Wednesday, 31 December 2014

Coretan II

Bismillah.

Assalamu'alaikum wbt dan selamat pagi.

Hmm. Jam menunjukkan 0327 pagi. Mata masih belum dilelapkan. Satu per satu helaian buku diselak tetapi apa yang dibaca juga tidak aku mengerti. Perjuangan dalam menuntut ilmu sememangnya bukan mudah. Perlu usaha yang istiqamah, perlu jiwa yang cekal dan perlukan impian yang besar.

Ya Allah, terangkan hati hamba-Mu ini dan lapangkanlah mindaku agar mudah aku menyerap ilmu-Mu yang luas ini ya Allah. Terima kasih kerana masih beri aku peluang untuk menggali sebanyak mungkin ilmu-Mu. Jadikan setiap langkahku menuju jalan-Mu adalah jalan yang diredai. Insyaa Allah.

Apabila duduk sendirian, tatap gambar mama, papa, Allahu, rindunya hati ini. Tak tahu nak tabahkan macam mana dah hati ini. Cuba untuk kuat, tetapi sebenarnya perlahan-lahan hati ini merintih. Mujur aku masih punya sahabat yang setia menemani di kala aku sunyi, di kala aku suka dan di kala aku berduka. Saat sendirian beginilah kadang-kadang tertumpah jua air mata yang terlalu lama dipendam. Bukan aku tidak mampu menumpahkan air mata di hadapan mereka, tetapi aku tahu, mereka juga punya masalah sendiri. Tidak perlulah aku membebani mereka dengan masalah aku mungkin hanya sekadar picisan dalam diari hidup mereka.

Moga aku terus tabah. Moga aku mampu menjadi anak yang dapat mengukir senyuman di wajah mama dan papa yang paling kurindu!


Salam kejauhan,
Qusyaimah Rosman. 


Tuesday, 30 December 2014

Wanita yang Patah Hatinya.

Bismillah.
Assalamu'alaikum wbt dan selamat pagi.

Siapa wanita?

Wanita, yang saya tahu melalui pengalaman, penglihatan dan pemerhatian ialah manusia yang lemah lembut dalam tutur katanya tetapi mampu menundukkan. Mampu sahaja mata mereka menzahirkan beban yang tertanggung jauh di dasar hati tetapi mampu juga dengan rapi mereka mengukir senyuman, melindungi hati dan jiwa yang bergolak. Mungkin juga air mata itu senjata, namun bukan mudah ia mengalir melainkan saat diri benar-benar tidak punya kekuatan. Mereka juga mungkin tidak sekuat kudrat yang dinamakan adam tetapi ketabahan, kecekalan dan kekentalan semangat mereka kadang kala melebihi kekuatan seorang adam. Pokoknya, wanita itu sering dianggap lemah. Jika diteliti dengan hati, mereka sebenarnya kaum yang teramat tabah dan sungguh kaya dengan kasih sayang. Aku mengatakan begini, bukan kerana aku dalam kalangan mereka, tetapi aku mengatakan begini kerana aku dapat merasai kasih sayang itu saat aku bersama-sama dengan mereka dan tentu sekali apabila bersama mamaku! 

          Pada semua persoalan hanya mampu dijawab oleh Tuhan, pada saat itu,  wajah wanita akan seirama dengan hatinya. Matanya, senyumannya, masih tidak dapat menipu apa yang terpancar dan tersimpan di lubuk hatinya. Pada saat itu juga, mungkin wanita tidak mampu menjadi penyebar semangat hidup dan mungkin juga tidak mampu lagi untuk memeram bahagia. Hanya kepada Tuhan sahaja tempat sebaik-baik pengaduan. 

          Teman saya, seorang wanita yang patah hatinya. Bait-bait kata yang diukir menggetarkan hati-hati yang sememangnya sedang parah, "Saya reda...Allah tidak akan mengkhianati hamba-Nya, cuma hamba-Nya yang sering mengkhianati Allah dengan memutuskan harapan." Tersirat namun, terkandung pengajaran untuk direnung. 

          Lalu, pada masa itu manik-manik jernih mula bertakung di kolam matanya yang bundar. Mungkin terlalu lama dia menahan tangis yang amat dalam. Akhirnya, mutiara jernih itu tumpas lalu mengalir di wajahnya yang sarat dengan kekecewaan. Walaupun kadang kala, saat dia sendiri dan mengalirkan air mata, citranya sebagai wanita tetapi baik tetap tidak akan berubah walau seketika, kerana tangisan adalah senjata akhir wanita yang patah hatinya, berkecai jiwanya dan remuk perasaannya. 

          Untuk sahabatku yang patah hatinya, yang bergolak jiwanya, teruskan perjuanganmu menjadi seorang wanita yang cekal dan tabah. Moga kamu tetap bahagia! 

Dari seorang sahabat yang patah hatinya, 

Dalam hidup ini, tak siapa pilih untuk dikecewakan.
Dalam hidup ini juga tak siapa pilih untuk disakiti dan dikhianati.
Kadang-kadang pengorbanan itu perlu demi kebahagiaan orang lain. 
In shaa Allah, akan ada sinar kebahagiaan suatu hari ini. :')

Buat si cantik, Nurul Nadia Zakaria:




Salam sayang,
Qusyaimah Rosman

Monday, 29 December 2014

Bittaufiq Wannajah Fil Imtihan!

Bismillah.

Assalamu'alaikum wbt dan salam ukhuwah.

Hari ini merupakan hari pertama bermulanya peperiksaan di USM. Pelbagai rintihan daripada sahabat handai yang sudah menduduki peperiksaan pada hari ini. Ada yang muram, ada yang biasa dan ada juga yang masih mampu tersenyum walau di hati bergolak dan mungkin berperang dengan perasaan sendiri. Itu semua bergantung kepada individu untuk mempamerkan emosi dan ekspresi diri masing-masing. 

Walaupun kertas saya yang pertama akan bermula pada 5hb Jan nanti, namun bahang peperiksaan itu kian terasa. Ramai rakan yang amat tekun belajar. Masing-masing sedang berusaha untuk mendapatkan yang terbaik. Apabila melihat mereka belajar, diri ini juga akan terpanggil untuk sama-sama mengulang kaji pelajaran walaupun dalam masa yang sama terdapat enam cerpen yang perlu disiapkan. Allahu. Tugas sebagai seorang pelajar memang mencabar. Tambahan pula, jika kita banyak melibatkan diri dengan aktiviti universiti, pandai-pandailah kita membahagikan masa agar masa dapat digunakan dengan sepenuhnya. 

Saya turut melahirkan rasa simpati pada sahabat yang tidak dapat menduduki peperiksaan pada hari ini akibat terkandas dengan bencana banjir yang melanda semenanjung tanah air. Mungkin ini adalah ujian buat mereka dan mungkin juga sejarah yang akan tercatat dalam perjalanan hidup mereka. Walau apa pun, sesungguhnya Allah itu maha mengetahui setiap sesuatu yang berlaku. Moga Allah permudahkan urusan mereka dan urusan sahabat-sahabat yang sedang menempuhi minggu peperiksaan ini. In shaa Allah. 

Akhir kata, saya ingin mengucapkan selamat maju jaya kepada semua sahabat saya. Moga dapat menjawab peperiksaan dengan tenang. Moga segala ilmu yang dipelajari mendapat keberkatan daripada-Nya. Moga kita semua tergolong dalam golongan orang-orang yang berjaya di dunia dan di akhirat kelak. In shaa Allah. 

Rabbi yassir wala tu'assir, rabbi tammin biklhoir. 

Ya Allah! Permudahkanlah segala urusan, janganlah Engkau persulitkannya,
sempurnakanlah dengan kebaikan. 





Salam imtihan, 
Qusyaimah Rosman

Hijrah Hati

Bismillah.

Assalamu'alaikum wbt dan salam subuh.

Allah, Allah. Hujanmu membasahi bumi Minden ini. Bagaimana agaknya khabar saudara-saudaraku yang masih bergelut dengan banjir? Bagaimana mereka manahan rasa sejuk yang membaluti tubuh mereka hanya dengan sehelai pakaian yang nipis? Dengan apa agaknya mereka mengisi rasa lapar? Allahu. Berikan mereka kekuatan. Berikan mereka ketabahan dalam menempuhi dugaan dan ujian yang Kau berikan. Aku hanya mampu membantu sekadarnya sahaja. Aku hanya mampu mengutus doa buat mereka di kejauhan. :'(

Aku terfikir saat aku sendirian merenung diri. Sukarnya untuk benar-benar berhijrah ke jalan-Nya. Aku sering sahaja terkandas. Aku sering sahaja terleka. Susahnya untuk menjaga satu kerajaan yang namanya hati. Hijrah hati itulah yang paling sukar sebenarnya. Walaupun kadang kala hanya sekadar niat, namun terlalu sukar untuk dilaksanakan. Allah. Jangan Kau bolak balikkan hati ini ya Allah. Aku buntu. Aku lemah. Aku lalai. Aku perlukan kekuatan-Mu.

Aku tahu. Manusia sering sahaja menilai aku. Manusia akan sering memerhatikan gerak geriku. Namun, aku masih manusia biasa yang tidak akan pernah terlepas daripada melakukan dosa. Bahkan, mungkin aku jauh lebih lemah. Aku jauh lebih banyak melakukan kesilapan. Jauh di sudut hati, kadang kala terbit rasa cemburu pada mereka yang benar-benar istiqamah di jalan-Nya. Tapi aku?

Aku tahu. Jika aku mengadu pada manusia, hanya sakit yang aku dapat. Aku hanya mampu mencoretkan tinta isi hatiku di sini. Agar aku tahu, aku telah curahkan segalanya. Agar aku tidak lagi terluka dengan sinisnya pandangan manusia. Moga hati ini terus istiqamah mencapai reda Allah. Bantu aku ya Allah. Bantu aku. Aku amat memerlukan bantuan daripada-Mu. Aku hamba-Mu yang lemah. Lemah dan kerdil di sisi-Mu. :'(



Si Kerdil,
Qusyaimah Rosman

Friday, 26 December 2014

Bah Disember 2014

Bismillah.

Assalamu'alaikum wbt dan salam ukhuwah.

Hari ini, kelihatan langit di bumi Minden masih tidak jemu-jemu mencurahkan hujan dari pagi hingga ke petang. Banjir yang melanda timur semenanjung semakin teruk.
Membaca rintihan mereka di laman sosial, membuatkan hati ini turut bersedih.
Melihat rintihan mereka menyebabkan hati kecil ini juga tersentuh.
Anak kecil menangis kelaparan. Mereka menggigil kesejukan.
Orang-orang tua bertarung nyawa melawan sisa-sisa hidup.
Ibu dan ayah berusaha sekerasnya melindungi anak-anak mereka.
Bekalan elektrik terputus.
Talian perhubungan juga terganggu.
Malah, ada anak-anak di perantauan ini yang tidak tahu status keluarga mereka.
Mereka hanya mampu mengutus doa.
Mereka hanya mampu meletakkan sepenuh pengharapan hanya pada Allah azza wajalla.

Sungguh, aku memang tidak berada di tempat mereka tetapi aku juga punya keluarga di sana.
Runtun hati ini tatkala aku melihat bukan hanya nyawa manusia terkorban malah bangkai-bangkai haiwan terapung dan bergelimpangan.
Tidak dapat aku bayangkan hidup mereka saat ini.
Kesejukan yang membaluti tubuh mereka saat ini.
Kelaparan yang melemahkan mereka tika ini.

Allahu Allah, pinjamkan sedikit kekuatan buat mereka untuk mengharungi ujian-Mu ini.
Tabahkan hati mereka. Kuatkan iman mereka.
Aku percaya ya Allah, Engkau tidak pernah menurunkan ujian melebihi kemampuan hamba-Mu.
Aku tahu ya Allah, Engkau menurunkan dugaan kerana Engkau terlalu merindui rintihan hamba-Mu.
Moga kami sentiasa dalam rahmat dan kasih-Mu.



Keadaan rumah Mak Ngah di Kemaman 

Si Comel telah menemui ajalnya :'(

Keadaan dapur yang telah dimasuki air

Keadaan ruang tamu 




Salam syahdu, 
Qusyaimah Rosman

Friday, 5 December 2014

Kemas Kini Blog

Bismillah.

Assalamu'alaikum wbt dan salam Jumaat.

Rasanya sudah lama sangat tidak mengemas kini tempat meluahkan tinta isi hati ini. Cewah! Oleh itu, disebabkan minggu ni tak ada latihan PALAPES dan ada sedikit kelapangan walaupun hakikatnya kerja sangatlah banyak, karya tak mula menulis lagi -.-'' tetapi luangkanlah juga sedikit masa untuk blog tersayang. Weeee. =D 

Hasilnya, saya telah menukarkan tema dan lagu dalam blog ini. Tukar ala-ala tradisional sikit. Hehe. Lagu tema yang saya pilih untuk digunakan dalam blog ni bertajuk Lemak Manis nyanyian tokoh rakyat kita iaitu Roslan Madun. Saya telah jatuh hati pada lagu ini sejak menyertai Malam Apresiasi Sastera tempoh hari. Kelab Sastera, P. Pengajian Ilmu Kemanusiaan dan MPD Restu telah bekerjasama untuk mengkoordinasi program ini. Alhamdulillah semuanya berjalan dengan lancar. 

Desakan masa yang menghimpit ditambah pula dengan macam-macam program yang perlu dirangka menyebabkan saya terpaksa mengutamakan perkara yang lebih utama. Hmm. Okeylah. Sampai di sini sahaja dahulu. 

Selamat berhujung minggu! 



Salam sayang,
Qusyaimah Rosman.