Assalamu'alaikum wbt dan salam ukhuwah.
Ingatan ini tersingkap pada memori lalu tentang satu kisah saya dan secangkir kopi. Ketika saya menghirup kopi yang masih panas, saya dapat merasakan bahawa kopi itu sedikit pahit. Meskipun kopi itu merasa sedikit pahit, namun saya teruskan juga untuk menghirup kopi tersebut. Seketika kopi itu tinggal separuh, barulah saya perasan bahawa saya terlupa untuk mengacau kopi tersebut bersama susunya. Apabila kopi tersebut saya kacau, kopi yang tinggal separuh itu terasa tersangat manis hingga saya tidak mampu untuk menghirup kopi tersebut.
Lantas saya terfikir, mungkin inilah yang dinamakan kehidupan. Ada waktunya yang 'manis' itu sebenarnya ada di dasar kehidupan dan kita yang perlu mencarinya. Jika kita malas mencari, perkara yang kita perolehi dalam hidup sudah semestinya perkara yang pahit sahaja. Tika waktu ketika kita teringat berkenaan yang 'manis' itu, semuanya mungkin sudah terlewat.
Namun, kita sangat beruntung kerana Allah sentiasa ada di sisi malah Allah sangat baik pada kita kerana Dia sudah membantu kita 'membancuh' kehidupan kita dengan perkara yang pahit dan manis. Cuma apabila kita terlupa kepada Allah, pada waktu itulah kita berasa hidup ini hanya pahit semata-mata. Tika kita mula mengecapi sesuatu yang manis, kita mudah terleka hingga kita lupa Pencipta sebenar kehidupan pahit dan manis. Hidup kita ini tidak membawa apa-apa makna sekiranya hanya diselubungi perkara yang pahit-pahit atau diselimuti perkara yang manis-manis sahaja.
Oleh itu, hargailah kehidupan ini. Hiruplah kehidupan yang penuh pahit dan manis ini dengan senyuman dan ucapan syukur kepada Allah swt.
Kita jelajahi syahdu dingin
bersama kabus putih
didakap kenangan
Dan kita tinggalkan
jejak-jejak indah
yang pasti kita ulang
atau hanya akan menjadi
sebuah memori usang.
Salam kasih,
Qusyaimah Rosman.
No comments:
Post a Comment