Wednesday, 9 July 2014

Aku Lemah di Sisi-Nya

Bismillah.

Assalamu'alaikum wbt.

Di saat aku merenung kembali diri ini, sesungguhnya saat dan ketika ini aku berasakan bahawa diri ini sangat lemah pada pandangan-Nya. Diri ini terlalu kerdil di sisi-Nya. Mungkin sering kali orang lain memandang diri ini terlalu kuat, terlalu hebat pada pandangan mata mereka, namun hakikatnya diri ini sering sahaja mengadu lemah di hadapan Pencipta. Adakah kita tahu bahawa kita sebenarnya sudah diuji atau belum dengan ujian yang diuji kepada orang-orang yang beriman di sisi Allah? Adakah kelemahan kita akan terserlah setelah kita diuji sehingga di luar kemampuan dan kudrat kita? Hakikatnya memang begitu, sebenarnya kita amat lemah di sisi Pencipta kita. Insan lemah yang sentiasa dahagakan rahmat dan kasih-Nya. :'(

Allah ada mengutuskan ayat cinta-Nya dalam surat al-Ankabut ayat 1-3:

Alif laam miim. Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan (saja) mengatakan: "Kami telah beriman," sedang mereka tidak diuji lagi? Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka. Maka, sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta. 

Hakikat kehidupan ini ialah kita sering diuji oleh Allah swt.

Kadang kala aku rasa aku cukup kuat untuk menghadapi badai hidup yang sering bergelora. Kadang kala aku rasa aku orang paling lemah untuk menghadapi segala taufan yang melanda. Adakah disebabkan hati aku kadang kala rapuh dan jauh daripada Pencipta aku yang satu? Ya, kadang kala diri ini terlalu jauh dan lalai akan tuntutan sebagai hamba-Nya. Sungguh, aku dalam proses belajar. Banyak perkara yang aku perlu pelajari. Aku perlukan bimbingan. Aku perlukan tarbiyah yang dapat mengingatkan aku sentiasa akan kebesaran Allah. Bukan hanya pada kebesaran tetapi juga pada azab-azab yang dapat menyedarkan aku betapa kerdilnya aku di sisi Dia. :'(

Kau tahu, aku menulis ini kerana tiada kudrat untuk aku meluahkan pada sesiapa. Aku pasti tiada siapa yang dapat mentafsir butir kata aku apatah lagi untuk mentafsir lubuk hati aku yang paling dalam. Terlalu banyak yang aku simpan. Terlalu banyak yang aku pendam. Hanya Allah yang tahu. Mungkin luaran aku nampak ceria, gembira, tersenyum, tapi saat hati aku menangis hanya Allah yang tahu. Hanya Allah kekuatan yang aku ada kerana Dia sebaik-baik tempat untuk aku bersandar. Namun aku malu. Malu kerana sering meminta-minta pada-Nya. :'( Sedang terlalu sikit yang aku beri pada-Nya. Allahu Allah. Hinanya aku pada pandangan-Mu.

Ya Allah, aku tahu Kau lebih arif tentang segala yang tersirat di hati ini. Kau lebih tahu segala yang terlintas di fikiran ini. Saat bercucuran air mata aku mengharapkan ihsan dari-Mu, tidak pernah sesekali Engkau mengecewakanku. Terlalu sakit untuk aku pendam segalanya. Aku tahu, tidak semua yang aku harapkan akan aku capai. Tidak semua yang aku inginkan akan dikabulkan. Aku perlu berpijak pada realiti kehidupan dan jauh daripada fantasi yang mempunyai pari-pari yang dapat melunaskan segala hajat dan impian.

Aku harap kelemahan ini membawa aku lebih dekat dengan-Mu. Lebih mensyukuri segala nikmat dan kurnian-Mu. :'(





Qusyaimah Rosman

No comments:

Post a Comment