Friday, 5 June 2015

Subuh dan Dhuha

Bismillah.

Assalamu'alaikum wbt.

Pada hari ini ada sedikit ilmu dan perkongsian yang telah saya peroleh daripada "whatsapp group." Ketika membaca perkara yang dikongsikan itu, hati ini terasa bagai dirobek, diri ini bagai ditembak menggunakan LMG, kepala ini bagai dihempap batu yang besar. Tusukan ayatnya benar-benar mendalam. Ikuti perkongsian yang saya terima sebentar tadi:

Tidur selepas subuh bagi pandangan orang Soleh.

Sebelum ini, aku sempat berjumpa dengan seorang soleh. Hatinya itu terlekat ilmu basyirah yang tinggi iaitu ilmu firasat yang sangat kuat. Jadi, sesiapa yang dekat dengannya, berhati-hati. Apa yang terlintas di hati dan fikiran, pastikan niatkan perkara yang baik. 

Aku perbetulkan niat, adab aku, tingkah laku bila tiap kali berdepan dengan beliau. Apabila diberikan peluang, aku terus bertanya:

"Ustaz, macam mana nak buat supaya tak tidur lepas subuh?"

"Tidak pernah wujud istilah tidur selepas tidur." Jawabnya.

"Ohhh, ustaz, jadi apa hukum tidur selepas subuh?"

"Kau nak aku jawab dalam mazhab kau atau mazhab aku?" Dia bertanya padaku.

'Ada banyak mazhab ke?' aku sekadar berbisik dalam hati. 

"Jangan kau nak menyatakan perkara yang kau tak boleh nak sorokkan dengan aku."

Astaghfirullah. Dia membaca lintasan hati aku. 

"Maafkan saya ustaz. Dua-dua mazhablah ustaz."

"Kalau dengan cara hidup kau, cara amalan kau, mazhab kau, kau teruskanlah tidur lepas subuh dan jadilah kau seperti anjing mati."

Aku terasa seperti hendak menangis.

"Tapi kalau mazhab aku, cara aku, amalan yang aku tahu, orang yang macam ini dia jatuh kufur!"

Aku senyap,

"Kenapa ustaz?"

"Orang yang macam ini sombong dengan Allah. Dia berlagak depan Allah. Dia menolak pemberian Allah. Bagaimana dia boleh tidur sedangkan Allah menurunkan rezeki-Nya, Rahmat-Nya, setiap pagi selepas terbit fajar tetapi dia boleh tidur. Umpama macam kau seorang jutawan, bawa duit yang berjuta-juta berjumpa dengan seorang miskin papa kedana setiap hari. Tetapi apa yang dilakukan oleh fakir tadi kepada kau, dia tidur dan tidak mempedulikan langsung duit kau sedangkan dia miskin. Jadi apa yang ada dalam fikiran kau? Mesti kau akan kata, dia ni dahlah miskin nak mampus, sombong pula tu."

Aku tersentak lagi. 

"Orang yang tidur lepas subuh dan selepas itu bangun ada hati lagi nak Dhuha, Allahuakhbar. Orang macam ini lagi tak malu depan Allah. Tadi dia tolak pemberian Allah, sekarang mahu tarik semula rezeki dan rahmat Allah. Sesungguhnya manusia itu jahil. Sepatutnya orang ini perlu bertaubat dahulu sebelum nak solat Dhuha. 

Ya Allah, apabila duduk dengan orang yang setiap masa takutkan Allah, baru sedar macam mana amalan kita selama ini. Betapa hinanya fikiran aku selama ini. Jauh beza nak dibandingkan dengan amalan kita yang kita tak tahu Allah terima ke tak. Tapi kita hidup setiap hari macam tak rasa banyak dosa. Allah. Kita ni banyak dosa. Bukan setakat banyak dosa, bahkan bermandikan dosa. 

"Orang yang riak, kalau bertaubat Allah ampunkan. Kalau orang yang sombong, apa kau rasa Allah nak ampunkan sedangkan itu sifat iblis?" 

Allahuakhbar. Aku tanya tentang tidur lepas subuh je dah rasa macam nak ke neraka. Belum tanya hal lain lagi. 

"Ramai orang muda kata perlu tidur lepas subuh sebab tak cukup tidur malam tadi sebab main futsallah, jalan-jalan dan apa kau fikir siang dan malam itu adalah sunnatullah? Allah dah kata dalam al-Quran, siang aku jadikan untuk kau bekerja dan malam untuk kau berehat. Kalau sunnatullah kau ubah, ikut kepala otak kau sendiri, sebab itulah hidup kau tunggang langgang. Kau siapa nak ubah sunnatullah?"

Allah, jauhnya beza pemikiran kita dengan orang yang takutkan Allah. Orang yang dekat dengan Allah. Hidup memang kena berpandukan al-Quran dan hadis. Carilah orang yang boleh memperjelaskan lagi apa yang ada dalam al-Quran dan hadis itu. Janganlah asyik meminta dalil dari orang itu dan orang ini dan memproses dengan kepala sendiri. Ada orang bawa al-Quran ke hulu ke hilir. Tak salah, tapi carilah panduannya dengan baik supaya tak tersalah tafsir hukum ikut nafsu. 

Huuuu. Memang menusuk ke hati perkongsian ini. Ya Allah, kalau selama ini aku tergolong dalam golongan ini, ampunkan aku ya Allah. Sungguh, tidak pernah terlintas di hati ini untuk tergolong dalam golongan hamba-Mu yang sombong dengan-Mu setelah pelbagai nikmat yang telah Kau berikan. Sungguh, aku ini hamba yang jahil.  Ampunkanlah aku ya Allah.





Hamba-Mu,
Qusyaimah Rosman.

No comments:

Post a Comment