Monday, 16 September 2013

I'm busy !

Bismillah.

Assalamu'alaikum w.b.t dan salam ukhuwah.

     Ya Allah, rasa macam dah lama jari jemari ini tidak lagi mencoretkan kata-kata di lembaran ini. Keizinan masa yang agak terhad mungkin juga menjadi penghalang untuk sentiasa mencoretkan tinta isi hati yang tersemat rapi dalam setiap bait kata mahupun fikiran. Beginilah kehidupan sebagai seorang pelajar. Terlalu banyak komitmen dan tanggungjawab yang perlu diutamakan terlebih dahulu kerana tidak ingin dipersoalkan di akhirat kelak.

     Menyentuh sedikit kisah minggu lepas, saya ada menyatakan tentang pembubaran MPDIK bukan? Alhamdulillah, majlis pembubaran tersebut berjalan dengan lancar walaupun mungkin ramai hati yang menangis pada malam itu. Mungkin tidak terzahir di mata namun dalam hati tiada siapa yang tahu kecuali diri kita sendiri dan juga Allah s.w.t. Semoga dengan pembubaran tersebut, ukhuwah antara kami tetap utuh bagaikan air yang dicincang tidak akan pernah putus. Terima kasih ya Allah kerana mempertemukan kami dalam tali persaudaraan ini. Peliharalah ukhuwah antara kami agar tetap utuh dan tetap segar dalam lipatan memori kami.

Inilah sebahagian daripada keluarga MPDIK.
Ramai yang tiada dalam gambar sebab mereka adalah dalam kalangan pelajar tahun akhir. 

     Selesai satu tanggungjawab, hari-hari yang berlalu semakin meronta-ronta memerlukan perhatian. Komitmen terhadap pelajaran perlu dititikberatkan. Walau sibuk sekalipun, namun akademik perlu diberi keutamaan. Matlamat utama menjejakkan kaki ke universiti adalah untuk menimba sebanyak mungkin ilmu Allah di samping menimba pelbagai pengalaman lain. Segala usaha akan menjadi sia-sia tanpa kehadiran ilmu kerana segala yang kita lakukan adalah perlu berlandaskan ilmu. Tanpa ilmu, buah fikiran kita tidak akan bercambah segar kerana pemikiran pasti akan berada di takuk yang sama. 

     Alhamdulillah, minggu ini sudah masuk minggu kedua memulakan semester 3. Semoga segalanya berjalan lancar. Terima kasih Allah kerana menganugerahkan coursemate yang baik dan sangat membantu. Moga kami sentiasa dirahmati dan segala usaha kami untuk mempelajari sebanyak ilmu yang mungkin akan dipermudahkan dan sentiasa berada dalam rahmat-Mu.

     Rasanya, sampai di sini sahajalah untuk entri pada kali ini. Insyaa Allah, jika ada kelapangan, saya akan mencoretkan segala pengalaman hidup yang mungkin boleh dijadikan pengajaran untuk semua pembaca. Mungkin tidak semua, tetapi sekurang-kurangnya masih dapat berkongsi serba sedikit pengalaman yang ada. Wallahu'alam. =)




Salam kasih,
Qusyaimah Rosman.

No comments:

Post a Comment