Tuesday 16 February 2016

Status Berijazah!

Bismillah.

Assalamu'alaikum wbt dan salam kasih sayang.

Alhamdulillah. Pagi ini para pelajar USM sudah boleh membuat semakan keputusan peperiksaan akhir. Terima kasih Allah, kerana dengan rahmat-Mu aku telah sampai ke puncak ini. Jika mahu dibandingkan dengan usahaku sendiri, nescaya aku akan terkandas di tengah-tengah pencarian hidup yang sangat mencabar ini. Akhirnya, statusku sebagai pelajar telah berubah menjadi BERIJAZAH! 

Walaupun keputusanku tidaklah secemerlang rakan-rakan yang lain, namun aku percaya, di mana ada usaha dan kemahuan pasti akan ada kejayaan yang menanti. Tambahan pula, peluang pekerjaan pada hari ini menuntut pengalaman dan soft skills yang ada dalam diri graduan dan bukan dilihat pada pointer semata-mata. Bagiku, pointer itu adalah kepuasan. Kepuasan individu apabila kita mendapat keputusan yang baik, kita semakin bersemangat untuk menggapai kejayaan. Namun, fokus terhadap akademik juga perlulah diselang selikan dengan kemahiran yang lain agar kita berhasil menjadi seorang graduan yang serba boleh setelah kita tamat pengajian. Ceburkan diri kalian dalam pelbagai bidang. Penuhkan masa kalian dengan aktiviti yang bermanfaat dan bukan hanya terperap di dalam bilik pada hujung minggu. (perkara yang saya selalu lakukan jika tiada latihan PALAPES. Hehe. :P ) 

Di sebalik kejayaan ini, ingin aku titipkan jutaan terima kasih buat mama dan papa yang tidak pernah jemu untuk memberikan semangat dan dorongan pada diri ini. Merekalah tulang belakang yang senantiasa menjadi penguat tika diri ini benar-benar lemah. 

Ribuan terima kasih juga dititipkan buat semua pensyarah yang sangat banyak mencurahkan ilmu tanpa kenal erti penat dan lelah. Halalkan segala ilmu yang pernah dicurahkan pada anak didikmu ini. Jasa kalian hanya mampu dibalas oleh Allah s.w.t. Terima kasih kerana memberikan cahaya pada insan yang meraba-raba mencari sinar dalam kegelapan. 

Terima kasih dan tahniah turut diucapkan kepada rakan-rakan Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan khusunya rakan-rakan yang bermajor dalam Sastera. Allah dengar doa dan rintihan kita. Allah menghadiahkan kita sebuah senyuman yang mampu diukir buat ibu bapa kita. Alhamdulillah. Jumpa kalian pada April nanti. 

Untuk mereka yang senantiasa mendoakan diri ini, terima kasih atas doa kalian. Allah pasti membalas setiap butir doa yang kalian titipkan untuk insan lain. Satu kejayaan yang kalian doakan, seribu kejayaan menanti kalian. Syukran. 

Buat rakan-rakan dan adik-adik yang masih meneruskan perjuangan, berjuanglah dengan hati kerana manisnya akan dirasai di penghujung jalan nanti. Manfaatkan kehidupan sebagai pelajar dengan sebaiknya kerana ia tidak akan pernah berulang kembali. Jatuh bangun kita hanya Allah mengerti. Sematkan di hati aku pasti beroleh kejayaan suatu hari nanti. Insyaa Allah. :)



Salam sayang, 
Qusyaimah Rosman. 

No comments:

Post a Comment