Senja mula mengintai. Hujan lebat menyiram bumi. Kilat petir sabung menyabung. Suara guruh berdentum kuat. Pungguk menangis tatkala bulan tidak kelihatan. Panahan cahaya tampak ganas dan menggerunkan. Langit seakan-akan mengerti kegelisahannya saat itu.
Umaira As-Safiyyah. Pertemuan buat pertama kalinya dengan seorang wanita yang hebat bernama Umaira As-Safiyyah pasti tidak mampu dilupakan. Seorang pelajar Perundangan dan Syariah yang begitu hebat tentang hukum agamanya. Seorang muslimah yang terkenal dengan sifatnya yang cukup lemah lembut malah setiap tutur katanya penuh hikmah. Dia turut dikenali sebagai penegak keadilan dan pembanteras kezaliman. Umar begitu kagum akan keperibadian wanita itu. Namun, perkara yang pasti wanita itu amat sukar untuk didekati. Terlalu sukar. Wanita yang terlalu sibuk berurusan dengan-Nya menyebabkan dia sering memencilkan dirinya daripada kelompok manusia yang sentiasa sibuk dengan kehidupan sosial mereka.
Jika dibandingkan dirinya dengan Umaira As-Safiyyah, terlalu jauh perbezaannya. Ibarat enggang dengan pipit yang tidak mungkin akan terbang bersama. Kehidupan Umaira As-Safiyyah sentiasa berpandukan syariat serta berpegang teguh pada Al-Quran dan hadis namun dia sebaliknya. Jauh di sudut hati, Umar ingin memiliki Umaira As-Safiyyah. Hati Umar seolah-olah sudah terpaut pada wanita itu.
" Bolehkan aku memiliki hatinya. Layakkah aku untuk menjadi pendamping dirinya?" Umar bermonolog sendiri.
Hati memang benar-benar sukar untuk dijangka. Sangat sukar juga untuk dijaga. Mudah sahaja anasir-anasir halus yang menyelusup masuk ke dasar hati bagi menggoyahkan perisai diri. Sudah cuba dihalang, ditepis cinta selain-Nya namun cinta tetap datang menyinggah. Umar takut dirinya terbuai dengan nafsu hati yang tidak pernah menjanjikan apa-apa.
" Assalamu'alaikum. Errrrr. Maaf, boleh tolong ambilkan buku berwarna biru itu? " Umaira As-Safiyyah menundingkan jari ke arah buku itu.
Umar tersentak. Dia seolah-olah sedang bermimpi sekilas terpandang wajah wanita yang menyapanya tika itu. Umar begitu terkejut dan dia tergamam seketika.
' Subhanallah !' Bisik hatinya.
Umar tergamam seketika menatap keindahan Umaira As-Safiyyah. Tutur bicaranya yang sopan serta keindahan peribadinya menjadikan dia seorang pelajar yang sangat disenangi dan disegani. Benar kata para pelajar di sana, Umaira As-Safiyyah merupakan seorang muslimah yang sungguh luar biasa. Dia seolah-olah mempunyai daya tarikan yang membuatkan dirinya sangat dihormati.
" Akhi? "
Lamunan Umar terhenti. Cepat-cepat dia beristighfar lantas tangannya mencapai buku yang dipinta oleh Umaira As-Safiyyah. Wajah Umaira As-Safiyyah merona merah. Dia tetap menundukkan pandangannya.
" Anti Umaira As-Safiyyah?" Umar memberanikan diri.
Umaira As-Safiyyah hanya mengukir senyuman seraya menganggukkan kepala tanda membenarkan persoalan yang diajukan. Umaira As-Safiyyah memberikan salam lantas berlalu pergi meninggalkan Umar yang masih dibuai mimpi seakan-akan bertemu bidadari. Jantungnya berdegup kencang. Aura Umaira As-Safiyyah masih bersamanya. Kehadiran wanita itu benar-benar membuatnya keliru.
Sejak pertemuan itu, Umar lebih kerap ke perpustakaan agar sentiasa bertemu wanita hebat itu. Umar akan sentiasa mengekori gerak-geri Umaira As-Safiyyah. Dia juga amat arif akan segala aktiviti yang dilakukan oleh Umaira As-Safiyyah. Umar amat mengkagumi peribadi wanita itu. Keperibadiannya saling tidak tumpah seperti Fatimah Az-Zahra. Kakinya tidak pernah jemu melangkah untuk ke majlis ilmu. Hatinya sentiasa terpaut pada aktiviti kebajikan. Jiwanya sentiasa dahagakan pengisian rohani yang dapat membimbingnya mempertahankan agamanya. Pusat Islam adalah tempat yang sering dikunjunginya untuk mencari bahan rujukan agama.
Umar semakin merasakan dirinya tidak layak untuk wanita sehebat Umaira As-Safiyyah. Dia terasa dirinya begitu jahil. Dia ingin sekali berubah. Berubah menjadi seseorang yang berpegang teguh pada syariat. Namun, dengan siapa dia harus bertemu? Umar buntu.
Angin menyapa lembut. Umar asyik menikmati keindahan tasik buatan kampus sambil melontar batu-batu kecil ke dalam tasik. Keresahan jelas terpancar di wajahnya. Hatinya gundah gulana. Jiwanya kosong serba kekurangan. Dia benar-benar dahaga akan hidayah dari-Nya. Dia mendengus kecil. Dia tidak tahu pada siapa dia harus luahkan.
" Assalamu'alaikum akhi. "
Umar menjawab salam yang dihulurkan lantas menoleh ke arah pemilik suara. Tidak semena-mena hatinya berdegup kencang. Dia tidak keruan. Di hadapannya ialah Umaira As-Safiyyah bersama beberapa orang temannya. Entah bagaimana Umaira As-Safiyyah seolah-olah tahu kerunsingan yang tersimpan di benaknya. Umaira As-Safiyyah menghulurkan sekeping kertas yang tercatat padanya nama dan nombor telefon seseorang. Dia meminta Umar untuk bertemu dengan orang tersebut. Umaira As-Safiyyah dan teman-temannya mengucapkan salam dan berlalu pergi. Umar hanya mengiringi pemergian mereka dengan mata kecilnya. Tanpa berlengah, Umar segera menghubungi pemilik nama tersebut. Mereka mengaturkan pertemuan.
Pada malam itu, Umar bertemu dengan Ustaz Naufal di surau tidak jauh dari kediamannya. Umar mencurahkan segala isi hatinya. Mengungkapkan segala yang bermain di benaknya. Mutiara hangat gugur daripada pelupuk matanya. Umar meminta agar ustaz Naufal bisa membimbingnya. Ustaz Naufal amat berbesar hati menerima Umar sebagai anak didiknya. Umar umpama bayi. Bayi yang pada permulaannya hanya tahu merangkak. Mencuba untuk berdiri dan berjalan tetapi pada akhirnya dia tersungkur. Lemah. Dia cuba bangkit. Kali ini dia bangkit dengan keazaman yang baru. Walaupun kesakitan masih berbekas di hati dek diselaputi noda silam, namun dia tidak pernah menjadikannya penghalang untuk memperbaiki dirinya.
Dalam diam, Umar mula memperbaiki dirinya untuk menjadi seorang mukmin yang lebih baik. Umar lebih banyak menghabiskan masanya untuk mendekatkan diri kepada Sang Pencipta. Segala kemusykilan pasti akan disuarakan kepada Ustaz Naufal yang sentiasa menjadi tempat rujukan Umar. Daripada masalah akidah sehinggalah masalah hati pasti akan diluahkan kerana dia tidak mahu masalah itu akan lebih mengheretnya jauh daripada landasan syariat yang telah ditetapkan oleh Allah s.w.t.
Usai sahaja solat Zuhur di Masjid Al-Malik Khalid, Umar terserempak dengan Umaira As-Safiyyah. Umar memberikan salam dan mengucapkan terima kasih kerana telah mempertemukan dia dengan Ustaz Naufal. Umaira As-Safiyyah menyambut salamku sambil menundukkan pandangannya. Dengan rasa rendah diri, dia menyatakan bahawa dia hanya membantu mempertemukan Umar dan Ustaz Naufal.
' Ya Allah, wanita di hadapanku ini sungguh merendah diri,' bicara Umar dalam hatinya.
Umar mengucapkan salam dan berlalu pergi dengan sebuah senyuman yang dikhaskan buat Umaira As-Safiyyah.
Beberapa hari selepas pertemuan Umar dengan Umaira As-Safiyyah, Umar mendapat khabar berita bahawa Umaira As-Safiyyah telah dilamar oleh seorang ustaz yang berkelulusan dalam bidang Syariah dan merupakan bekas pelajar Universiti Al-Azhar. Ustaz Salahuddin Al-Ayyubi. Nama yang tidak asing di pendengaran kerana ketinggian ilmu agamanya. Namun, pinangannya telah ditolak oleh Umaira As-Safiyyah. Telah ramai yang cuba melamar Umaira As-Safiyyah namun pasti akan pulang dengan hati yang hampa lantaran pinangan mereka ditolak oleh Umaira As-Safiyyah. Kesemua yang datang melamarnya bukan calang-calang orang. Mereka mempunyai ketinggian ilmu agama dan merupakan anak orang berada. Jika orang-orang yang hebat seperti itu ditolak, apatah lagi dirinya yang jauh serba kekurangan. Terdetik di hati Umar, siapakah yang bakal memiliki hati Umaira As-Safiyyah.
Seperti biasa, Umar akan bersama-sama ustaz Naufal pada setiap malam Jumaat. Dia akan mempelajari Al-Quran. Memperbaiki bacaannya di samping memantapkan tajwidnya. Pada malam itu, Umar merasakan bahawa bacaannya semuanya tidak betul. Ustaz Naufal hairan akan sikap Umar pada malam itu. Umar tertanya-tanya apakah sebenarnya yang bermain di fikirannya? Mengapa setiap bacaannya menjadi salah?
Ustaz Naufal meminta Umar untuk menghentikan bacaan kerana dia khuatir Umar akan melakukan lebih banyak kesilapan. Umar tertunduk sayu. Wajah Umaira As-Safiyyah begitu mengganggu naluri hatinya. Tidak hairanlah jika setiap bacaannya terdapat kesalahan. Fokusnya terganggu. Jiwanya kacau. Ustaz Naufal meminta Umar menceritakan kecelaruan yang bermain di fikiran Umar. Umar terdiam.
" Akhi, sebenarnya ana mahu bicarakan sesuatu. Ana malu. Kadang kala ana teringatkan seorang akhwat. Wajahnya sering kali menjelma di fikiran ana. Bagaimana ustaz?. " Umar bersuara setelah lama dia menyepi.
Ustaz Naufal tersenyum. Jauh di sudut hatinya ingin membantu Umar. Memandangkan Umar baru mengikuti halaqah, masih terlalu banyak yang dia masih belum mengerti. ' Menjadi tanggungjawabku untuk membantu Umar dalam perkara ini sebelum ianya melarat,' bisik hati kecilnya.
" Akhi, itu perkara biasa bagi seorang lelaki. Lelaki normal. Mahu mencintai dan dicintai. Namun, cinta itu perlu disalurkan dengan cara yang betul agar berkasih sayang dalam reda Allah s.w.t dan jauh daripada kemurkaan Allah s.w.t. Kita sebagai seorang yang ditarbiyah tidak mungkin akan melakukan perkara sedemikian. Cuba anta hayati maksud yang ingin disampaikan oleh Allah dalam surah Al-Israa' ayat 32 yang bermaksud :
" Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan)."
Allah juga ada menegaskan bahawa kita harus menjaga pandangan tidak kira sama ada lelaki ataupun wanita kerana melalui pandangan itulah terjadinya maksiat mata seterusnya disalurkan terus ke hati. Anta hayati maksud surah An-Nur ayat 30 yang bermaksud :
" Katakanlah (Wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka sesungguhnya Allah amat mendalam pengetahuan-Nya tentang apa yang mereka kerjakan. "
Jelas bukan? Jika kita tidak menyalurkan cinta kita ke jalan yang benar, ianya pasti akan mengheret kita ke lorong yang terlalu mudah untuk menodai cinta yang tulus suci. Mudah hati ini terbuai dalam cinta yang sia-sia. Akibatnya, kita lalai dan tidak meletakkan sebenar-benar cinta hanya pada-Nya. Ana kagum cara anta kerana berani menyuarakan rasa hati anta pada ana. Hal ini amat penting jika tidak diselesaikan dengan betul. Bahaya kalau dipendam lama-lama. Takut-takut akan melarat. Lain jadinya nanti. " Jelas Ustaz Naufal panjang lebar .
" Ana cuma risau ustaz, ana akan cepat-cepat istighfar dan membaca al-Quran jika ana teringat akan benda itu. Namun, kadang-kadang ana tidak mampu ustaz. Disebabkan itulah ana cuba untuk meluahkan perkara ini kepada ustaz. Ana buntu. Alhamdulillah, ana lega kerana dapat juga ana meluahkan perkara ini setelah tersimpan lama di sudut hati. " Luah Umar sayu.
" Bagus cara anta. Akhi, ana sarankan supaya akhi jangan selalu berseorangan kerana syaitan mudah menyelusup masuk ke dalam hati dan menggoncang iman kita apabila kita keseorangan. Perbanyakkan aktiviti bersama keluarga ataupun menziarahi sahabat yang terdekat. Dengan cara itu, hati kita tidak mudah terbuai dengan hasutan syaitan.
" Ustaz, layakkah ana bernikah dengan muslimah?"
' Wah, hebat juga soalan ini.' Bisik hati Ustaz Naufal.
" Inshaa Allah. Anta layak mendapatkan seorang muslimah. Paling penting, anta harus istiqamah dalam mentarbiyah diri dan berdoa kepada Allah s.w.t. Anta harus perbetulkan niat semata-mata kerana Allah agar Allah menganugerahkan seorang muslimah untuk anta. Bi idznillah akhi. " Ustaz Naufal meyakinkan Umar.
" Apa yang sepatutnya ana lakukan ya ustaz?"
" Kenapa tidak cuba untuk melamar wanita itu?" soal ustaz Naufal. Umar sekadar tersenyum.
" Ana dan wanita itu bagai langit dan bumi akhi. Bagaimana ana layak untuk melamar wanita sehebat dirinya sedangkan sebelum ini telah ramai lelaki yang hebat turut ditolak lamarannya. Jika ana yang melamarnya, sudah pasti lamaran ana juga akan ditolak." Luah Umar. Ustaz Naufal tergelak kecil.
" Bagaimana anta tahu pinangan anta akan ditolak sedangkan anta belum mencubanya? Anta tidak akan tahu keputusannya jika anta tidak berani untuk mencuba. Tidak mustahil pinangan anta akan diterima. Hati milik Allah. Minta pada Allah. "
Umar terdiam. Fikirannya ligat berfikir untuk mencerna setiap bait kata yang diungkapkan oleh Ustaz Naufal. Ada benarnya kata Ustaz Naufal.
" Namun, ana bukan Saidina Ali ustaz. Ana hanyalah hamba Allah yang serba kekurangan. Ana dapat merasakan bahawa ana tidak layak untuk wanita itu. Wanita itu terlalu baik dan solehah. Dia lebih layak untuk orang yang sebaiknya. Bukan ana, ustaz. "
" Jika anta bukan Saidina Ali, maka dia juga bukan Saidatina Fatimah. Terlalu awal untuk anta berputus harapan. Anta perlu mencuba. Ana pasti, anta pasti akan memiliki wanita solehah itu." Kata-kata Ustaz Naufal memberikan Umar semangat.
Umar menunaikan solat hajat dan solat istikharah agar pilihan dan urusannya dipermudahkan oleh Allah. Umar reda jika lamarannya ditolak kerana dia tahu dia tidak layak untuk wanita sebaik Umaira As-Safiyyah.
Berbekalkan doa dan secebis keberanian, Umar menggagahkan dirinya untuk bertemu dengan orang tua Umaira As-Safiyyah. Semasa kehadirannya ke kediaman Umaira As-Safiyyah, Umar amat terkejut dengan perkara yang dilihatnya. Rupanya Ustaz Naufal merupakan ayah kepada Umaira As-Safiyyah. Umar terkesima. Kehadiran umar ke teratak itu disambut dengan gembira oleh Ustaz Naufal. Umar seakan bermimpi.
" Apakah hajat kedatanganmu ke teratakku ini wahai anak muda?" Ustaz Naufal menyoal. Umar terdiam. Perasaan gementar dan gemuruh silih berganti. Keraguan menerjah untuk meluahkan segala yang terbuku di lubuk hati. Umar menarik nafas dalam-dalam.
" Maafkan ana jika kehadiran ana mengganggu ustaz. Ana membawa hajat yang sangat besar. Ana tahu ana bakal ditolak tetapi ana akan mencuba terlebih dahulu. Ana ingin melamar Umaira As-Safiyyah sebagai isteri ana ustaz. Menjadi peneman hidup ana." Umar tertunduk malu.
" Persoalan yang ligat bermain di hati dan mindamu akan dijawab sendiri oleh Umaira As-Safiyyah. Andai dia menerima pinanganmu, ana juga akan menerima dengan hati yang terbuka. Jika dia menolaknya, redakan sahaja." Umar hanya menganggukkan kepala tanda mengerti. Ustaz Naufal memanggil Umaira As-Safiyya ke ruang tamu untuk menjawab sendiri persoalan lamaran itu. Umar perlu bersedia.
" Abi, Safiyyah pernah mendengar ada seorang lelaki yang mengatakan bahawa dia bukan sehebat Saidina Ali kerana kehebatan cinta Saidina Ali terhadap puteri Rasulullah s.a.w. Sedangkan Safiyyah juga bukan Saidatina Fatimah Az-Zahra. Safiyya juga ada kekurangan. Setiap hari Safiyya menanti lelaki itu datang melamar, namun hampa. Sehinggalah hari ini, penantian Safiyyah telah tamat, abi. Lelaki itu hadir juga dan lelaki yang Safiyya maksudkan itu ialah Umar Al-Rayyan. Lelaki yang menjadi anak didik abi. Dengan nama Allah yang Maha Pemurah, Safiyyah menerima lamaran lelaki yang berada di hadapan abi. " Jawab Umaira As-Safiyyah tenang. Umar tersenyum penuh makna lalu melakukan sujud syukur. Tidak putus-putus dia mengucapkan syukur kepada Allah.
Siapa yang menyangka bahawa penghujungnya indah? Umar yang pada mulanya tidak yakin dengan pilihannya akhirnya diterima pinangannya oleh Umaira As-Safiyyah. Umar bukanlah sehebat lelaki-lelaki yang bekerjaya tinggi serta hebat ilmu agamanya. Umar masih lagi serba kekurangan. Kekurangan kerana masih sabar menanti tulang rusuknya yang hilang. Puas sudah dia berusaha untuk mencarinya kembali dan akhirnya dia menjumpainya. Tulang rusuk itu ialah Umaira As-Safiyyah Al-Naufal.
Nukilan,
Qusyaimah Rosman.
No comments:
Post a Comment