sanggupkah kita jika kisah kita berakhir seperti kisah cinta Salman al-Farisi?

Dan segala persoalan ini, adakah akan mampu kau jawab dengan jujur dan ikhlas? Mohon diberikan jawapannya.

Sekian,
Daripadaku.

No comments:

Post a Comment