Bismillah.
Assalamu'alaikum wbt dan salam sejahtera.
Dalam kesempatan yang sangat singkat ini, saya ingin mencoretkan satu kenangan manis yang tercipta antara kami. Boleh jadi juga ini adalah memori terakhir kami bersama-sama di USM ini. Angka keramat 15 Ogos 2015 dirasakan begitu dekat sekali dengan kami. Tarikh yang bakal mengubah status kami, tarikh yang bakal mencipta jurang perpisahan antara kami. Namun, tarikh itulah yang akan mencipta 1001 kenangan dalam hidup kami malah akan menjadi saksi pengorbanan kami selama hampir 3 tahun.
Alhamdulillah, kami dapat lalui jerit perih, susah payah, suka duka, penat lelah bersama-sama sepanjang 3 tahun ini. Pelbagai ragam, rencah, onak dan duri yang kami tempuhi bersama-sama. Daripada kami tidak mengenali satu sama lain kini, rasanya perpisahan itu sangat asing bagi kami. Daripada kami tidak mengetahui apa-apa dalam ilmu ketenteraan kini, sebahagian besar daripada kami ingin menjadi pejuang yang menanam jihad dalam diri untuk mempertahankan agama dan negara. Subhanallah! Sungguh besar rahmat yang Allah curahkan pada kami.
Pada hari Selasa lalu, seorang daripada skuad kami iaitu Faizah telah memberikan cetusan idea di saat akhir untuk mengadakan acara "bakar-bakar" di tepi tasik bersama-sama dengan skuad yang lain. Katanya, acara ini adalah sebagai kenangan akhir kami bersama-sama di USM ini sebelum rakan-rakan yang hanya 3 tahun pengajian mereka di sini meninggalkan kami yang masih mempunyai 1 hingga 2 sem lagi di sini. Setelah mendapat persetujuan daripada skuad yang lain, akhirnya kami bersama-sama telah merealisasikan ideanya itu pada Jumaat malam (29 Mei 2015).
Majlis pada malam itu berjalan dengan sangat lancar. Alhamdulillah. Saat saya pandang satu-satu wajah mereka, rasa sayu yang tidak tergambar di hati. Begitu pantas masa berlari meninggalkan kami. Begitu banyak kenangan yang tercipta bersama-sama mereka.
Pada malam itu juga kami telah menjemput mantan ayahanda kami merangkap jurulatih kami iaitu Stap Fauzi untuk bersama-sama meraikan majlis tersebut. Majlis itu sebenarnya untuk meraikan beliau yang telah banyak jasanya pada kami. Terlalu banyak ilmu yang dicurahkan pada kami. Bersabar melayan kerenah kami, aduan kami, kenakalan kami, dan macam-macam ragam kami. Terima kasih stap untuk segalanya. Halalkan segala ilmu yang telah stap curahkan pada kami. Moga stap sentiasa dalam lindungan dan rahmat Allah. Moga diberikan kesihatan yang baik dan umur yang panjang untuk beribadah kepada Allah. Amin!
Akhir kata, moga Allah sentiasa tautkan hati-hati kami hingga ke syurga-Nya. Ingatlah saat kemanisan sepanjang kita menjalinkan ukhuwah dan lontarkan segala kepahitan di lubuk paling dalam. Semoga ukhuwah ini sentiasa mekar di hati kalian. Moga kita sentiasa dalam rahmat dan kasih-Nya!
|
Bersama ayahanda Fauzi. |
|
Wajah ceria mereka! |
|
Makan bersama-sama. |
|
Ayam sedang dibakar! |
|
Sebahagian besar keluarga kami. |
|
Bertudung biru di hadapan itu Faizah. |
|
Jejaka KR. |
|
Mesranya mereka! |
|
Nodie, Aqilah dan Intan. |
|
Mereka sedang asyik menyalakan bara. |
Salam sayang,
Qusyaimah Rosman
No comments:
Post a Comment