Monday 14 July 2014

Penghargaan Buatmu Sahabat.

Bismillah.

Assalamu'alaikum wbt.

Alhamdulillah, mendapat perkhabaran gembira apabila karya saya "Detik-detik Terakhir Ramadan" telah disiarkan di Laman Persatuan Mahasiswa Islam USM. Perkara yang paling menyentuh hati saya kerana ada antara rakan-rakan yang tersentuh dengan penulisan saya. Moga penulisan saya dapat memberikan manfaat kepada khalayak pembaca. Mudah-mudahan penulisan tersebut dapat menjadi saham syurga saya di akhirat kelak, in shaa Allah.

Antara sahabat yang mengucapkan tahniah, saya amat tersentuh dengan satu mesej yang saya terima daripada seorang sahabat yang saya kagumi dalam diam iaitu Abdul Halim bin Abdul Rahman. Meski pun dia merupakan junior saya, tetapi kata-kata yang lahir daripada tutur bicaranya cukup penuh dengan hikmatnya yang tersendiri. Mesej yang saya terima daripada beliau adalah seperti ini,

"Saya doakan awak jadi penulis hebat macam Fatimah Syarha yang karyanya merubah ummah. Alhamdulillah." 

dan kata-kata dia yang terus menusuk ke hati,

"Ingat tak dulu saya cakap masa saya Form 6 saya doa agar Allah tempatkan saya kat tempat terbaik dengan orang yang terbaik. Awak salah sorang yang terbaik Allah hantar kat saya."

Allahu, menitis air mata saya saat membaca mesej yang saya terima daripada dia. Begitu tinggi sekali penghargaan yang dia letakkan pada saya. Sungguh, tidak layak rasanya diri ini untuk terima pujian setinggi itu. Masih terlalu banyak kekurangan yang perlu saya perbaiki, masih terlalu banyak kelemahan yang perlu saya selami. Moga Allah mempermudahkan jalan hidup dia di medan dakwah ini. Moga Allah sentiasa lindungi dia dan terus diberikan kekuatan untuk berjihad di medan dakwah. Moga kata-kata taujihat yang dia tembakkan pada insan-insan yang dahagakan ilmu Allah akan terus menusuk menyentuh qalbu insan-insan yang ditarbiyahkan. Terima kasih sahabat.

Tika mutiara jernih mula mengering, muncul seorang lagi sahabat yang amat saya kasihi memberikan kata-kata semangat yang membuatkan kolam mata ini berair kembali. Dialah sahabat yang sentiasa ada dengan saya saat jatuhnya saya apatah tika saya sedang bangkit menongkah arus hidup. Satu pesanan dia yang meresap terus ke qalbu,

"Even kita dah tak rapat nanti, saya dah tak da depan awak nanti, saya nak awak tahu awaklah anugerah terindah untuk saya sahabat."

Allahu. Siapa yang tak sebak? Siapa yang tidak akan mengalirkan air mata kerana masih ada insan lain yang amat menghargai diri kita. Setiap bait-bait kata yang dituturkan tidak pernah jemu untuk saya dengar. Dia banyak mengajar saya erti menghargai, nilai kasih sayang, dan yang paling saya ingat hingga saat ini betapa hebat dia mengajar saya erti kesabaran. Saya takkan pernah lupa setiap inci jasa dan pengorbanan dia untuk saya. In shaa Allah. :'( Saya sayang awak kerana Allah Nor Atikah binti Abdul Rahman.

Terima kasih Allah kerana sentiasa mengurniakan aku sahabat-sahabat yang sentiasa membimbing dan mengingatkanku ke jalan-Mu. Apabila bersahabat dengan mereka, bertambah rasa cintaku pada-Mu, apabila bersama-sama dengan mereka, bertambah rasa sayangku pada-Mu dan apabila ditarbiyah oleh mereka, bertambah rasa kagumku ke atas keagungan-Mu. Aku bersyukur ya Allah. Aku bersyukur dikurniakan sahabat seperti mereka yang menjadi wasilah antara aku dengan-Mu. Kau peliharalah sahabat-sahabatku ya Allah. Kau lindungilah mereka di bawah naungan rahmat-Mu. :')

Kalianlah sahabat-sahabatku
penyejuk bagi jiwa
senantiasa membelai saatku kecewa
padahal kalian juga dalam gelisah

kalianlah sahabat-sahabatku
hadiah indah dari syurga
penuntun saatku buta
memayungiku saat hujan dan terik mentari
dan penerang saatku kegelapan.

Terima kasih sahabat. 



Salam kasih buat sahabat,
Qusyaimah Rosman.

2 comments:

  1. Aduhaiiiiii. ...
    Ya Rabbi untungnya dpt bersahabat ngan cik sasterawati nih...
    Huhuhu ni yg buat saya touched nih

    ReplyDelete